tadabburkalamullah | Неотсортированное

Telegram-канал tadabburkalamullah - Tadabbur Kalamullah

13574

Oleh Ustaz Muhamad Naim Haji Hashim

Подписаться на канал

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 3 Safar 1445H☆

هَـٰذَانِ خَصۡمَانِ ٱخۡتَصَمُوا۟ فِی رَبِّهِمۡۖ فَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ قُطِّعَتۡ لَهُمۡ ثِیَابࣱ مِّن نَّارࣲ یُصَبُّ مِن فَوۡقِ رُءُوسِهِمُ ٱلۡحَمِیمُ * یُصۡهَرُ بِهِۦ مَا فِی بُطُونِهِمۡ وَٱلۡجُلُودُ * وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنۡ حَدِیدࣲ *
كُلَّمَاۤ أَرَادُوۤا۟ أَن یَخۡرُجُوا۟ مِنۡهَا مِنۡ غَمٍّ أُعِیدُوا۟ فِیهَا وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلۡحَرِیقِ

"Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" [Surah al-Ḥajj 19-22]

#Pertembungan antara kebenaran dan kekafiran akan sentiasa berlaku dan tidak akan berhenti hingga kiamat. Akan ada orang beriman dan akan ada orang kafir.

#Orang-orang kafir, disediakan bagi mereka pakaian dari api neraka, masya Allah pedihnya seksa neraka. Kepalanya disirami dengan air panas yang menggelegak dan semua yang ada di dalam perutnya hancur terburai, kenapa? Kerana semasa di dunia dia keras kepala di depan perintah Allah swt.

#Diberitahu, bahawa Allah swt itu Esa, Allah swt tidak mempunyai anak, mereka menolak dan membantah. Ingatlah! Kalau Allah swt marah, Allah swt tidak main-main. Di ketika mereka berlari untuk keluar dari kepedihan dan kedahsyatan bentuk azab itu, ditangkap mereka dan dikembalikan mereka kepada azab yang pedih membakar tersebut. 

#Jadi jangan meremehkan dosa. Jangan berolok-olok dengan dosa. Dan pintu neraka itu ada tujuh pintu untuk pendosa-pendosa memasukinya.

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوۡعِدُهُمۡ أَجۡمَعِینَ * لَهَا سَبۡعَةُ أَبۡوَ ٰ⁠بࣲ لِّكُلِّ بَابࣲ مِّنۡهُمۡ جُزۡءࣱ مَّقۡسُومٌ

"Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu). "Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)" [Surah al-Ḥijr 43-44]

#Api neraka itu dihidupkan sehingga tahap gelap gelita. Ya Allah lindungilah kami dari azab neraka. Perbagai usaha dakwah telah dilakukan oleh individu dan kumpulan pendakwah Islam untuk mengajak manusia kepada Allah swt dan agama-Nya. Tetapi ramai di kalangan manusia cuma memandang sepi tanpa peduli dan berpaling dengan pelbagai alasan yang dangkal. Mereka hanya peduli pada agama di waktu-waktu tertentu sahaja, umpamanya ketika mahu menikah, bercerai, kematian, harta pusaka, sambutan hari raya, korban tetapi yang lainnya tidak mahu ikut agama. Yang ada di benak mereka untuk menghimpun harta dan, menyimpannya.

♡Ingatlah bahawa azab Allah itu tersangatlah dahsyat dan meleburkan segalanya. Insafilah dan taatilah segala perintahNya!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 1 Safar 1445H☆

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادۡعُوۡنِىۡۤ اَسۡتَجِبۡ لَـكُمۡؕ اِنَّ الَّذِيۡنَ يَسۡتَكۡبِرُوۡنَ عَنۡ عِبَادَتِىۡ سَيَدۡخُلُوۡنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيۡنَ

Dan Tuhanmu berfirman: ''Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina" [Surah Ghafir 60]

#Dalam ayat ini, Allah swt berjanji akan memperkenankan doa hambaNya, akan tetapi Dia tidak menetapkan waktu diperkenankan doa itu. Bagi kita umat Islam wajib ikut perintah Allah dengan sentiasa berdoa, memperbanyakkan dia dan tidak pernah putus asa dalam berdoa. Mengenai soal memper­kenankan doa itu terserah kepada kekuasaan dan kebijaksanaan Allah swt.

#Setiap pagi dan petang, Nabi saw sentiasa berdoa kepada Allah swt, kerana Nabi saw ingin mengajar kita bahawa setiap kita wajib memohon dan menyandarkan pergantungan hanya kepada Allah swt dalam semua urusan kehidupan kita. 

#Ini doa yang Nabi saw baca setiap pagi dan petang:

اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

"Ya Allah, sihatkanlah tubuh badanku, sihatkanlah pendengaranku dan sihatkanlah penglihatanku. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau" (HR Abu Daud)

#Kenapa kita perlu berdoa mohon kesihatan pada setiap pagi dan petang?

#Ini kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di dalam hidup kita. Kadang-kadang di waktu pagi kita sihat, tiba-tiba petang kita jatuh sakit. Kadang-kadang petang kita masih dapat melihat warna warni kehidupan ini, tiba-tiba pagi esok, bangun tidur penglihatan kita rosak dan kita tidak dapat melihat lagi. Hari ini kita masih boleh mendengar, belum tentu esok kita boleh mendengar lagi.

#Oleh itu, sentiasalah berdoa untuk menunjukkan kefakiran dan rasa kehambaan kita di hadapan Allah swt. Setiap sesuatu apa yang berlaku semuanya dalam izin Allah swt. Dan setiap taubat hanya kepada Allah swt atas dosa-dosa yang sudah kita lakukan dan di atas kejahilan kita. Moga Allah sentiasa merahmati dan memakbulkan doa kita.

♡Alhmdulillah, hari ini kita berada dalam bulan Safar (1 Safar 1445H) dalam keadaan sihat walafiat dan dapat menikmati kehidupan dengan penuh kebahagiaan. Maka banyakkan berdoa memohon kebaikan dan pastikan kita sentiasa ingat akan Allah serta selalu bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Berdoa dan bersyukurlah!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 29 Muharram 1445H☆

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَیۡنَ أَن یَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومࣰا جَهُولࣰا

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" [Surah al-Aḥzab 72]

#Sambung bicara berkaitan pemimpin memerlukan penasihat yang baik, jujur, sentiasa menasihati serta takutkan Allah swt.

#Ingatlah bahawa seorang raja atau pemimpin atau wakil rakyat akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah swt. Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah swt atau hanya mengejar dunia yang merosakkan.

#Kerana bimbang tentang hal ini, Khalifah Islam yang pertama, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sebaik sahaja dipilih memegang jawatan Khalifah, pemimpin utama kerajaan Madinah selepas kewafatan Rasulullah saw, beliau terus menyampaikan ucapannya:

أَيُّهَا الناَّس، إِنِّي قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِيْ، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِيْ، اَلصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَاْلكِذْبُ خِياَنَةٌ، وَالضَّعِيْفُ فِيْكُمْ قَوِيٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ لَهُ إِنْ شَاءَ اللهِ، وَالْقَوِيٌّ فِيْكُمْ ضَعِيْفٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ، لاَ يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلاَّ ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ، وَلاَ تَشِيْعَ الْفاَحِشَةَ فِيْ قَوْمٍ قَطٌّ إِلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْبَلاَءِ، أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ

Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insyaAllah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan RasulNya, maka kalian jangan mentaatiku” (Lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh)

#Khalifah Umar bin al-Khattab r.a juga pernah berkata:

أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فليقومه

Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah diriku".

♡Jadilah pemimpin yang tawadhuk yang sedia menerima pandangan orang lain dan sedia dinasihati. Pastikan penasihat dan insan disekeliling terdiri daripada manusia yang bertaqwa serta takutkan Allah yang sentiasa membetulkan yang salah dan mengingati kepada kebenaran♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 27 Muharram 1445H☆

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah (bekerjalah) kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan" [Surah at-Tawbah 105]

#Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, apatah lagi jika seseorang itu adalah pemimpin atau wakil rakyat yang ditugaskan untuk bekerja menjalankan amanah memimpin ummah.

#Daripada Aisyah r.ha, bahawa Nabi saw bersabda:
 
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Sesungguhnya Allah Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun" (HR at-Tabrani)

#Dalam riwayat lain, Nabi saw bersabda:

وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ

Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” (Sunan al-Baihaqi)

#Menurut Imam al-Mawardi: "Kepimpinan adalah menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia".

#Imam Ibn Khaldun menjelaskan, kepimpinan ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat.

#Sewajarnya pemimpin atau wakil rakyat menjadi teladan serta mengamalkan cara hidup yang betul, memaparkan akhlak mulia dan tidak menyeleweng. Sekiranya kepimpinan tidak mengamalkan kebenaran, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi.

#Selain itu, tanggungjawab pemimpin bukan sekadar mencegah anasir boleh membawa keburukan (mafsadah) kepada negara. Apa yang lebih penting adalah menegakkan kebaikan (masoleh) demi manfaat rakyat secara keseluruhan. Selain tanggungjawab mencegah kemungkaran atau kerosakan daripada berleluasa seperti gejala rasuah dan penyelewengan atau kelemahan tadbir urus, pemimpin juga memikul amanah berat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

#Agenda pembangunan ekonomi seperti pembasmian kemiskinan, membendung kadar pengangguran, mengawal harga barang keperluan asas rakyat, menyediakan pendidikan percuma, menyediakan kemudahan awam adalah antara tanggungjawab besar perlu dilunaskan supaya kemakmuran negara dapat dinikmati pelbagai lapisan rakyat.

#Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah meyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu: "Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat."

♡Pemimpin atau wakil rakyat yang baik ialah yang disayangi rakyat atau orang bawahannya disebabkan menjaga kebajikan dan khidmat cemerlangnya pada rakyat. Oleh itu, pemimpin hendaklah bekerja bersungguh-sungguh menyelesaikan isu berkaitan hal ehwal rakyatnya dan jangan melakukan sesuatu yang melemahkan kepercayaan dan kesetiaan rakyat yang telah memilihnya sebagai pemimpin. Kepada semua wakil rakyat, selamat berkerja dan berkhidmat kerana Allah!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 25 Muharram 1445H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)" [Surah al-Anfal 27]

#Pemimpin yang perlu dilantik ialah pemimpin yang memiliki sifat kepimpinan rasul iaitu bersifat amanah, adil, tulus, telus, bijaksana, boleh dipercayai, tidak mudah dipengaruhi, berpegang pada prinsip, memiliki jati diri dan memiliki taqwa yang sempurna di sisi Allah swt. Daripada sinilah pemimpin dirujuk sebagai pemimpin yang dihormati dan disegani.

#Pemimpin bukan sekadar hanya untuk mendapatkan kuasa semata. Pemimpin Islam tidak sekadar diberikan kuasa dan meminta kuasa. Di sebalik kuasa itu ada amanah yang besar yang mesti dilunaskan dan dipertanggungjawabkan di sisi Allah swt.

#Ingatlah bahawa kuasa adalah suatu taklif atau amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt. Amanah dalam kepimpinan tidak hanya terhubung dengan Allah sahaja, tetapi hikmahnya akan melimpah semula kepada umat manusia. Pemimpin yang adil, bertanggungjawab dan dekat dengan Allah sentiasa menghisab dan muhasabah diri supaya nilai ketelusan dan kejujuran itu akan sentiasa menyinari sesiapa yang berada di sampingnya.

#Seorang pemimpin perlu amanah dan berlaku adil dalam segala hal. Berlaku adil pada diri sendiri dan orang lain yakni rakyat amat dituntut dalam agama. Pemimpin adalah ikon atau model teladan kepada pengikutnya yang meletakkan kepercayaan tinggi terhadapnya.

#Ketidakadilan dalam memimpin, melanggari tatakelola, sering menipu rakyat, bicara lidahnya hebat untuk mempengaruhi orang lain dalam keadaan membohong, hilang malu kepada Allah adalah pemimpin yang termasuk dalam kelompok yang melakukan pengkhianatan, kefasikan dan kezaliman. Allah swt amat murka dan benci serta melarang melantik pemimpin seperti itu dan tidak layak pun untuk menjadi pemimpin.

#Sabda Nabi saw:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga" (HR Muslim)

#Sabda Rasulullah saw lagi:

مَنْ وُلِّيَ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ شَيْئًا فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَحَدًا مُحَابَاةً فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ لَا يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا حَتَّى يُدْخِلَهُ جَهَنَّمَ

“Barangsiapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum muslimim, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh Allah. Allah tidak menerima pengurusan dan pengadilan ke atasnya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam" (HR al-Hakim)

♡Umat Islam hendaklah memilih pemimpin atau mengundi calon yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan Rasulullah saw yang bersifat benar tidak menipu, beramanah tidak khianat, menyampaikan tidak menyembunyikan, cerdik tidak bodoh, sentiasa berusaha mengatasi kesukaran rakyatnya, sangat mengambil berat dan sayang kepada orang-orang yang beriman, mengutamakan maslahah rakyatnya daripada kepentingan serta maslahah peribadi atau ahli keluarganya, serta pemimpin yang dapat menjaga kepentingan umat dan agama Islam♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 23 Muharram 1445H☆

ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" [Surah al-Ḥajj 41]

#Sambung bicara berkaitan pemimpin yang bertaqwa tatkala memperoleh kuasa memerintah.

#Rakyat jelata akan meniru dan mencontohi kepimpinan mereka masing-masing. Jika pemimpin bertaqwa, maka InsyaAllah rakyatnya juga baik dan bertaqwa. Namun, jika pemimpin kaki maksiat, kaki karaoke, kaki menari tunjuk langit dan sebagainya maka rakyat akan tenggelam dalam hiburan dan kelalaian.

#Sayidina Umar r.a pernah menyatakan:

النَّاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Rakyat akan hidup mengikut agama dan cara hidup pemimpin-pemimpin mereka

#Imam Ibn Kathir ada menukilkan ungkapan di atas ketika menyebut biografi al-Walid bin Abdul Malik, katanya: Khalifah al-Walid seorang yang cenderung kepada pembangunan dan pembinaan. Maka rakyatnya juga demikian. Apabila seorang lelaki berjumpa lelaki yang lain, dia akan bertanya: “Apakah yang telah kamu bina? Apakah yang kamu telah bangunkan?” 

Manakala saudaranya, Khalifah Sulaiman cenderung kepada perempuan. Maka begitulah rakyatnya, di mana apabila seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain, dia akan bertanya: Berapa orang perempuan yang telah kamu kahwini? Berapa orang hamba perempuan yang kamu miliki?”

Adapun Khalifah Umar bin Abdul Aziz cenderung dalam membaca al-Quran, melakukan solat dan beribadah. Maka demikian juga rakyatnya.

Apabila seorang lelaki berjumpa dengan lelaki yang lain, mereka akan bertanya, “Berapa banyak kamu berwirid? Berapa banyak kamu baca al-Quran setiap hari? Kamu solat apa semalam?” Dan orang ramai berkata: “Rakyat akan hidup mengikut cara hidup pemimpin mereka” (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah)

#Diceritakan kisah cakna dan peduli Khalifah Umar kepada rakyatnya sangatlah hebat. Khalifah Umar bukan hanya mengetahui tetapi merasai denyut nadi rakyat. Begitu juga, seupaya mungkin mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikannya.

#Pernah satu hari, isterinya Fatimah datang menemuinya yang ketika itu sedang berada di tempat sembahyangnya. Ketika itu, isterinya melihat air matanya mengalir membasahi janggutnya. Lantas, isterinya bertanya: “Hai Amirul Mukminin ada sesuatu yang berlaku ke?”

Jawabnya: “Hai Fatimah, sesungguhnya aku telah menggalas urusan umat Muhammad saw ini, sama ada mereka kulit putih, hitam atau merah. Dan aku berfikir orang yang fakir dalam kelaparan, orang sakit yang terbiar, orang yang tidak bercukupan pakaian, orang yang dizalimi dan dikuasai, orang asing yang menjadi tawanan, orang-orang tua, orang-orang yang mempunyai keluarga yang besar yang tidak berkemampuan dan harta yang sedikit dan seumpama mereka pada pelusuk negeri dan di ceruk-ceruknya. Maka, aku mengetahui bahawa Tuhanku akan bertanya kepadaku berkenaan dengan mereka pada hari kiamat. Maka, aku taku bahawa aku tidak mempunyai hujah yang kuat.” Lantas, beliau menangis. (Lihat: Tarikh al-Khulafa)

#Menurut Sayyid Qutb, apabila seseorang itu hidupnya bebas dari hawa nafsu dan keterlaluan manusia, dan apabila hidupnya menyembah Allah dengan khusyuk, maka hidupnya akan menuju ke arah yang baik dan menjadi produktif, yang wajar menerima pertolongan-pertolongan dari Allah selepas mencapai keredhaanNya. Oleh sebab itu, hidupnya tetap dikelilingi keberkatan dan diselubungi kebajikan dan tetap mencapai kejayaan.

♡Pastikan pemimpin yang dilantik ialah mereka yang mampu untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang, tegas dalam pemerintahannya, merahmati dan mengasihi rakyat jelata, fakir miskin dan orang-orang yang lemah. Bencikan kepada kezaliman, serta menegakkan keadilan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 21 Muharram 1445H☆

یَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِیفَةࣰ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَیُضِلَّكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَضِلُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدُۢ بِمَا نَسُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu" [Surah Ṣad 26]

#Sambung bicara tentang kepimpinan berteraskan syariat, amanah dan berjiwa rakyat.

#Di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau menegah gabenor dan pegawai kerajaan daripada terlibat dengan aktiviti perniagaan. Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.
Khalifah menganggap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu:

إِنَّ التِّجَارَةَ مِنَ السُّلْطَانِ مَضَرَّةٌ بِالرَّعَايَا، مَعْسَرَةٌ لِلْجَبَايَة

"Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudarat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian".

#Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga mewujudkan satu polisi mengenai hubungan antara pemimpin dengan rakyat. Beliau telah membuka talian perhubungan secara langsung antara gabenor dan rakyat. Hal ini jelas menunjukkan betapa prihatinnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz sehingga rakyat merasa terbela dan mudah untuk mengadu segala kelemahan dan kecurangan pemimpin. Beliau juga mengarahkan semua pemimpin dan gabenor supaya mendapat maklumat dan menerima sebarang bentuk aduan daripada rakyat jelata. Inilah dasar Islam yang sebenarnya.

#Khalifah Umar juga mengadakan audit dan muhasabah terhadap gabenor dan mahu supaya kewangan gabenornya disemak. Hal ini supaya tidak berlaku pengambilan wang secara haram yang menjadi hak orang Islam, bahkan beliau pernah mengarahkan supaya menangkap seorang gabenor Khurasan yang bernama Yazid bin Muhallab kerana melakukan penipuan.

#Pemimpin yang bermasalah, zalim, menipu, rasuah dan tidak peduli rakyat perlu dipecat dan dikenakan hukuman. Namun, di zaman kini, pemimpin yang bermasalah, terlibat kes rasuah dimuliakan, diberi jawatan tertinggi, dibela dan dipertahankan kejahatannya. Ini bukan cara dan kaedah kepimpinan yang ditunjukkan oleh Allah dan rasulNya. Ini kaedah pemerintahan gila kuasa dan gila jawatan tanpa peduli syariat dan panduan agama.

♡Untuk melahirkan pemimpin yang hebat dan cemerlang di masa hadapan, mestilah memerintah mengikut panduan syariat agama dan melantik pemimpin yang bertaqwa, amanah, bertanggungjawab serta berjiwa rakyat. Ingatlah, amanah kepimpinan ini sebagai taklif (beban) bukan tasyrif (kemuliaan)!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 14 Syawwal 1444H☆

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)" [Surah al-Kawthar 2]

#Ibadah korban merupakan satu ibadah yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dengan menyembelih haiwan ternakan yang ditentukan syarak pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik.

#Syariat telah menentukan bahawa haiwan korban mestilah disembelih supaya halal untuk dimakan dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

#Antara syarat-syarat bagi seorang penyembelih itu mestilah beragama Islam. Dr. Muhammad Zuhaili menyebut di dalam karyanya:

أن يكون الذابح مسلما أو كتابيا

"Sesungguhnya penyembelih itu mestilah seorang yang muslim atau ahli kitab".

#Dr. Muhammad Zuhaili menjelaskan lagi bahawa tidak disyaratkan seseorang penyembelih itu mestilah baligh atau hanya dikhususkan untuk orang dewasa sahaja. Ini jelas bahawa syarak tidak meletakkan had umur tertentu dalam syarat bagi seorang penyembelih untuk menjadikan haiwan sembelihan itu halal dimakan.

ولا يشترط البلوغ فتحل ذبيحة الصبي المميز لأن قصده صحيحة بدليل صحة العبادة منه ان كان مسلما

"Tidak disyaratkan baligh (bagi penyembelih), maka sembelihan kanak-kanak yang mumaiyiz adalah halal dimakan. Ini kerana tujuannya adalah sahih dengan dalil sah ibadah daripadanya  sekiranya dia itu seorang muslim.

#Disebut oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya: "Begitu juga kanak-kanak (yang belum mumaiyiz, orang gila dan orang yang mabuk) sembelihan mereka halal dimakan (mengikut pandangan yang muktamad), ini kerana secara umumnya mereka mempunyai tujuan dan kehendak. Walau bagaimanapun hukumnya adalah makruh seperti yang disebut di dalam kitab al-Umm.

♡Sebaik-baiknya orang yang melakukan ibadah korban itu menyembelih sendiri binatang korbannya♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 12 Syawwal 1444H☆

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)" [Surah al-Kawthar 2]

#Kita diperintahkan untuk solat dan mengerjakan ibadah korban.

#Berkaitan kesempurnaan ibadah korban, selain memilih haiwan yang besar, banyak daging dan tidak cacat, pemilihan berkaitan warna binatang korban juga penting.

#Diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, beliau berkata:

قَالَ: ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Rasulullah saw berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Imam al-Munawi menyatakan الْأَمْلَحُ (amlah) ialah  warna  putih dan hitam yang mana putihnya lagi banyak atau disebut  الأغبر (aghbar) atau warna hitam di celah bulunya dan warna putihnya bersih seperti garam   atau atasnya warna kemerahan. Pemilihan sifat warna haiwan tersebut kerana elok penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Justeru itu, orang yang melaksanakan ibadah korban mestilah memilih jenis haiwan yang paling terbaik, sempurna fizikalnya dan paling gemuk.

#Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan pemilihan haiwan korban mengikut  keutamaan warna:

اسْتِحْبَابُ اسْتِحْسَانِ لَوْنِ الْأُضْحِيَّةِ وَقَدْ أَجْمَعُوا عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا أَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْغَبْرَاءُ وَهِيَ الَّتِي لَا يَصْفُو بَيَاضُهَا ثُمَّ الْبَلْقَاءُ وَهِيَ الَّتِي بَعْضُهَا أَبْيَضُ وَبَعْضُهَا أَسْوَدُ ثم السوداء

Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahawa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa’ iaitu sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam (belang) kemudian warna  hitam".

#Manakala fuqaha al-Bujairimi menambah warna merah dalam susunan keutaman pemilihan warna haiwan korban:

وَأَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْعَفْرَاءُ ثُمَّ الْحَمْرَاءُ ثُمَّ الْبَلْقَاءُ ثُمَّ السَّوْدَاءُ

“Mengutamakan haiwan korban berwarna putih, kemudian kuning, kelabu, merah, seterusnya warna belang putih hitam dan hitam".

#Kesimpulannya, pemilihan warna haiwan korban disunatkan mengikut keutamaan seperti berikut:

1. Putih
2. Kuning
3. Kelabu
4. Merah
5. Belang putih dan hitam
6. Hitam

♡Lakukan ibadah korban dengan pelaksanaan yang terbaik dan mendatangkan pahala yang berganda-ganda. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 10 Syawwal 1444H☆

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: Nescaya aku akan membunuh kamu. Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa" [Surah al-Maidah 27]

#Sambung perbincangan berkaitan tuntutan pelaksanaan ibadah korban.

#Kebanyakan ulamak berpendapat bahawa hukum menunaikan ibadah korban adalah sunat muakkad. Maka makruh bagi ses Giapa yang berkemampuan tidak melakukan ibadah korban.

#Sayidina Abdullah Ibnu Umar r.huma menegaskan:

ليست بحتم ـ ولكن سنة ومعروف

"Melaksanakan ibadah korban bukan suatu kewajipan. Namun hanya sunnah yang ma’ruf” (Ahkam al-Quran, al-Jasshos)

#Imam al-Khatib al-Syarbini menjelaskan hal ini dengan berkata bahawa:

وَالْمُخَاطَبُ بِهَا الْمُسْلِمُ الْحُرُّ الْبَالِغُ الْعَاقِلُ الْمُسْتَطِيعُ

"Golongan yang ditujukan perintah untuk melaksanakan korban itu ialah orang Islam, merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan".

#Bagi sesiapa yang mempunyai lebihan keperluan bagi diri dan ahli keluarganya pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah), maka dia termasuk golongan yang berkemampuan dan disunatkan untuk melaksanakan korban daripada harta yang dimilikinya itu. Adapun jika tidak mempunyai keperluan yang cukup bagi hari-hari yang disebutkan, maka dia dikira tidak berkemampuan dan tidak disunatkan untuk melaksanakan korban yang sunat tersebut.

#... Bersambung...

♡Laksanakanlah ibadah korban dengan ilmu dan keikhlasan. Semoga diterima Allah sebagai amal soleh yang lumayan ganjarannya. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 8 Syawwal 1444H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسࣱ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدࣲۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan"
[Surah al-Ḥashr 18]

#Antara bekalan akhirat yang terbaik untuk kita sediakan ialah menggembirakan orang yang beriman dan golongan yang memerlukan.

#Imam at-Thabrani meriwayatkan daripada Sayidina Umar r.a secara marfu': "Amalan yang paling afdhal ialah menggembirakan orang mukmin. Kamu beri pakaian yang menutup auratnya, atau makanan yang mengenyangkannya dari kelaparan, atau kamu tunaikan hajatnya" (Hadis Hasan. Jami' al-Ulum wal-Hikam, Ibn Rajab)

#Disebutkan dalam hadis ini, amalan yang paling afdhal untuk dijadikan bekal akhirat kita ialah menggembirakan orang yang beriman dengan cara memberi pakaian, makanan dan menunaikan hajat mereka.

#Hakikatnya ruang untuk beramal dengan amalan yang paling afdhal itu sangat luas. Orang mukmin bukan sekadar memerlukan pakaian atau makanan. Orang mukmin perlukan layanan yang baik, kata-kata yang memberangsangkan, teman seperjuangan seiring sejalan, sahabat setia ketika susah dan senang serta pelbagai amalan baik yang tidak terhitung.

#Ingatlah, siapapun kita, di manapun kita berada, peluang sentiasa terbuka untuk meraih pahala beramal dengan amalan yang paling afdhal.

#Fikirkan apa yang boleh dibuat untuk orang lain berasa gembira. Pastinya tidaklah sukar dan sulit. Hanya dengan melerek sebaris senyuman di bibir di hadapan seseorang mungkin dapat meleraikan pahitan duka yang sedang membelit jiwanya. Dan siapa tahu Allah catatkan senyuman itu sebagai satu amal yang paling afdhal untuk kita pada hari itu dan menjadi bekal teristimewa di akhirat kelak.

♡Lakukanlah sesuatu yang menggembirakan orang-orang mukmin dengan pelbagai kebaikan agar menjadi bekal pahala untuk masa depan akhirat kita♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 7 Syawwal 1444H☆

وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ یَأۡتِیَكَ ٱلۡیَقِینُ

"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin" [Surah al-Ḥijr 99]

#Selain istiqamah menunaikan solat sunat Witir setiap malam, antara amalan lain ialah membaca al-Quran.

#Pastikan setiap malam sebelum tidur lidah kita basah dengan kalamullah. Jadikan amalan ini berterusan selepas Ramadhan sehinggalah datangnya ajal kita.

#Diriwayatkan daripada Sayidina Tamim ad-Dari r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِمِائَةِ آيَةٍ فِى لَيْلَةٍ كُتِبَ لَهُ قُنُوتُ لَيْلَةٍ

"Siapa yang membaca 100 ayat pada suatu malam, dituliskan baginya pahala solat sepanjang malam” (HR Ahmad)

#Diriwayatkan daripada Sayidina Ibn Abbas r.huma:

ضَمِنَ اللَّهُ لِمَنَ اتَّبَعَ الْقُرْآنَ أَنْ لاَ يَضِلَّ فِي الدُّنْيَا ، وَلاَ يَشْقَى فِي الآخِرَةِ

"Allah telah menjamin bagi sesiapa yang mengikuti al-Quran, tidak akan sesat di dunia dan tidak akan rugi di akhirat". (Mushannaf Ibn Abi Syaibah)

#Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a berkata: "Siapa yang ingin mengetahui bahawa dia mencintai Allah dan RasulNya, maka perhatikanlah jika dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah dan rasulNya" (Riwayat al-Baihaqi)

♡Bacalah al-Quran pada setiap malam dan setiap hari di bulan Ramadhan, selepas Ramadhan dan sepanjang hayat kita. Moga kita meninggal dunia dalam keadaan lidah basah mengalunkan kalamullah. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 5 Syawwal 1444H☆

وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا * إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰ⁠نَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" [Surah al-Israʾ 26-27]

#Pembaziran atau pemborosan tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini tergolong dalam amalan keji dan mendapat larangan keras daripada Allah swt.

#Berkata Imam Ibn Kathir rahimahullah: “Maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, (yang suka membazir dan boros).

#Berkata Mujahid mengenai pembaziran: “Seandainya seseorang membelanjakan hartanya sebesar gunung dalam keadaan taat kepada Allah maka ia tidaklah termasuk orang-orang yang melampaui batas. Dan seandainya ia membelanjakan satu dirham dalam kemaksiatan kepada Allah maka ia termasuk di antara orang-orang yang melampaui batas".

#Antara perkara yang termasuk dalam pembaziran ialah perbelanjaan sia-sia melibatkan sesuatu yang halal secara berlebih-Iebihan, melebihi dari had keperluan. Perbelanjaan seumpama ini tidak wajar kerana ia tetap dikira membazir walaupun dalam perkara halal. Barang yang terlebih itu akan rosak dan terbiar, sedangkan orang lain yang lebih memerlukan boleh mengambil manfaat daripadanya jika ia diberikan kepada orang tersebut.

#Justeru, kita dinasihatkan supaya berwaspada dan berhati-hati agar tidak terjerumus di dalam perbelanjaan halal yang sia-sia atas dasar kepuasan diri, ganjaran untuk diri sendiri dan juga disebabkan memiliki duit yang banyak. Walau mampu sekalipun, jika berlebihan dan melebihi keperluan maka itu adalah pembaziran.

♡Perbuatan membazir dalam berbelanja mestilah ditinggalkan. Ini kerana perbuatan tersebut jelas bercanggah dengan prinsip Islam. Seseorang itu mesti berlaku adil pada harta yang dimiliki dengan meletakkan ia pada tempat yang sepatutnya bukannya berbelanja mengikut kemahuan nafsu♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 3 Syawwal 1444H☆

وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

"Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur" [Surah al-Baqarah 185]

#Di antara tanda syukur dan gembira dengan kedatangan Syawwal ialah dengan menyambung silaturrahim sesama kaum kerabat, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

#Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi sebagai menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan merupakan kebiasaan yang baik dan ia digalakkan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi saw.

#Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan silaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Antaranya sabda Nabi saw:

مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturrahim (HR al-Bukhari)

#Namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawwal di samping melakukan ziarah dan kunjung mengunjung.

#Antara tanda kesyukuran kita terhadap anugerah Ramadhan ialah kita menyempurnakan puasa Ramadhan selama sebulan dengan menambah enam hari lagi di bulan Syawal. Di mana dijanjikan pahalanya adalah seperti puasa sepanjang tahun.

من صام رمضان وأتبعه ستًّا من شوال كان كصيام الدهر

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti enam hari Syawwal maka seolah-olah dia berpuasa selama setahun" (HR Muslim)

#Berkata Syiekh Khalid Abu Saleh yang memperingatkan kita akan hakikat perayaan ini: "Bukanlah raya itu dengan engkau berpakaian dengan pakaian baru, tetapi ianya adalah dengan meningkatnya ketaatan engkau kepadaNya, bukanlah raya itu dengan engkau mencantikkan kasut dan pakaian, tetapi ianya adalah untuk mereka yang telah mencantikkan dirinya dengan dibersihkan segala dosanya, bukanlah perayaan itu dengan engkau diberi wang dan duit, tetapi ianya adalah untuk mereka yang dikurniakan pengampunan dari Yang Maha Pengampun.

♡Semoga kemuliaan Syawal ini
diisi dengan kesyukuran dan memuji memuja Ilahi di samping mempereratkan tali hubungan  silaturrahim dengan meneguhkan ukhuwwah serta perpaduan sesama umat Islam♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 1 Syawwal 1444H☆

وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا مُبَشِّرࣰا وَنَذِیرࣰا

"Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)" [Surah al-Furqan 56]

#Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid (عيد) kerana  hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun.

#Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga, menyibukkan diri siang dan malam dengan amalan ketaatan seperti solat terawih, solat witir dan qiyamullail maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira.

#Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.

#Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi saw sampai di Madinah, Nabi saw mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya, lalu Nabi saw bertanya: “Apakah dua hari ini?” Lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”. Nabi saw bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha" (HR Abu daud)

#Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis kegembiraan di hari raya: “Antara faedah yang boleh diambil dari hadis tersebut ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan dari kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama".

#Disamping bergembira, pada hari raya umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan. Ziarah menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar r.a ke rumah baginda Nabi saw.

#Suasana perayaan di negara kita, orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

#Disamping itu, kita juga digalakkan meraikan dan menggembirakan golongan fakir miskin, anak yatim, golongan yang hidup dalam kedaifan, orang sakit dan mereka yang keseorangan. Banyakkan bersedekah, berzikir, bertakbir, bertasbih, berselawat dan bertahmid memuji Allah swt.

#Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah: Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

♡Marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah kegembiraan kita di hari raya ini dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya dianjurkan kita bergembira tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Salam Aidilfitri 1444H, Maaf Zahir dan Batin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 2 Safar 1445H☆

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَىِٕن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِیدَنَّكُمۡۖ وَلَىِٕن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِی لَشَدِیدࣱ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras" [Surah Ibrahim 7]

#Allah swt memerintahkan kita sentiasa mensyukuri segala nikmatNya samada sedikit ataupun banyak. Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini.

وَقَلِیلࣱ مِّنۡ عِبَادِیَ ٱلشَّكُورُ

“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hambaKu yang bersyukur" [Surah Sabaʾ 13]

#Kita mesti sentiasa melatih diri agar boleh menerima dan bersyukur atas apa sahaja nikmat atau pemberian daripada Allah swt. Ada di kalangan manusia yang lupa diri, apabila diberi nikmat tidak pernah mahu bersyukur, akhirnya Allah swt memberi ancaman atau musibah kepada mereka sebagai ingatan dariNya. Allah swt mengancam bukan kerana benci tetapi kerana sayang kepada hambaNya. Allah swt memberi tahu mengenai neraka dan dahsyatnya azab neraka itu, agar manusia tidak masuk ke dalamnya.

#Firman Allah swt:

هَـٰذَانِ خَصۡمَانِ ٱخۡتَصَمُوا۟ فِی رَبِّهِمۡۖ فَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ قُطِّعَتۡ لَهُمۡ ثِیَابࣱ مِّن نَّارࣲ یُصَبُّ مِن فَوۡقِ رُءُوسِهِمُ ٱلۡحَمِیمُ

"Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak"

یُصۡهَرُ بِهِۦ مَا فِی بُطُونِهِمۡ وَٱلۡجُلُودُ

"Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka"

وَلَهُم مَّقَـٰمِعُ مِنۡ حَدِیدࣲ

"Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka"

كُلَّمَاۤ أَرَادُوۤا۟ أَن یَخۡرُجُوا۟ مِنۡهَا مِنۡ غَمٍّ أُعِیدُوا۟ فِیهَا وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلۡحَرِیقِ

"Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" [Surah al-Ḥajj 19-22]

♡Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah swt termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup. Namun, jika kufur dan tidak bersyukur, azab dahsyat bakal menimpa♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 30 Muharram 1445H☆

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir?" [Surah al-Baqarah 44]

#Pemimpin hendaklah mengerjakan apa yang telah dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk seperti yang telah difirmankan oleh Allah swt diatas.

#Dinyatakan dalam kitab al-Durrat al-Gharra’ oleh al-Khirbiti:

“Seseorang sultan, pertamanya mestilah mengetahui kadar kekuasaannya dan memahami bahayanya. Sesungguhnya kekuasaan itu merupakan sebahagian daripada nikmat Allah swt. Sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan abadi yang tiada tandingannya. Tetapi barang siapa yang gagal melaksanakan haknya, dia akan memperoleh kesengsaraan yang tiada toloknya melainkan kekufuran kepada Allah swt. Sekiranya demikian, maka tiada nikmat yang lebih tinggi daripada pemberian darjat sultan kepada seseorang hamba yang menjadikan satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain. Sesiapa yang tidak menyedari kebesaran nikmat tersebut akan menggunakannya dengan penuh kezaliman dan memuaskan hawa nafsunya. Mereka ini dibimbangi akan menjadi sebahagian daripada musuh Allah sebagaimana sabda Nabi saw:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Allah swt amat membenci pemimpin yang mengkhianati hak rakyat kerana sudah pasti berlaku kepincangan dan keadilan dalam pemerintahan.

#Golongan pengkhianat biasanya akan mengundang pelbagai natijah buruk dan tidak baik. Hal ini berlaku di dunia lagi dan kadang-kadang sebelum menuju ke usia tua. Biasanya pengkhianatan berlaku kerana sedikit kepentingan duniawi yang dirasakan miliknya dan dia berhak untuk memperolehi kerana peluang terbuka dengan luas. Sesungguhnya ancaman Allah serta amarannya kepada pemerintah yang khianat melalui lisan RasulNya begitu tegas.

#Rasulullah saw telah berdoa untuk para pemerintah dengan bersabda: "Barangsiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umatku dan dia menyusahkan mereka maka engkau sukarkanlah urusan mereka tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umat ku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya.”

♡Pastikan segala janji disepanjang kempen pilihanraya ditunaikan dengan sebaiknya. Jangan sesekali menempah dosa dan kemurkaan Allah dengan mengabaikan janji yang telah dilafazkan. Tunaikan apa yang telah dijanjikan!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 28 Muharram 1445H☆

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَیۡنَ أَن یَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَـٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومࣰا جَهُولࣰا

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" [Surah al-Aḥzab 72]

#Ketua negara, raja, perdana menteri, wakil rakyat atau pemimpin ialah jawatan atau kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah.

#Namun, jawatan kepimpinan menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia sehingga melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke hari akhirat yang segalanya akan dihisab kelak.

#Sabda Nabi saw:

‌وَلَوْ ‌أَنَّ ‌لِابْنِ ‌آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ ‌أَحَبَّ ‌أَنْ ‌يَكُونَ ‌لَهُ ‌وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepadaNya" (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Namun begitu, diingatkan kepada para pemimpin, fadhilat yang sangat besar jika mereka dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah swt sehingga dijanjikan kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah swt di padang Mahsyar yang menakutkan kelak.

#Sabda Nabi saw: Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naunganNya;  pertamanya ialah imam (pemimpin atau raja) yang adil” (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Maka, setiap pemimpin wajib memastikan penasihat dan orang disekelilingnya bukan para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Pastikan penasihat itu adalah yang setia menegur dan memperingatkannya agar tidak leka dengan tanggungjawab serta sedar tugas utama sebagai pemimpin. Jangan sesekali melantik penasihat, pembantu atau pegawai di kalangan makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka.

#Sabda Nabi saw:

‌إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri, pegawai atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya” (HR Abu Dawud)

♡Jika seorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah swt melalui penurunan wahyu. Adapun jika seorang manusia biasa menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia, secara zahirnya bijak dan batinnya benar dan ikhlas. Benar percakapan dan hatinya, ikhlas pada niatnya kerana Allah swt dan bertaqwa (takut) kepadaNya♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 26 Muharram 1445H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)" [Surah al-Anfal 27]

#Kedudukan sebagai pemimpin samada dalam apa agensi atau pertubuhan atau parti politik di peringkat negeri hinggalah Persekutuan, tidak boleh dinilai sebagai satu keistimewaan. Sebaliknya, ia membawa amanah dan tanggungjawab penting yang perlu dipikul sebaik mungkin, malah menuntut pengorbanan cukup besar demi menjamin kesejahteraan dan kesentosaan masyarakat serta rakyat yang dipimpin.

#Amanah dan tanggungjawab yang digalas ini akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak walaupun hanya melibatkan isu sebatang jarum.

#Sabda Rasulullah saw:

مَنِ اسْتَعْمَلْنَاهُ مِنْكُمْ عَلَى عَمَلٍ، فَكَتَمَنَا مِخْيَطًا، فَمَا فَوْقَهُ كَانَ غُلُولًا يَأْتِي بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Barangsiapa yang kami lantik sebagai petugas (pemimpin) dan kemudian dia menyembunyikan dari kami (walaupun) sebatang jarum atau perkara yang lebih besar dari itu, maka dia telah mengkhianati (kaum muslimin) dan dia akan dibangkit di hari kiamat dengan pengkhianatan itu" (Sahih Muslim)

#Firman Allah swt:

أَیَحۡسَبُ ٱلۡإِنسَـٰنُ أَن یُتۡرَكَ سُدًى

"Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja? (tanpa pertanggungjawaban?)" [Surah al-Qiyamah 36]

#Allah swt memberi penekanan betapa pemimpin dan penguasa yang diberi amanah dan tanggungjawab mesti menunaikan amanah berkenaan kerana akan dipersoalkan di akhirat kelak.

#Tanggungjawab boleh diertikan dengan kewajipan dipikul seseorang atau segala yang wajib ditanggung. Ia juga merujuk segala tanggungan, kewajipan, beban, tugas dan amanah.

#Amanah pula dapat diterjemahkan sebagai kepercayaan, kesetiaan, kejujuran, dan integriti. Dalam tradisi Islam amanah amat rapat dengan iman dan tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak amanah.

#Juga tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji. Firman Allah:

وَأَوۡفُواْ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ إِذَا عَٰهَدتُّم

"Dan sempurnakanlah janji dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji" [Surah an-Nahl 91]

#Daripada Anas bin Malik r.a berkata:

مَا خَطَبَنَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Nabi saw tidak pernah berkhutbah di hadapan kami kecuali baginda mengatakan: “Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji” (HR Ahmad)

#Oleh itu, tunaikanlah amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Jangan sesekali mengkhianati amanah yang dipegang. Ketahuilah bahawa pemimpin yang melaksanakan kewajipan diamanahkan akan diberi ganjaran pahala, sementara yang tidak menunaikannya akan mendapat dosa dan azab daripada Allah swt.

♡Pilihanraya pun sudah selesai dan wakil rakyat pun sudah diketahui. Tahniah kepada yang menang dan selamat menggalas tanggungjawab dan amanah yang telah dibebankan dibahu masing-masing. Moga bantuan Allah bersama kalian semua!! Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 24 Muharram 1445H☆

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan [Surah al-Nahl 90]

#Syeikh as-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itu adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat: Tafsir as-Sa’di)

#Keadilan dalam kerajaan sesebuah negara merujuk kepada pentadbiran undang-undang dan dasar yang adil serta sama-rata dalam melindungi hak dan kebebasan warganegara dan memastikan individu dan kumpulan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

#Keadilan merangkumi pelbagai prinsip dan nilai, kedaulatan undang-undang, perlindungan hak individu dan tanggungjawab yang sudah pasti perlu selari dengan syarak. Matlamat utama sistem kerajaan yang adil adalah untuk memastikan semua dilayan secara adil dan bermaruah, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

#Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengarahkan pegawainya untuk membatalkan beberapa keputusan yang dibuat oleh al-Hajjaj kepada orang Islam dan orang bukan Islam. ‘Ali bin Abi Hamlah berkata: “Kami orang-orang bukan Arab di Damsyik telah mengadu kepada Umar bin Abdul Aziz berkenaan sebuah gereja yang telah dirampas oleh seorang individu dalam kalangan pemerintah (yang kemudiannya diberikan kepada Bani Nasr di Damsyik). Kemudiannya Khalifah Umar mengusir mereka daripada gereja dan mengembalikannya kepada orang Kristian. (Lihat: Futuh al-Buldan)

#Al-Waqidi mencatatkan bahawa ketika Umar bin Abdul Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, seorang utusan daripada penduduk Samarqand mengadu kepadanya tentang Qutaibah telah memasuki kota mereka dan menempatkan tenteranya dengan tipu muslihat. Umar memerintahkan gabenornya untuk melantik seorang pembesar yang akan memutuskan sama ada orang Islam harus meninggalkan Samarqand atau tidak. Beliau melantik Jami’ bin Ḥaḍir al-Baji untuk jawatan tersebut. Hakim telah memutuskan bahawa orang Islam harus mengosongkan kawasan berkenaan dan keluar. Penduduk Samarqand enggan berperang dengan orang Islam, dan mereka bersetuju untuk orang Islam tinggal bersama mereka. (Lihat: Futuh al-Buldan).

#Semasa pemerintahan sebelum Khalifah Umar, ramai orang telah dihantar ke penjara kerana sistem yang bermasalah dan beberapa isu penindasan. Atas sebab ini, Umar bin Abdul Aziz membebaskan tawanan dan memberi mereka pengampunan. Waddah ibn Khaithamah berkata: “Apabila Umar bin Abdul Aziz ditabalkan sebagai Khalifah, beliau memerintahkan saya untuk membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh pemerintah sebelumnya. Saya membebaskan mereka semua kecuali Yazid bin Abi Muslim” (Lihat: Zamm al-Baghy)

♡Keadilan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar ini patut dicontohi oleh pemimpin zaman kini. Pastikan pemimpin yang dilantik menerajui negara terdiri dalam kalangan insan-insan yang adil, amanah, bertaqwa dan sentiasa ghairah melakukan kebaikan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 22 Muharram 1445H☆

ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" [Surah al-Ḥajj 41]

#Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang diberikan amanah memimpin, syaratnya ialah di kalangan yang erat hubungannya dengan Allah swt, menegakkan ekonomi yang adil, melaksanakan amar makruf dan nahi munkar, serta berwawasan hari Akhirat.

#Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz berusaha untuk memastikan bahawa beliau dikelilingi orang-orang soleh yang akan menasihatinya dengan kebenaran dan membimbingnya kepada kebenaran.

#Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memulakan pentadbirannya dengan meminta nasihat dan buah fikiran serta mutiara hikmah dari tokoh ulamak. Antaranya al-Hasan al-Basri, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab, Raja’ bin Haiwah, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas’ud yang mereka semua adalah sadah al-tabi’in dan ulamak rabbani yang terkenal dengan kealiman, kewarakan, keikhlasan dan keberanian semata-mata takutkan Allah swt. Barisan ahli syura seperti ini yang sentiasa dipandu oleh ulama rabbani menjadikan sebarang tindakan Khalifah Umar bin Abdul Aziz menepati syariat Islam. 

#Yazid bin Hausyab pernah berkata bahawa Umar begitu takut kepada Allah sehingga seolah-olah syurga dan neraka itu dicipta oleh Allah hanya bagi beliau.

#Ingatlah, jangan sesekali dilantik pemimpin daripada kalangan mereka yang fasiq, pembohong yang menipu rakyat, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar, serta hanya berwawasan dunia tanpa mengambil kira perhitungan pada hari pembalasan di akhirat kelak.

#Imam az-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain.”

#Nasihat Rasulullah saw kepada Ibn Umar r.huma agar setiap pemimpin perlu ingat akan hari akhirat:

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي، فَقَالَ: «كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ» وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ المَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ.

“Rasulullah saw telah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara.” Ibn ‘Umar r.huma juga berkata: “Bila kamu berada di waktu petang, maka janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan bila kamu berada di waktu pagi, maka janganlah menunggu waktu petang, gunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu”. (HR al-Bukhari dan Ibn Majah)

#Hadis ini secara amnya mengajar kepada kita bagaimana untuk berinteraksi dengan dunia dan segala isinya. Islam mengajar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan di mana kita berada di dalamnya untuk mempersiapkan diri menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana. Maka ambillah dunia sekadarnya dan jadikan akhirat sebagai tujuan utama. (Lihat: al-Kafi Syarah Hadis 40)

#Diriwayatkan daripada Sayidina Anas bin Malik r.a:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak setia terhadap janjinya" (HR Ahmad)

♡Lantiklah pemimpin yang benar-benar bertaqwa sehingga dapat melahirkan negara baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 20 Muharram 1445H☆

یَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِیفَةࣰ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَیُضِلَّكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَضِلُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدُۢ بِمَا نَسُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu" [Surah Ṣad 26]

#Kepemimpinan adalah sebuah kemuliaan sekiranya dilaksanakan mengikut hukum syariat dan dipenuhi pemimpin yang amanah, sebaliknya membawa kehinaan jika dilaksanakan dengan pengkhianatan dan pengabaian.

#Sabda Rasulullah saw sebagaimana diriwayatkan daripada Sayidina Abu Zar r.a bahawa dia bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah kenapa tuan tidak melantik aku (menjadi pemimpin). Lalu Rasulullah saw memegang bahuku dengan tangannya dan bersabda:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku lihat engkau adalah lemah sedangkan jawatan kepimpinan itu adalah amanah. Dan ia pada hari kiamat nanti adalah satu kehinaan serta penyesalan melainkan mereka yang memegangnya dengan haknya dan menunaikan hak yang terdapat ke atas kepemimpinan itu" (HR Muslim)

#Ketika khalifah Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk pemerintahan, terserlah pelaksanaan pemerintahan mengikut landasan syariat dan sifat amanah dalam pemerintahannya. Hal ini kerana beliau mewarisi sifat tersebut daripada datuknya, Sayidina Umar Ibn al-Khattab r.a. Beliau telah menempa (mengukir) pada matawangnya dengan perkataan

"اَمَرَ الله بِالْوَفَاءِ وَالْعَدْلِ"

yang bermaksud: “Allah swt perintahkan dengan bersifat amanah dan berlaku adil"
 
#Umar Ibn Abdul Aziz pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan dengan berkata: Hai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang beriman dan kafir mu’ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran. Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ianya membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya.

#Ketika selepas dilantik menjadi khalifah, antara tindakan awalnya ialah beliau tidak menaiki binatang atau kenderaan yang khusus kepada Khalifah, tetapi mencari baghalnya dan berkata kepada pembantu setianya: “Hai Muzahim, ambillah kenderaan ini dan serahkan kepada Baitulmal.” Begitu juga dengan tempat duduk yang penuh dengan kemewahan dan kerusi yang empuk digantikan dengan tikar. Beliau mengamalkan tuntutan al-Quran agar tidak membazir dan bermewah apatah lagi ramai rakyatnya yang susah dan miskin.

♡Pastikan jawatan kepimpinan yang kita pegang dilaksanakan dengan sebaiknya bertepatan dengan kehendak Allah dan rasulNya. Jadilah pemimpin yang amanah dan sentiasa menjadi kebajikan golongan yang lemah dan susah. Sama-samalah kita semua, termasuk para pemimpin agar sentiasa membaiki dan mengislahkan diri ke arah yang lebih baik. Jangan hanya jadi baik dan pemurah di musim pilihanraya sahaja!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 13 Syawwal 1444H☆

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)" [Surah al-Kawthar 2]

#Ibadah korban yang sempurna ialah memastikan binatang untuk dijadikan korban mestilah terbaik, sihat, sempurna dan selamat daripada aib atau kecacatan yang mengurangkan dagingnya.

#Imam an-Nawawi menyebutkan ijma’ tentang perkara ini dengan berkata:

وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا

"Para ulamak bersepakat terhadap galakkan untuk memilih haiwan korban yang terbaik dan yang sempurna" (Lihat: Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim)

#Selain itu, dilarang memilih binatang yang cacat dan kurang dagingnya. Imam an-Nawawi rahimahullah:

وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما

"Syaratnya (haiwan yang dijadikan binatang korban) ialah mestilah bebas daripada aib yang menyebabkan daging haiwan tersebut berkurang" (Lihat: Minhaj al-Talibin)

#Berdasarkan perbahasan diatas, pandangan muktamad mazhab as-Syafie adalah tidak sah untuk menjadikan haiwan yang hamil sebagai binatang korban. Hal ini kerana keadaan tersebut akan mengurangkan daging bagi haiwan korban itu, justeru ia dikira sebagai satu aib yang menyebabkannya tidak boleh dijadikan korban.

#Dijelaskan lagi oleh Imam Syamsuddin ar-Ramli di dalam kitabnya, Nihayat al-Muhtaj:

وَقَضِيَّةُ كَلَامِهِ عَدَمُ إجْزَاءِ التَّضْحِيَةِ بِالْحَامِلِ لِأَنَّ الْحَمْلَ يُهْزِلُهَا وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ

"Maksud daripada kata-kata pengarang (Imam an-Nawawi) ialah tidak sah korban haiwan yang hamil kerana keadaan hamil tersebut mengurangkannya (tidak cukup syarat). Pandangan ini merupakan pandangan muktamad".

♡Pastikan binatang yang dibuat korban ialah binatang yang sihat, tidak cacat, tidak hamil, banyak daging, sempurna dan terbaik. Moga Allah menerima ibadah korban kita. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 11 Syawwal 1444H☆

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: Nescaya aku akan membunuh kamu. Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa" [Surah al-Maidah 27]

#Sehari dua ni timbul persoalan berkaitan pelaksanaan korban untuk si mati. Berkaitan isu ini, berlaku khilaf di kalangan fuqahak. Terdapat beberapa perbahasan, antaranya;

1. Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat as-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:

Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat: Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh)

2. Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian as-Syafi’ieyyah.

#Dalam Matalib Uli al-Nuha menyebutkan: "Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekah dan hadiah”.

3. Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah.

#Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulamak, pendapat yang pertama, pendapat kebanyakan Syafi’eyyah diguna pakai di Malaysia yang bermazhab Syafie iaitu jika ingin melakukan korban untuk si mati mesti adanya wasiat dari si mati (sebelum meninggal dunia) untuk melakukan korban buat dirinya.

#Namun, kita juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: 

“(Dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e)

♡Oleh itu, bagi yang ingin melakukan ibadah korban bagi simati maka ada pendapat yang membolehkan dengan adanya wasiat dari si mati dan ada pendapat yang membolehkan tanpa perlu wasiat dari si mati. Maka berlapang dadalah dalam menangani isu ini tanpa perlu sebarang perbalahan dan ketegangan. Laksanakanlah ibadah ini dengan ilmu dan keikhlasan♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 9 Syawwal 1444H☆

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: Nescaya aku akan membunuh kamu. Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa" [Surah al-Maidah 27]

#Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa ibadah korban ada dinyatakan di dalam al-Quran.

#Berkata Imam Ibnu Kathir rahimahullah daripada Sayidina  Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash r.huma berkata: "Sesungguhnya dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang dari mereka dan tidak diterima korban dari yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil) adalah merupakan pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing. Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya. Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan tidak elok. Lalu Allah swt menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima korban pemilik kebun tersebut" (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir)

#Diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.ha, bahawa Nabi saw bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari an-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah swt sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)" (HR at-Tirmizi)

#Hadis ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya Aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri)

#Ibadah korban merupakan suatu tuntutan syariat kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan. Hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya dikurniakan sepanjang tahun dan juga dengan menunaikan ibadah korban boleh menghapuskan dosa-dosa kecil serta ibadah korban juga sedikit sebanyak boleh meringankan beban orang yang dalam kesempitan.

#...Bersambung...

♡Jom berazam dan bersedia dari sudut ilmu dan kewangan daripada sekarang untuk pelaksanaan ibadah korban pada bulan Zulhijjah yang bakal tiba tidak lama lagi♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

*SEDEKAH JUMAAT: RUMAH UMMI TALPA, PENGASAS RUMAH ANAK YATIM BUKIT LALANG, SEMPORNA, HANGUS DIJILAT API*

Klik dan sumbang:
https://toyyibpay.com/BANTUAN-RUMAH-UMMI-TERBAKAR

Tinggal sehelai sepinggang😭😭.. Itulah ujian dahsyat yang terjadi kepada Ummi Talpa yang menjaga dan mengurus 40 orang anak yatim di Kg Bukit Lalang...

Rumah Ummi Talpa, pengasas rumah Anak yatim Kg Bukit Lalang, Semporna, Sabah hangus 100% dijilat api. (Rumahnya berhadapan rumah anak yatim yang diusahakannya).

Kejadian menyayat hati ini berlaku pada 23 April 2023, HARI RAYA KEDUA, disebabkan litar pintas.

Ketika kejadian, suami Ummi Talpa, Ust Muhammad seorang sahaja yang berada di rumah. Beliau sedang tidur semasa berlaku kebakaran dan menyedari setelah asap memenuhi ruang rumah. Beliau tersadung ketika keluar dari bilik dan berjaya merangkak keluar dari pintu belakang.

Beberapa detik setelah beliau keluar, bumbung rumah yang sedang marak dijilat api tiba-tiba runtuh. Alhamdulillah Beliau selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Untuk maklumkan semua penyumbang, jika ada anak yatim yang perlukan perhatian khusus (sakit, kurang sihat) akan dijaga di rumahnya yang terbakar tersebut. Selain itu, di bahagian bawah rumah Ummi Talpa terdapat peralatan dan barangan memasak untuk rumah anak yatim. Beliau memasak dirumahnya khususnya disepanjang Ramadhan untuk anak-anak yatim tersebut. Maka, semua harta benda miliknya, 8 buah tong gas, peti ais, barang-barang masakan untuk anak-anak yatim yang berada di setor di ruangan bawah rumahnya turut musnah terbakar. Sekarang Ummi Talpa dan Ustaz Muhammad menumpang sementara di surau berhadapan rumah anak yatim...

*KOS DIPERLUKAN: 100 RIBU*

JOM SAMA-SAMA KITA HULURKAN SUMBANGAN UNTUK MEMBINA SEMULA RUMAH UMMI TALPA DAN UST MUHAMMAD.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.😭😭
.....................
*SUMBANGAN BOLEH DISALURKAN KE AKAUN TOYYIB PAY:*

https://toyyibpay.com/BANTUAN-RUMAH-UMMI-TERBAKAR

*Atau terus ke akaun:*

*Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor
*Maybank_5629_9101_9074
*Cimb_8604_7707_81
*Remark: BANTUAN RUMAH UMMI TERBAKAR
.....................
SMS/Whatsapp slip/bukti sumbangan kepada:

📲Ust Naim: http://www.wasap.my/60196023803/BantuanRumahUmmiTerbakar

📲Tn Abu Umar: http://www.wasap.my/60193113501/BantuanRumahUmmiTerbakar

📲Tn Akmalizan: http://www.wasap.my/60172722696/BantuanRumahUmmiTerbakar

📲Puan Zarina: http://www.wasap.my/0193223501/BantuanRumahUmmiTerbakar

*_ANDA HULUR, KAMI SALUR_*

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 6 Syawwal 1444H☆

وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ یَأۡتِیَكَ ٱلۡیَقِینُ

"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin" [Surah al-Ḥijr 99]

#Allah swt memerintahkan kita semua untuk istiqamah melakukan amal soleh sehinggalah datangnya kematian.

#Persediaan bagi menghadapi kematian perlu dilaksanakan setiap masa kerana tiada sesiapa yang mengetahui bila saat dan kematiannya.

#Ramadhan baru sahaja meninggalkan kita semua, tetapi amal ketaatan kepada Allah kekal untuk dilaksanakan. Jika dibulan Ramadhan hampir setiap malam umat Islam menghidupkan malam dengan solat berjemaah Isyak, solat sunat selepas Isyak, solat sunant terawih, solat sunat witir dan tadarus al-Quran. Maka sepatutnya amalan menghidupkan malam ini diteruskan seperti biasa seperti solat berjemaah, solat sunat selepas Isyak, solat sunat Witir dan membaca al-Quran.

#Solat sunat Witir dituntut untuk dilakukan pada setiap malam sepanjang hidup kita. Ia bukan hanya dituntut disepanjang Ramadhan semata-mata.

#Diriwayatkan daripada Sayidina Jabir r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

"Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat witir lebih awal (di awal malam/selepas solat sunat ba'diyah Isyak). Dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam (selepas Tahajjud, sebelum masuk waktu Subuh). Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal” (Sahih Muslim)

#Nabi saw juga pernah mewasiatkan kepada Sayidina Abu Hurairah r.a agar melazimi solat sunat witir ini sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan sendiri oleh Sayidina Abu Hurairah r.a:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

"Kekasihku (iaitu Rasulullah SAW) mengingatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur” (Sahih al-Bukhari)

#Diriwayatkan daripada Sayidina Abu Ayyub al-Ansari r.a, Rasulullah saw bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلَاثِ فَلْيَفْعَلْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

"Solat witir merupakan satu tuntutan ke atas setiap Muslim. Siapa yang mahu solat witir secara lima rakaat, maka dia boleh lakukannya. Siapa yang mahu melakukannya secara tiga rakaat maka lakukanlah. Jika dia mahu lakukan secara satu rakaat maka lakukanlah" (Sunan Abi Dawud dan Sunan an-Nasa’ie)

#Diriwayatkan Salam satu athar daripada Sayidina Ali bin Abi Talib r.a berkata:

إِنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ وَلاَ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَوْتَرَ. ثُمَّ قَالَ: يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

"Sesungguhnya solat witir tidak diwajibkan ke atas kalian sebagaimana solat-solat fardhu, namun Rasulullah saw sentiasa melazimi solat Witir. Maka wahai Ahlul Quran, dirikanlah solat Witir, kerana sesungguhnya Allah swt itu witir (ganjil) dan suka akan keganjilan" (Jami’ at-Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan Sunan an-Nasa’ie)

#...Bersambung...

♡Teruskan amalan-amalan yang kita lazimi disepanjang Ramadhan. Moga istiqamah sehingga datangnya ajal. Aamiiin♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 4 Syawwal 1444H☆

وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا * إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰ⁠نَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" [Surah al-Israʾ 26-27]

#Diantara dosa dan kesilapan yang biasa terjadi ketika menyambut hari raya ialah dosa membazir.

#Sayidina Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas r.huma mengatakan pembaziran adalah menginfakkan sesuatu bukan pada jalan yang benar.

#Qatadah mengatakan: “Yang namanya tabdzir (pemborosan) adalah mengeluarkan nafkah dalam berbuat maksiat pada Allah, pada jalan yang keliru dan pada jalan untuk berbuat kerosakan".

#Pemborosan yang seringkali dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri adalah dari aspek pakaian. Maksudnya membeli atau menempah pakaian yang berlebih-lebihan. Terlalu banyak pakaian yang ditempah sehingga tidak lagi menjadi keperluan tetapi menjadi lebihan. Meskipun ia adalah hak golongan kaya-raya, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
 
#Walaupun Baginda Nabi saw menggalakkan kita berpakaian baharu dan cantik pada hari perayaan Aidilfitri, tetapi janganlah sampai terlalu boros sehinggakan melebihi had. Baginda saw sendiri melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas.

#Selain pakaian, pemborosan juga berlaku dari aspek pembelian peralatan dan perhiasan rumah seperti langsir, perabot, lampu baru yang mahal, syiling baru dan seumpamanya. Tidak salah jika kita ingin menjadikan Aidilfitri masa untuk menukar peralatan dan perhiasan rumah, tetapi tidak perlulah dilakukan apabila setiap kali Aidilfitri, kerana Aidilfitri adalah masa untuk mengeratkan silaturrahim. Paling penting adalah layanan mesra sewaktu menerima kunjungan tetamu.
 
#Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak-anak. Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun atau bunga api demi menggembirakan anak-anak pada hari dan malam raya. Selain aspek pembaziran, bermain mercun juga boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada tubuh badan anak-anak.

#Selain itu, pembaziran dari sudut makanan yang terlalu mewah dan terlalu banyak menu sehingga berlebihan dan banyak yang dibuang. Amalan menjamu makan adalah terpuji dan dianjur oleh Islam, tetapi jika sampai membazir maka mengundang dosa dan kemurkaan Allah swt.

♡Islam tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi Islam mengajar umatnya tata kelola berbelanja dengan betul, iaitu secara sederhana dan tidak boros. Kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang menyambut Aidilfitri dalam serba kedaifan dan kekurangan. Alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah agar mereka juga dapat bergembira di hari raya♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 2 Syawwal 1444H☆

وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

"Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur" [Surah al-Baqarah 185]

#Dalam memahami disebalik anugerah aidilfitri ini kita hendaklah merujuk kepada al-Quran yang merupakan sumber terutama bagi kita. Allah swt dalam ayat diatas menyebut bagaimana perayaan ini adalah satu ibadah yang dihiasi dengan takbir dan tahmid sebagai satu lambang kesyukuran.

#Syukur atas anugerah mampu menyempurnakan puasa Ramadhan, menghidupkan malam Ramadhan dengan amal soleh bersama segala keberkahan pemberian di bulan tersebut, mengenang akan segala nikmat hidayah yang telah dikurniakan kepada kita umat Islam samada nikmat iman dan Islam ataupun nikmat taqwa dan jihad. Syukur itulah maksud serta tujuan utama kepada anugerah ini.

#Sepatutnya hari raya disambut dengan suasana penuh keimanan bukannya di penuhi dengan fitnah dan kemaksiatan yang berleluasa.

#Keadaan sambutan hari di zaman kini sebenarnya menuntut kepada kita untuk sentiasa kembali memperbetulkan beberapa gambaran berkenaan sambutan ini supaya ianya benar-benar menjadi suatu anugerah ibadah dan bukan pesta kemaksiatan serta semakin jauh daripadaNya.

#Adalah suatu perkara yang pelik sebenarnya bagaimana kita boleh menyatakan kita bersyukur padaNya namun dalam masa yang sama kita sedang melakukan maksiat kepadaNya. Kita bermaksiat dengan membiarkan isteri, anak-anak dan saudara-mara kita merayakan, berpakaian, berakhlak dalam bentuk yang jauh sangat daripada lambang kesyukuran. Sedih tetapi itulah hakikat diri kita pada hari ini.

#Kita lihatlah budaya sambutan yang hidup dikalangan umat Islam pada hari ini dengan segala perkara lagha yang melampau, sambutan yang bercampur baur ikhtilat lelaki dan wanita, berhibur dengan lagu-lagu yang tidak langsung memuja dan memuji Allah hinggakan paling dahsyat diabaikan solat-solat fardhu yang selama ini dipelihara di bulan Ramadhan, jauh sekali amalan sunat dan bacaan al-Quran. Ini menggambarkan seolah-olah mereka ini berasa terseksa atau terkurung dengan Ramadhan, lalu merayakan syawal sebagai hari pembebasan dari segala belenggu ini, mereka kembali memperbaharui janji taat setia mereka bersama syaitan yang selama ini telah dikurung sebulan yang lalu.

#Disebutkan bahawa:

ما فرح أحد بغير الله إلا بغفلته عن الله، فالغافل يفرح بلهوه وهواه، والعاقل يفرح بمولاه

"Tidaklah seseorang itu bergembira tanpa mengingati Allah melainkan dia sebenarnya telah dilupakan oleh Allah swt. Seorang yang lalai akan bergembira dengan hawa nafsu mereka, sedangkan seorang yang berakal akan gembira ketika mana dia semakin dekat kepadaNya".

#Ketika mana golongan salafussoleh dan para sahabat berpakaian baru pada hari raya ianya bukanlah bermaksud sekadar mencantikkan diri pada hari perayaan, tetapi ianya adalah satu lambang peribadi yang telah kembali suci menjadi satu insan yang baru setelah sebulan dibasuh dengan air keimanan dan dibersihkan dalam kolam keberkatan Ramadhan.

♡Cara kita menyambut perayaan ini sebenarnya adalah satu lambang terhadap siapakah diri kita yang sebenarnya, samada kita seorang yang benar-benar menjadi hamba Rabbani atau sekadar menjadi hamba kepada nafsu. Selamat bermuhasabah!!♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…

Tadabbur Kalamullah

☆Tadabbur Kalamullah 30 Ramadhan 1444H☆

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُوا۟ رَبَّكُمۡ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارࣰا

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun" [Surah Nuḥ 10]

#Antara matlamat kedatangan Ramadhan ialah untuk menyucikan dan membersihkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan dosa yang sedang dilakukan.

#Nabi saw juga berpesan kepada Sayidatina Aisyah r.ha agar banyakkan berdoa memohon keampunan terutama di malam lailatul qadar.

#Sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, maka kita perlu melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita khususnya di bulan Ramadhan yang menjanjikan keampunan dan rahmatNya.

#Sesiapa yang beristighfar,
maka Allah akan ampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Ini berdasarkan sabda Nabi saw:

 غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

“Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan" (Riwayat Ibn al-Sunni)

#Sebelum berakhirnya Ramadhan maka ambillah peluang keemasan yang ada sehari lagi untuk memperbanyakkan memohon keampunanNya terutama beristighfar di hari Jumaat.

#Daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

“Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan" (Riwayat Ibn al-Sunni)

#Bersempena esok Jumaat terakhir Ramadhan, maka perbanyakkanlah istighfar dan taubat. Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah:

"Disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi saw pada hari Jumaat berbanding hari-hari lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari". (Lihat: al-Azkar)

#Dengan beristighfar kita sememangnya dapat memanfaatkan masa dengan amalan yang mendatangkan banyak manfaat dan pahala. Sama ada sedang berehat atau bekerja, bibir sentiasa melafazkan zikir dan istighfar membolehkan kita mengingati Allah setiap masa. 

#Seorang ulamak berkata: “Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila ia menyebut nama Allah, ia berasa bangga. Apabila menyebut dirinya, ia merasa hina. Apabila memperhatikan ayat-ayat Allah swt, ia ambil pelajarannya. Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya. Apabila disebutkan ampunan Allah swt, ia merasa gembira. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.” (Lihat: Kitab Tanbihu al-Ghafilin)

♡Dikesempatan akhir Ramadhan ini, marilah kita memperbanyakkan istighfar dan taubat kepadaNya agar Ramadhan meninggalkan kita dalam keadaan segala dosa kita diampuni Allah swt♡

🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN    
http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Читать полностью…
Подписаться на канал