☆Tadabbur Kalamullah 18 Jamadil Akhir 1444H☆
فَوَسۡوَسَ لَهُمَا ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِیُبۡدِیَ لَهُمَا مَا وُۥرِیَ عَنۡهُمَا مِن سَوۡءَ ٰ تِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنۡ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَا مَلَكَیۡنِ أَوۡ تَكُونَا مِنَ ٱلۡخَـٰلِدِینَ
"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)" [Surah al-A`raf 20]
#Allah swt menyatakan dalam ayat ini bahawa tujuan syaitan menghasut Nabi Adam Alaihissalam dan Sayidatina Hawa adalah untuk mereka berdua melakukan penderhakaan kepada Allah swt disamping menghina kedua-dua iaitu untuk menelanjangkan mereka berdua.
#Iblis tahu bahawa tatkala mereka melanggar larangan Allah, perbuatan itu akan menghinakan mereka berdua. Hal ini pernah berlaku kepadanya, apabila Iblis menentang perintah Allah, ia dihukumkan kafir dan dihalau keluar dari syurga.
#Berwaspadalah, perbuatan menelanjangkan manusia ini diteruskan Iblis dan syaitan bahkan menjadi agendanya yang berjaya terutama di akhir zaman ini.
#Begitulah yang kita lihat bagaimana manusia-manusia yang jauh daripada agama, yang jahil agama, yang tiada rasa cintakan agama akan menayangkan tubuh badan mereka untuk dilihat oleh manusia lain. Berpakaian seksi untuk tatapan semua manusia. Ingatlah, manusia yang sentiasa menampakkan aurat, mereka sentiasa berada di dalam dosa. Iblis telah berjaya menelanjangkan Nabi Adam dan Hawa, maka anak cucunya juga dihasut agar dapat ditelanjangkan.
#Setelah itu, Iblis telah menipu Nabi Adam dan Hawa dengan membisikkan bahawa Allah telah melarang mereka berdua daripada mendekati dan makan buah daripada pokok tersebut kerana Allah tidak mahu mereka berdua menjadi malaikat.
#Apa sebab ditawarkan status malaikat kepada Nabi Adam dan Hawa? Hal ini kerana sifat malaikat adalah makhluk Allah yang benar-benar taat. Maka, iblis menawarkan mereka untuk menjadi hamba Allah yang baik, menjadi malaikat yang sentiasa beribadah dan mentaati Allah swt. Ini mengajar kita adakalanya syaitan menyesat dan memesongkan manusia dengan mengajak ke arah kebaikan. Ia nampak sahaja baik, tetapi sebenarnya bertujuan jahat untuk merosakkan iman seseorang.
#Alasan Iblis ini sebenarnya tidak logik. Kenapa pula Nabi Adam dan Hawa hendak menjadi malaikat? Sedangkan sebelum ini, para Malaikat telah diperintahkan oleh Allah untuk memuliakan Nabi Adam Alaihissalam. Ini menunjukkan kedudukan Nabi Adam Alaihissalam lebih tinggi daripada para Malaikat!
#Ini memahamkan kita bahawa perkara mengarut dan merapu pun akan dibisikkan Iblis. Namun disebabkan Iblis sentiasa, tak henti-henti datang membisikkan benda yang sama, menyebabkan manusia boleh termakan hasutannya. Sebab itulah kita sebenarnya tidak perlu hairan dengan kepelikan fahaman yang dianuti dan diikuti oleh masyarakat kita saat ini. Semuanya terpengaruh dengan hasutan syaitan.
...Bersambung...
♡Iblis kerjanya menipu dan memperdayakan manusia. Iblis cuba mempercantikkan perkara yang sebenarnya dosa. Maka jangan termakan dengan hasutan dan tipu dayanya. Berwaspadalah!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 16 Jamadil Akhir 1444H☆
وَیَـٰۤـَٔادَمُ ٱسۡكُنۡ أَنتَ وَزَوۡجُكَ ٱلۡجَنَّةَ فَكُلَا مِنۡ حَیۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِینَ
"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim" [Surah al-A`raf 19]
#Setelah Iblis diusir dari syurga, Nabi Adam Alaihissalam dan isterinya, Sayyidatina Hawa, hidup tenteram di dalam syurga. Mereka menikmati segala kemudahan yang disediakan.
#Allah swt menyebut tentang nikmat-nikmat yang disediakan kepada Nabi Adam dan Hawa di dalam syurga. FirmanNya:
إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِیهَا وَلَا تَعۡرَىٰ
"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.
وَأَنَّكَ لَا تَظۡمَؤُا۟ فِیهَا وَلَا تَضۡحَىٰ
"Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari" [Surah Ta-ha 118-119]
#Allah swt membolehkan keduanya untuk makan apa sahaja makanan syurga yang mereka inginkan, kecuali buah daripada pohon larangan.
#Berkaitan dengan pokok larangan tersebut, Allah swt tidak menamakan pohon tersebut. Iblislah yang meletakkan nama sebagai pokok khuldi (pokok keabadian).
#Firman Allah swt:
فَوَسۡوَسَ إِلَیۡهِ ٱلشَّیۡطَـٰنُ قَالَ یَـٰۤـَٔادَمُ هَلۡ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلۡخُلۡدِ وَمُلۡكࣲ لَّا یَبۡلَىٰ
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon (khuldi) yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?" [Surah Ta-ha 120]
#Nama pohon khuldi tersebut diberikan oleh Iblis untuk menipu Nabi Adam agar bermaksiat dan melanggar perintah Allah swt.
#Terdapat pelbagai pendapat di kalangan ahli tafsir mengenai nama pohon larangan tersebut. Ada yang mengatakan itu adalah pohon anggur. Ada juga sebahagian yang meyakini bahawa pohon tersebut adalah sejenis gandum. Ada yang mengatakan pokok epal. Ada pendapat mengatakan pohon kurma. Ulamak lainnya menyebutkan pohon tersebut adalah pokok tin. Wallahua'lam.
#Tatkala al-Quran tidak menyebut nama pohon tersebut, maka tidak perlulah kita menghabiskan waktu yang banyak untuk mencari tahu nama pokok tersebut.
#Di akhir ayat, Allah memberi amaran bahawa jika mereka hampiri juga pohon larangan tersebut, mereka berdua akan tergolong dalam kalangan orang yang zalim, kerana melanggar larangan tersebut. Arahan sudah diberi, jika dilanggari buruk balasannya. Kita akan lihat seterusnya apa bakal terjadi dalam kisah ini.
♡Sesiapa yang melanggar perintah Allah maka kerugian dan penyesalan bakal menimpanya. Oleh itu, jangan sesekali melanggari perintah dan larangan Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 14 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومࣰا مَّدۡحُورࣰاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِینَ
Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya" [Surah al-Araf 18]
#Dalam ayat ini juga, Allah swt memaklumkan kepada kita semua, bahawa sesiapa sahaja yang menjadi pengikut syaitan atau menjadi kuncu-kuncunya, maka Allah akan humbankan semuanya ke dalam neraka jahannam bersama-sama dengan Iblis syaitan.
#Firman Allah swt:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یُجَـٰدِلُ فِی ٱللَّهِ بِغَیۡرِ عِلۡمࣲ وَیَتَّبِعُ كُلَّ شَیۡطَـٰنࣲ مَّرِیدࣲ
"Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan"
كُتِبَ عَلَیۡهِ أَنَّهُۥ مَن تَوَلَّاهُ فَأَنَّهُۥ یُضِلُّهُۥ وَیَهۡدِیهِ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِیرِ
"Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka" [Surah al-Hajj 3-4]
#Allah berfirman lagi:
قَالَ قَرِینُهُۥ رَبَّنَا مَاۤ أَطۡغَیۡتُهُۥ وَلَـٰكِن كَانَ فِی ضَلَـٰلِۭ بَعِیدࣲ
"(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong"
قَالَ لَا تَخۡتَصِمُوا۟ لَدَیَّ وَقَدۡ قَدَّمۡتُ إِلَیۡكُم بِٱلۡوَعِیدِ
Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah)" [Surah Qaf 27-28]
#Berwaspadalah dengan sumpah dan keputusan daripada Allah swt ini bahawa sesiapa yang berjaya disesatkan Iblis Syaitan, semuanya berdepan azab yang dahsyat.
وَیَوۡمَ یَحۡشُرُهُمۡ جَمِیعࣰا یَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ قَدِ ٱسۡتَكۡثَرۡتُم مِّنَ ٱلۡإِنسِۖ وَقَالَ أَوۡلِیَاۤؤُهُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ رَبَّنَا ٱسۡتَمۡتَعَ بَعۡضُنَا بِبَعۡضࣲ وَبَلَغۡنَاۤ أَجَلَنَا ٱلَّذِیۤ أَجَّلۡتَ لَنَاۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثۡوَىٰكُمۡ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ إِلَّا مَا شَاۤءَ ٱللَّهُۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِیمٌ عَلِیمࣱ
Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-An'am 128]
♡Maka hendaklah kita berhati-hati dengan rancangan Iblis dan syaitan ini. Kita wajib tahu perangkap syaitan agar kita dapat mengelakkan diri daripada memasuki perangkap mereka. Kita perlu belajar ilmu berkaitan cara tipu helah Iblis dan syaitan dalam menyesatkan manusia♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 12 Jamadil Akhir 1444H☆
ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" [Surah al-Araf 17]
Dipenghujung ayat ini, Iblis menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa kebanyakan manusia akan menjadi pengikutnya. Mereka kebanyakannya akan kufur pada Allah. Manusia kebanyakannya akan terlibat dengan kesyirikan, kemungkaran dan kemaksiatan hasil godaan dan hasutan syaitan. Hanya sedikit sahaja yang bersyukur, kebanyakkannya kufur.
#
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودࣱ
"Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya" [Surah al-Adiyat 6]
#Sememangnya jika dilihat saat ini, kebanyakan manusia tidak taat akan perintah Allah swt. Manusia lalai daripada mengingati Allah. Mereka lebih terpesona dengan tipu daya dunia, mengikut godaan nafsu serta terbuai dengan kemaksiatan.
#Sabda Nabi saw:
إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ
"Sesungguhnya dunia ini manis (lazat) lagi hijau (mempesona)" (Sahih Muslim)
#Manusia menikmati rezeki daripada Allah swt, mewah dengan pelbagai kurniaan Allah, memperoleh segala pemberian Allah, namun mereka tidak bersyukur atas semua nikmat tersebut. Mereka langsung tidak mentaati Allah. Tiada masa untuk sujud padaNya. Tiada waktu untuk bermunajat padaNya. Tiada ketika untuk membasahi lidah menyebut namaNya. Tiada kelapangan untuk melantun ayat-ayatNya. Tiada kesempatan untuk berbisik-bisik denganNya. Maka saat ini, kita lihat ramai yang mengeluh sepanjang masa, sedangkan sudah banyak nikmat yang Allah swt telah kurniakan. Mereka tidak nampak segala nikmat itu, tetapi nampak masalah sahaja sepanjang masa.
يَعْرِفُونَ نِعْمَةَ اللَّهِ ثُمَّ يُنْكِرُونَهَا
“Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya” [Surah an-Nahl 83]
♡Ayat ini mengajar kita tentang apa yang syaitan akan lakukan terhadap manusia. Syaitan akan hasut dan sesatkan manusia sehingga manusia tidak bersyukur kepada Allah swt. Syaitan akan pastikan kebanyakan manusia kufur kepada Allah swt. Berwaspadalah!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 10 Jamadil Akhir 1444H☆
ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" [Surah al-A`raf 17]
#Selain Iblis mendatangi manusia dari arah depan dan belakang, Iblis juga mendatangi manusia dari arah kanan dan kiri untuk menyesatkan manusia.
#Kanan adalah arah kebaikan, maka syaitan akan menghalang manusia daripada melakukan segala kebaikan. Syaitan akan sesatkan manusia supaya tidak melakukan kebaikan. Jika dilakukan juga maka dihiasinya dengan riyak, sombong, tidak ikhlas dan mengharapkan pujian manusia.
قَالَ رَبِّ بِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأُزَیِّنَنَّ لَهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِینَ
"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik)" [Surah al-Hijr 39-40]
#Syaitan juga akan menghasut manusia agar melakukan suatu perkara kebaikan, dan tinggalkan perkara kebaikan yang lain. Contohnya, ramai manusia yang berpuasa, tetapi tidak mendirikan solat. Ramai yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat. Ramai yang solat tetapi mengabaikan al-Quran. Begitulah seterusnya.
#Kiri adalah arah kejahatan. Syaitan akan menghasut manusia supaya melakukan kejahatan dan sesat dalam kelalaian. Syaitan juga akan menampakkan perkara yang buruk sebagai indah dan menarik serta menghasut manusia untuk melakukannya.
وَجَدتُّهَا وَقَوۡمَهَا یَسۡجُدُونَ لِلشَّمۡسِ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَزَیَّنَ لَهُمُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ أَعۡمَـٰلَهُمۡ فَصَدَّهُمۡ عَنِ ٱلسَّبِیلِ فَهُمۡ لَا یَهۡتَدُونَ
"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk" [Surah an-Naml 24]
#Jika perkara itu baik, maka syaitan akan cuba untuk menghalang kita daripada melakukannya. Jika perkara itu buruk, maka syaitan akan cuba hasut kita untuk melakukannya. Ini misi syaitan dalam menjahanamkan iman kita semua.
#Inilah empat arah Iblis mendatangi manusia demi untuk menggoda, menghasut dan menyesatkan kita. Terdapat banyak pendapat ulamak tentang maksud depan, belakang, kiri dan kanan, namun cukuplah kita katakan bahawa syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia. Cuma ada satu jalan lagi yang tidak disebut Iblis dalam menyesatkan manusia iaitu jalan atas. Ini kerana...
...Bersambung..
♡Iblis dan syaitan berusaha menjauhkan manusia dari jalan Allah swt. Berhati-hatilah agar jangan termasuk perangkap syaitan. Perbanyakkanlah memohon perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 8 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus" [Surah al-A`raf 16]
#Ayat ini menceritakan tentang samseng dan kurang ajarnya Iblis laknatullah tatkala ia menyalahkan Allah swt dalam isu kesesatannya.
#Iblis salahkan Allah swt kerana telah menyesatkannya. Usahanya sendiri menentang kehendak Allah swt yang menyebabkan dia sesat dan ingkar. Ia bukannya ingin bertaubat atas kederhakaannya tetapi menyalahkan Allah swt. Busuk dan buruk perangai.
#Ingatlah, bahawa orang yang baik akan menyalahkan dirinya sendiri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Adam Alaihissalam. Apabila Nabi Allah Adam sedar yang baginda telah berbuat salah melanggari arahan Allah swt, baginda mengaku akan kesalahannya dan terus memohon ampun.
#Sebaliknya, Iblis menyalahkan Allah swt. Begitulah ketaranya perbezaan antara Iblis dan Nabi Adam Alaihissalam. Kita wajib mengikuti perangai Nabi Adam berbanding perangai jahat Iblis laknatullah.
#Betapa jahat dan kurang ajarnya Iblis di hadapan Allah swt. Dengan bodoh, degil dan beraninya berkata sedemikian dihadapan Allah swt Tuhan Yang Maha Hebat.
#Sebahagian ulamak mengatakan, Iblis berani kurang ajar di hadapan Allah kerana terlalu sangat tinggi kufurnya itu sehingga terhijab kepadanya kehebatan Allah swt dan kerana itulah dia sanggup berkata-kata sejahat itu.
وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir" [Surah al-Baqarah 34]
♡Janganlah kita asyik mahu menyalahkan orang lain kalau kita ada masalah dan kita sudah sedar yang kita memang ada berbuat salah. Terdapat ramai orang yang apabila ada dosa, mereka akan sibuk benar mencari salah orang lain, tetapi tidak nampak kesalahan itu pada dirinya. Inilah perangai Iblis. Insafilah!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 6 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ أَنظِرۡنِیۤ إِلَىٰ یَوۡمِ یُبۡعَثُونَ
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)" [Surah al-A`raf 14]
#Setelah Iblis dihalau keluar daripada syurga, Iblis membuat permohonan kepada Allah agar dipanjangkan usianya. Iblis meminta tempoh supaya ia tidak dimatikan sehinggalah ke hari kebangkitan yakni kiamat.
#Iblis mohon pada Allah swt supaya tidak dimatikan lagi dan jangan disegerakam azab ke atas dirinya. Hal ini adalah supaya dia diberi kuasa atau kebebasan untuk menyesat dan menjahanamkan iman manusia.
#Walaupun Iblis sombong, menderhaka dan menentang perintah Allah agar sujud kepada Adam, Iblis tetap memohon dan meminta kepada Allah swt juga. Iblis sedar bahawa hanya Allah swt sahaja yang boleh menunaikan permohonannya, menguasai segala makhlukNya dan memiliki kuasa yang tiada tandingan.
#Amatlah malang manusia pada hari ini yang sombong, menderhaka bahkan memaki serta mencaci Allah swt. Mereka merasakan mereka lebih hebat daripada Allah swt. Mereka tidak memohon sesuatu kepada Allah kerana mereka tidak mempercayai kewujudan dan kekuasaan Allah. Mereka hidup tanpa bertuhan (Atheis/Freethinker). Betapa jahat dan sesatnya mereka seumpama Iblis laknatullah.
#Lihatlah permintaan Iblis, luar biasa jahat dan dendamnya kepada manusia. Ia minta dilanjutkan usia sehingga hari Kiamat demi untuk menggoda, menghasut dan memperdaya manusia agar bersama-sama menderhakai Allah dan bersama-sama dihumban ke dalam neraka.
قَالَ رَبِّ بِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأُزَیِّنَنَّ لَهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ
Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya" [Surah al-Hijr 39]
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِیَنَّهُمۡ أَجۡمَعِینَ
Iblis berkata: "Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya" [Surah Sad 82]
#Bahkan Allah swt menyatakan di dalam firmanNya bahawa ramai di kalangan manusia yang termakan hasutan Iblis ini:
وَلَقَدۡ صَدَّقَ عَلَیۡهِمۡ إِبۡلِیسُ ظَنَّهُۥ فَٱتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِیقࣰا مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ
"Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya)" [Surah Saba’ 20]
#Pengajaran yang boleh kita fahami daripada kisah ini bahawa tidak ada guna jika dipanjangkan umur namun dihabiskan dalam kejahatan dan kekesatan. Ini kerana tidak ada apa-apa kebaikan pun yang boleh menyelamatkannya daripada azab Allah swt.
♡Jangan jadi seperti Iblis, meminta sesuatu yang tiada bermanfaat bahkan memohon demi untuk membalas dendam. Hal ini mengajar kita bahawa umur yang panjang, jika dihabiskan dengan kemaksiatan, kemungkaran dan kederhakaan, langsung tiada sebarang kelebihan dari sudut agama. Sebab itu, Allah swt tunaikan permintaan Iblis agar umurnya panjang. Jika umur kita panjang tetapi mati membawa dosa yang menggunung, tersangatlah bahaya dan beroleh azab yang tersangat teruk di dalam neraka. Mintalah umur yang panjang dalam kebaikan dan ketaatan, serta dimatikan dalam keadaan beriman dan bertaqwa♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 4 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah" [Surah Al-A`raf 12]
#Iblis tidak mahu sujud pada Nabi Adam dengan alasan penciptaannya lebih baik daripada Adam.
#Allah menjadikan Iblis daripada api, sedangkan Adam daripada tanah. Pada pandangan Iblis, api lebih hebat daripada tanah. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Iblis dan merasakan pemikirannya benar, sedangkan analoginya adalah salah.
#Ketahuilah, sesungguhnya tabiat tanah liat itu kuat, sabar, tenang, dan kukuh. Tanah merupakan tempat bagi tumbuhan, pengembangan, penambahan, dan pembaikan; sedangkan api mempunyai watak membakar, liar, dan cepat. Tidaklah hebat api berbanding tanah. Sebagai contoh, api tidak boleh membakar tanah, tetapi tanah boleh memadamkan api!! Jika api dikenakan kepada tanah, tanah itu pula yang menjadi tembikar, dan bukankah ia menunjukkan tanah mampu menjadi lebih kuat, kukuh dan hebat?
#Isu utama Iblis ialah SOMBONG yakni rasa hebat, rasa besar dan rasa mulia. Iblis tidak menolak kewujudan dan kehebatan Allah swt. Ia tidak mentaati Allah tatkala diperintahkan untuk menerima kemuliaan manusia. Dia tidak dapat menerima perkara tersebut kerana kedudukannya setaraf para malaikat serta ia telah lama berada di dalam syurga sedangkan Adam baru diciptakan (juniornya).
#Begitulah dunia hari ini, ada manusia yang tidak dapat menerima kedudukan para Rasul, kedudukan para ulamak yang memiliki kedudukan lebih tinggi daripada kedudukan mereka. Mereka tidak dapat menerima ada orang yang lebih alim, lebih bijak dan lebih soleh daripada mereka. Mereka tidak mahu menerima pandangan orang lain serta merasakan mereka sentiasa benar. Ini adalah perangai Iblis.
#Ada yang menolak wahyu, al-Quran dan hadis, kononnya akal mereka mampu mengetahui segala-galanya. Ada yang anti hadis, dengan merasakan mereka boleh mendapat hidayah daripada al-Quran secara langsung. Sedangkan Allah swt memerintahkan kita belajar dengan para Rasul dan para pewaris mereka (alim ulamak).
#Jauh lebih dahsyat, ada yang merasakan mereka tidak perlu kepada Allah swt. Mereka boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa agama. Mereka merasakan mereka hebat dan boleh menguruskan dunia ini dengan kepandaian yang mereka miliki. Mereka sombong dan menolak untuk menerima kebenaran dalam agama.
#Kesimpulannya, Allah swt ingin memaklumkan kepada kita bahawa akal kita tidak boleh mendahului arahan Allah swt. Dalam kisah ini, Allah swt mengajar kita bahawa mana-mana manusia yang menggunakan akal dahulu dan kemudian baru mencari wahyu Allah untuk menyokong pendapatnya, maka itu adalah perangai Iblis.
♡Berhati-hatilah dengan sifat sombong. Jangan kita merasakan kita lebih hebat daripada orang lain. Walaupun kita pandai agama, kuat ibadat, bijak, hafaz al-Quran, memiliki dua tiga PHD, menghafaz ribuan hadis, dan sentiasa taat kepada Allah swt, namun jika ada sedikit sahaja perasaan sombong dalam diri kita maka diharamkan syurga untuk kita bahkan dihumban kita ke dalam neraka bersama-sama Iblis laknatullah. Sedarlah bahawa apa sahaja kebaikan yang kita ada, itu adalah daripada Allah swt. Kalau bukan Allah yang mendorong kita menjadi baik dan mulia, kita tidak mungkin akan menjadi baik dan mulia bahkan menjadi insan yang hina seumpama Iblis laknatullah. Maka taatlah pada Allah tanpa sebarang komen dan bangkangan!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 2 Jamadil Akhir 1444H☆
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ لَمۡ یَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِینَ
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud" [Surah al-A`raf 11]
#Allah swt mengingatkan kita semua bahawa Dia telah mencipta manusia bermula dengan penciptaan Nabi Adam Alaihissalam dengan sebaik-baik kejadian dan penuh dengan kesempurnaan.
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیمࣲ
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)" [Surah at-Tin 4]
##Dan penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam penuh dengan keindahan, kesempurnaan dan penuh dengan ketampanan. Sabda Rasulullah saw:
خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ عَلَى صُورَتِهِ
"Allah menciptakan Nabi Adam dengan rupa sama seperti wajahNya (wajah yang indah)" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Dan diciptakan manusia seterusnya dengan pelbagai bentuk rupa paras, warna kulit dan beragam. Ada yang tinggi, rendah, kecil, besar, sederhana, comel, lawa, cantik, putih, hitam, coklat, cerah, gelap dan pelbagai rupa bentuk.
#Firman Allah swt:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی خَـٰلِقُۢ بَشَرࣰا مِّن صَلۡصَـٰلࣲ مِّنۡ حَمَإࣲ مَّسۡنُونࣲ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya"
فَإِذَا سَوَّیۡتُهُۥ وَنَفَخۡتُ فِیهِ مِن رُّوحِی فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَـٰجِدِینَ
"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya" [Surah al-Hijr 28-29]
#Sewaktu penciptaan Nabi Adam, Allah swt telah pun memaklumkan awal-awal kepada para malaikat bahawa mereka nanti akan diperintahkan untuk sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam.
#Setelah sempurna ciptaan Nabi Adam Alaihissalam dengan tiupan roh, maka Allah swt telah menitahkan para malaikat untuk sujud penghormatan kepada Nabi Adam Alaihissalam. Semua malaikat bersujud pada Nabi Adam kecuali...
...Bersambung...
♡Allah swt mengisahkan kepada kita tentang asal usul kejadian manusia dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan penciptaan manusia yang melibatkan para malaikat dan juga Iblis♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 29 Jamadil Awwal 1444H☆
فَلَنَقُصَّنَّ عَلَیۡهِم بِعِلۡمࣲۖ وَمَا كُنَّا غَاۤىِٕبِینَ
"Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka)" [Surah al-Araf 7]
Dalam ayat sebelum ini, Allah swt mengatakan bahawa Allah akan menyoal umat manusia samada mereka menerima dakwah para rasul atau menolaknya. Juga disoal para rasulNya samada menyampaikan dakwah ataupun tidak.
#
Dalam ayat diatas, Allah swt mengatakan bahawa Allah swt sendiri yang akan memaklumkan kepada para rasul dan umat mereka tentang perjalanan hidup mereka sewaktu didunia dahulu berkaitan keimanan dan kederhakaan mereka tentang risalah wahyuNya.
#
Ini menunjukkan bahawa bukanlah Allah tidak tahu apa yang berlaku didunia dahulu. Allah swt Maha Mengetahui.
#
Allah mengatakan yang Dia akan menceritakan amal-amal manusia semasa di dunia beserta dalil dan bukti kerana Allah swt Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang mereka telah lakukan dengan terperinci sekali.
أَلَاۤ إِنَّ لِلَّهِ مَا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ قَدۡ یَعۡلَمُ مَاۤ أَنتُمۡ عَلَیۡهِ وَیَوۡمَ یُرۡجَعُونَ إِلَیۡهِ فَیُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا۟ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمُۢ
Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu" [Surah an-Nur 64]
"
Allah swt akan menceritakan satu persatu berkaitan keimanan dan juga penentangan mereka dengan sejelas-jelasnya tanpa ada sebarang penambahan atau pengurangan.
#
#Didalam ayat berikutnya Allah menyatakan tentang hisab yang detail, firmanNya:
وَٱلۡوَزۡنُ یَوۡمَىِٕذٍ ٱلۡحَقُّۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَ ٰزِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
"Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya"
وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَ ٰزِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ خَسِرُوۤا۟ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا یَظۡلِمُونَ
"Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya)" [Surah al-Araf 8-9]
#Juga dijelaskan melalui firmanNya dalam surah al-Anbiya':
وَنَضَعُ ٱلۡمَوَ ٰزِینَ ٱلۡقِسۡطَ لِیَوۡمِ ٱلۡقِیَـٰمَةِ فَلَا تُظۡلَمُ نَفۡسࣱ شَیۡـࣰٔاۖ وَإِن كَانَ مِثۡقَالَ حَبَّةࣲ مِّنۡ خَرۡدَلٍ أَتَیۡنَا بِهَاۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِینَ
"Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung" [Surah al-Anbiya’ 47]
#Di penghujung ayat, Allah memaklumkan kepada kita bahawa Allah sentiasa ada dan tidak pernah menghilangkan diri daripada menghitung amalan yang dilakukan hambaNya di dunia walaupun mereka tidak melihatNya. Tidak ada satu pun perbuatan kita yang tidak diketahui Allah atau tercicir daripada penilaian Allah serta terlepas daripada catatan malaikatNya.
♡Ini mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati dengan segala tindakan kita didunia ini. Jagalah iman kita sebaik-baiknya, jangan calarkan dengan kesyirikan dan kederhakaan. Ikutilah wahyu yang diturunkan serta berimanlah dengan apa yang disampaikan oleh baginda Rasulullah saw♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 29 Jamadil Awwal 1444H☆
فَلَنَسۡـَٔلَنَّ ٱلَّذِینَ أُرۡسِلَ إِلَیۡهِمۡ وَلَنَسۡـَٔلَنَّ ٱلۡمُرۡسَلِینَ
"Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu" [Surah al-A`raf 6]
#Sambung bicara Tadabbur Kalamullah semalam.
#Di penghujung ayat, Allah memaklumkan bahawa bukan umat sahaja yang disoal, tetapi pertanyaan itu turut ditujukan kepada para rasul yang telah ditugaskan menyampaikan wahyu.
#Para rasul ditanya sama ada mereka telah menyampaikan wahyu ataupun tidak? Sedangkan Allah swt sudah pun mengetahui. Pertanyaan ini penting bagi membuktikan bahawa para rasul telah pun menyampaikan wahyu Allah kepada mereka, namun mereka tetap berdegil tidak mahu beriman, maka tidak ada maaf lagi bagi mereka. Mereka akan diazab didalam neraka jahannam dengan sedahsyat-dahsyatnya dan penuh dengan kengerian.
وَإِذَا قِیلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal" [Surah al-Baqarah 206]
#Namun, jika wahyu tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak akan diazab.
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” [Surah al-Israk 15]
#Para ulamak bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran iaitu Allah tidak akan mengazab seseorang melainkan setelah diutuskan rasul menyampaikan risalah. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah.
#Syeikh Al-Sa’di dalam tafsirnya mengatakan: “Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
#Ini menunjukkan betapa pentingnya para Rasul menyampaikan risalah wahyu kepada umat mereka. Ini adalah tugas yang perlu mereka jalankan dan merupakan perintah daripada Allah swt. Ini adalah kewajipan, bukannya disampaikan atas dasar suka-suka, bukan sebagai hobi, bukan sebagai pengisi masa lapang, bukan untuk mencari populariti, bukan demi like dan followers. Para rasul mesti menyampaikan risalah wahyu kerana mereka juga akan ditanya. Dan sudah terbukti bahawa mereka telah pun sampaikan walaupun ramai yang menentang.
یَوۡمَ یَجۡمَعُ ٱللَّهُ ٱلرُّسُلَ فَیَقُولُ مَاذَاۤ أُجِبۡتُمۡۖ قَالُوا۟ لَا عِلۡمَ لَنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلۡغُیُوبِ
"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: "Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab: "Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib" [Surah al-Ma'idah 109]
♡Berimanlah kepada Allah swt dan ikutilah risalah wahyu yang disampaikan oleh rasulNya moga tidak menyusahkan hisab kita di Mahsyar kelak♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 26 Jamadil Awwal 1444H☆
فَمَا كَانَ دَعۡوَىٰهُمۡ إِذۡ جَاۤءَهُم بَأۡسُنَاۤ إِلَّاۤ أَن قَالُوۤا۟ إِنَّا كُنَّا ظَـٰلِمِینَ
"Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim" [Surah al-A`raf 5]
#Dalam ayat ini Allah swt menyatakan keluhan atau kata-kata golongan yang ditimpa azab. Yakni mereka mengakui akan kezaliman mereka. Mereka mengakui akan kesyirikan mereka. Mereka mengakui akan kederhakaan mereka. Mereka mengakui kejahatan mereka menentang Allah dan RasulNya yang mengakibatkan mereka ditimpa azab. Mereka mengakui memang mereka zalim iaitu melakukan kezaliman yang besar (syirik).
وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar" [Surah Luqman 13]
#Dalam ayat yang lain, Allah swt mengatakan bahawa telah dibinasakan golongan yang zalim lagi derhaka padaNya.
وَكَمۡ قَصَمۡنَا مِن قَرۡیَةࣲ كَانَتۡ ظَالِمَةࣰ وَأَنشَأۡنَا بَعۡدَهَا قَوۡمًا ءَاخَرِینَ
"Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya" [Surah al-Anbiya’ 11]
#Inilah sikap orang kafir, tatkala mereka diazab barulah mereka mengaku yang mereka telah melakukan syirik semasa hidup di dunia. Diceritakan oleh Ibnu Humaid kepada kami, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Abu Sinan, dari Abdul Malik ibnu Maisarah Az-Zarrad yang mengatakan bahawa Sayidina Abdullah Ibnu Mas'ud r.a pernah mengatakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
مَا هَلَكَ قَوْمٌ حَتَّى يُعْذِروا مِنْ أَنْفُسِهِمْ
"Tidaklah suatu kaum dibinasakan sebelum mereka mengakui kesalahan diri mereka sendiri"
#Ini jelas menunjukkan sikap orang yang bersalah itu akan mengaku juga kezaliman yang mereka lakukan apabila ditimpa dengan azab. Perlu diingatkan bahawa sikap ini bukanlah sikap orang yang beriman.
#Sikap orang beriman ialah sentiasa mengaku kesalahan yang dilakukan lalu segera bertaubat dan memohon keampunan. Bukannya menunggu dikenakan azab baru mengaku kesalahan yang dilakukan.
إِنَّمَا ٱلتَّوۡبَةُ عَلَى ٱللَّهِ لِلَّذِینَ یَعۡمَلُونَ ٱلسُّوۤءَ بِجَهَـٰلَةࣲ ثُمَّ یَتُوبُونَ مِن قَرِیبࣲ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ یَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمۡۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِیمًا حَكِیمࣰا
"Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" [Surah an-Nisa' 17]
♡Janganlah kita bersikap seperti orang kafir yang hanya mengaku salah selepas ditimpa azab. Mengakulah kesalahan dan bertaubatlah setiap kali melakukan kesalahan. Pastikan kita sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 24 Jamadil Awwal 1444H☆
فَإِن تَوَلَّوۡا۟ فَقَدۡ أَبۡلَغۡتُكُم مَّاۤ أُرۡسِلۡتُ بِهِۦۤ إِلَیۡكُمۡۚ وَیَسۡتَخۡلِفُ رَبِّی قَوۡمًا غَیۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّونَهُۥ شَیۡـًٔاۚ إِنَّ رَبِّی عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءٍ حَفِیظࣱ * وَلَمَّا جَاۤءَ أَمۡرُنَا نَجَّیۡنَا هُودࣰا وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحۡمَةࣲ مِّنَّا وَنَجَّیۡنَـٰهُم مِّنۡ عَذَابٍ غَلِیظࣲ
"Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu. Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras" [Surah Hud 57-58]
#Allah swt menyebut tentang kebinasaan yang ditimpakan kepada golongan yang engkar dan menentang risalahNya. Mereka dimusnahkan Allah dengan azab berupa banjir besar, ditenggelam ke dalam bumi, dipanah halilintar, ditenggelam ke dalam laut dan sebagainya.
#Rasulullah saw mengingatkan kita semua di dalam sabdaannya tentang beberapa perkara yang dilakukan oleh umat terdahulu yang menyebabkan mereka dibinasakan. Antaranya ialah:
#Bertelagah dengan risalah yang dibawa Nabi mereka. Apabila Nabi mereka menyatakan kebenaran, mereka membantah, mempersoalkan malah bertelagah dengan kebenaran tersebut. Sabda Nabi saw:
فإنَّما أَهْلَكَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ، وَاخْتِلَافُهُمْ علَى أَنْبِيَائِهِمْ
“Sesungguhnya telah binasalah umat sebelum kamu kerana banyak mempersoalkan (ajaran Nabi mereka) dan mereka berbantah (bercanggah) dengan arahan Nabi mereka (iaitu pemimpin mereka ketika itu)" (HR Muslim)
#Selain itu, mereka binasa disebabkan sikap pilih kasih, mengutamakan kroni dan mereka tidak berlaku adil kepada rakyat marhaen. Sabda Rasulullah saw:
إنَّما أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أنَّهُمْ كَانُوا إذَا سَرَقَ فِيهِمِ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وإذَا سَرَقَ فِيهِمِ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عليه الحَدَّ
“Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang yang mulia (orang yang mempunyai kedudukan), tidak kenakan hukuman ke atas mereka, tetapi apabila rakyat yang lemah melakukan kesalahan, mereka dihukum” (HR al-Bukhari)
#Selain itu juga, sifat tamak, menipu dan zalim juga menjadi penyebab mereka dimusnahkan. Sabda Rasulullah saw:
إياكم والشحَّ فإنه أهلك من كان قبلكم أمرهم بالكذبِ فكذبوا وأمرهم بالظلمِ فظلمُوا
“Jauhilah sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat terdahulu telah binasa kerana sifat ini membawa mereka menipu, lalu mereka menipu. Sifat ini membimbing mereka untuk melakukan kezaliman, lalu mereka bersifat zalim".
#Begitu juga sifat cintakan dunia sehingga melupakan Allah, melupai akhirat, melupai kematian menjadi sebab kebinasaan. Mereka ditendang ke sana sini, dihina dan dilunyaikan oleh orang kafir kerana sikap terlalu cintakan dunia. Sabda Rasulullah saw:
“Hampir saja para kaum (orang kafir) akan mengerumuni kamu dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kerana bilangan kita sedikit?” Rasulullah berkata: Bahkan kamu ketika itu sangat ramai! Akan tetapi kalian seumpama sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya: "Apa itu wahn?” Rasulullah berkata: "Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud)
♡Inilah punca dan penyebab kebinasaan dan kemusnahan yang menimpa umat terdahulu. Maka, jadikan iktibar dan pengajaran agar kita tidak dibinasakan sebagaimana golongan terdahulu♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 22 Jamadil Awwal 1444h☆
قُلۡ یَـٰقَوۡمِ ٱعۡمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمۡ إِنِّی عَامِلࣱۖ فَسَوۡفَ تَعۡلَمُونَ مَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِۚ إِنَّهُۥ لَا یُفۡلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya" [Surah al-An`am 135]
#Allah swt memberi amaran bahawa semua manusia akan mengetahui kesan daripada perbuatan mereka itu apabila sudah mati kelak. Kalau didunia sibuk berbuat amalan baik, akan dibalas baik. Namun kalau sibuk berbuat amalan yang salah, yang kufur, yang syirik dan sesat, maka nasib malang bakal diharungi. Saat itu, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana pintu taubat sudah tertutup.
#Allah swt juga mengingatkan orang-orang yang menentang Islam bahawa kebenaran sesuatu perkara itu kadang-kadang tidak nampak di dunia ini. Ia hanya akan sedar dan ketahui saat sakaratulmaut dan ketika berada di mahsyar kelak.
وَلَوۡ تَرَىٰۤ إِذِ ٱلۡمُجۡرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ رَبَّنَاۤ أَبۡصَرۡنَا وَسَمِعۡنَا فَٱرۡجِعۡنَا نَعۡمَلۡ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin" [Surah as-Sajdah 12]
#Ada sebahagian manusia yang tidak dibalas kejahatannya di dunia ini tetapi Allah swt tangguhkan untuk balas dengan dahsyatnya di akhirat kelak. Hal ini kerana, dunia ini bukanlah tempat untuk ditunjukkan akibat kepada sesuatu. Jika dibalas sekalipun adalah untuk diinsafi.
وَلَوۡ یُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِظُلۡمِهِم مَّا تَرَكَ عَلَیۡهَا مِن دَاۤبَّةࣲ وَلَـٰكِن یُؤَخِّرُهُمۡ إِلَىٰۤ أَجَلࣲ مُّسَمࣰّىۖ فَإِذَا جَاۤءَ أَجَلُهُمۡ لَا یَسۡتَـٔۡخِرُونَ سَاعَةࣰ وَلَا یَسۡتَقۡدِمُونَ
"Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan" [Surah an-Nahl 61]
#Di penghujung ayat, Allah swt mengatakan bahawa orang yang zalim tidak akan mendapat kemenangan samada didunia ataupun di akhirat. Sewaktu Nabi saw masih hidup, kita telah melihat Islam telah menang di dan kemusyrikan telah dihapuskan.
قُل لِّلَّذِینَ كَفَرُوا۟ سَتُغۡلَبُونَ وَتُحۡشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan" [Surah Aali Imran 12]
#Bagi para pejuang kebenaran, ingatlah bahawa kejayaan menanti di akhirat kelak. Sekalipun mungkin kita melihat kumpulan pejuang Islam sedikit tetapi yakinlah bahawa mereka akan mendapat kemenangan di akhirat kelak dan itulah kemenangan yang paling utama.
♡Kejayaan sesuatu perjuangan itu bukanlah dilihat dengan ramainya orang yang mengikutinya. Kejayaan yang sebenar ialah dengan mengikuti perjuangan yang telah diperjuangkan oleh baginda Rasulullah saw dan para sahabatnya dalam menegakkan kebenaran walaupun ahlinya sedikit. Islam pasti menang. Kebatilan akan kecundang!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 6 Ramadhan 1442H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" [Surah al-Baqarah 183]
#Bulan Ramadhan kita diwajibkan berpuasa. Puasa merupakan amalan yang agung dan tersangat istimewa. Terdapat pelbagai keistimewaan dalam pelaksanaan ibadah puasa, antaranya ialah:
1. Puasa merupakan ibadah yang tiada tandingannya.
Rasulullah saw bersabda kepada Sayidina Abu Umamah al-Bahili r.a:
عليك بالهجرةِ فإنَّه لا مثلَ لها ، عليك بالصَّومِ فإنَّه لا مثلَ له ، عليك بالسُّجودِ ، فإنَّك لا تسجُدُ للهِ سجدةً إلا رفعك اللهُ بها درجةً ، وحطَّ عنك بها خطيئةً
“Hendaknya engkau hijrah, kerana ia ibadah yang tidak ada tandingannya, hendaknya engkau berpuasa kerana puasa itu ibadah yang tidak ada tandingannya, hendaknya engkau bersujud kerana tidaklah engkau sujud sekali melainkan Allah tinggikan darjatmu satu darjat dan menghapus satu dosamu” (HR an-Nasaie)
2. Puasa disandarkan pada Allah swt
Rasulullah saw bersabda:
يقولُ اللهُ عزَّ وجلَّ كلُّ عمَلِ ابنِ آدمَ له إلا الصيامَ فهو لِي وأنا أجزِي بِهِ
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: "Setiap amalan manusia itu bagi dirinya, kecuali puasa. Kerana puasa itu untukKu dan Aku yang akan membalas pahalanya” (HR al-Bukhari dan Muslim)
3. Puasa penyebab dimasukkan ke dalam syurga
Rasulullah saw bersabda:
في الجنة ثمانيةُ أبْوابٍ ، فيها بابٌ يُسَمَّى الرَّيَّانَ ، لا يدخلُهُ إلا الصَّائِمُونَ
“Di syurga ada lapan pintu, di antaranya ada pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Tidak ada yang dapat memasukinya kecuali orang-orang yang berpuasa” (HR al-Bukhari)
4. Bau mulut orang yang berpuasa wangi di sisi Allah dan beroleh dua kebahagiaan
Rasulullah saw bersabda:
والذي نفسُ محمدٍ بيدهِ لَخَلوفِ فمِ الصائمِ أطيبُ عندَ اللهِ من ريحِِ المسكِ ,للصائمِ فَرْحتانِ يفرَحْهُما إذا أَفطرَ فَرِحَ ، وإذا لقي ربَّه فَرِحَ بصومِهِ
“Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah itu lebih wangi daripada misk. Bagi orang yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Kebahagiaan ketika ia berbuka dan kebahagiaan ketika ia bertemu RabbNya” (HR al-Bukhari dan Muslim)
5. Orang yang berpuasa akan diganjari dengan ampunan dan pahala yang besar (Rujuk Surah al-Ahzab 35)
♡Inilah antara keistimewaan dan kelebihan bagi orang yang berpuasa. Oleh itu, berpuasalah dengan penuh ketaatan dan kesempurnaan agar kita beroleh kesemua ganjaran yang dijanjikan. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 17 Jamadil Akhir 1444H☆
فَوَسۡوَسَ لَهُمَا ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِیُبۡدِیَ لَهُمَا مَا وُۥرِیَ عَنۡهُمَا مِن سَوۡءَ ٰ تِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَىٰكُمَا رَبُّكُمَا عَنۡ هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَا مَلَكَیۡنِ أَوۡ تَكُونَا مِنَ ٱلۡخَـٰلِدِینَ
"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)" [Surah al-A`raf 20]
#Dalam ayat ini, Allah swt mendedahkan helah atau tipudaya yang digunakan oleh Iblis untuk menipu dan memperdayakan Nabi Adam dan Sayidatina Hawa.
#Iblis mengguna kaedah bisikan atau hasutan dalam memperdaya nabi Adam. Iblis telah membisikkan was-was atau keraguan kepada mereka berdua. Inilah salah satu cara atau kaedah yang diguna oleh syaitan untuk menggoda manusia. Manusia pun kalau hendak menipu maka mereka akan berbisik agar orang lain tidak tahu rancangan penipuan mereka. Ini semua meniru kerja syaitan.
#Syaitan tahu bahawa apa yang telah dilarang itulah yang akan difikirkan oleh manusia tentang sebab dilarang. Mesti ada sesuatu disebalik larangan tersebut. Maka syaitan mengambil peluang tersebut untuk menjerumuskan mereka supaya melanggari larangan Allah swt itu.
#Tujuannya agar Nabi Adam dan Sayidatina Hawa derhaka kepada Allah swt. Juga agar melanggari perintah Allah swt. 'Bisikan hingga menimbulkan was-was' iaitu dengan datang berbisik, kemudian hilang. Kemudian datang berbisik lagi, dan hilang. Datang kembali berbisik dan hilang kembali. Dan terus melakukan perkara yang sama berulang-ulang sehingga menimbulkan was-was. Proses meniupkan was-was itu bukanlah dengan satu bisikan sahaja, tetapi berkali-kali dan berulang-ulang.
#Antara kaedah yang dapat memerangkap manusia adalah apabila sesuatu perkara itu berterusan dan berulang-ulang. Apatah lagi syaitan sememangnya tidak mempunyai kerja lain, maka diteruskan berkali-kali bisikan was-was ini kepada manusia hingga akhirnya dia berjaya memperdaya Nabi Adam dan Hawa.
...Bersambung...
♡Berhati-hatilah dengan tipu daya Iblis laknatullah. Nabi Adam Alaihissalam pun digodanya hingga terkeluar daripada syurga. Apatah lagi kita semua??!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 15 Jamadil Akhir 1444H☆
وَیَـٰۤـَٔادَمُ ٱسۡكُنۡ أَنتَ وَزَوۡجُكَ ٱلۡجَنَّةَ فَكُلَا مِنۡ حَیۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِینَ
"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim" [Surah al-A`raf 19]
#Setelah Allah swt menciptakan Nabi Adam Alaihissalam dan kemudiannya menciptakan pula isterinya Sayidatina Hawa, maka mereka berdua telah diizinkan oleh Allah untuk tinggal di dalam syurga. Ini adalah kebenaran besar kepada Nabi Adam dan Sayidatina Hawa untuk mereka mendiami syurga. Hal ini telah pun disebut oleh Allah swt dalam surah al-Baqarah.
وَقُلۡنَا یَـٰۤـَٔادَمُ ٱسۡكُنۡ أَنتَ وَزَوۡجُكَ ٱلۡجَنَّةَ وَكُلَا مِنۡهَا رَغَدًا حَیۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِینَ
Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim" [Surah al-Baqarah 35]
#Kemudian Allah swt memaklumkan kepada keduanya agar mereka benar-benar menikmati kehidupan di syurga.
#Nikmat yang terdapat di syurga tersangatlah banyak dan tersangat istimewa. Mereka boleh nikmati semuanya pada bila-bila masa dan seberapa banyak yang dikehendaki. Tidak ada sebarang halangan bagi mereka. Makanlah sepuas-puasnya dan semahunya. Nikmatilah kehidupan dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan.
#Namun demikian, Allah swt meletakkan satu syarat kepada Nabi Adam dan Hawa. Mereka boleh buat apa sahaja, makan apa sahaja, menikmati segalanya yang ada di syurga itu, cuma ada satu syarat yang perlu dipatuhi iaitu jangan hampiri sebatang pokok. Itulah pokok larangan. Semua perkara dibenarkan kecuali itu sahaja yang tidak boleh dilakukan.
#Sepatutnya larangan itu tidak menjadi masalah kepada Nabi Adam dan Hawa kerana terdapat banyak makanan, buah-buahan yang boleh dimakan, hanya satu sahaja yang tidak boleh makan, tidak boleh dihampiri. Allah swt mengingatkan kepada keduanya, kerana ini perkara yang amat penting, jadi kedua mereka perlu taati dan jangan mengingkari. Nabi Adam Alaihissalam dan Hawa perlu ingat bahawa ada peraturan yang telah dibuat oleh Allah swt yang wajib mereka akur dan patuhi.
...Bersambung...
♡Dimana pun kira berada, ingatlah bahawa alam ini ada pemiliknya dan ada ketetapannya. Maka taati dan patuhilah. Jangan termakan hasutan nafsu dan godaan syaitan untuk kita melanggari perintah Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 13 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ ٱخۡرُجۡ مِنۡهَا مَذۡءُومࣰا مَّدۡحُورࣰاۖ لَّمَن تَبِعَكَ مِنۡهُمۡ لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمۡ أَجۡمَعِینَ
Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya" [Surah al-A`raf 18]
#Disebabkan Iblis menjadi penderhaka, menentang perintah Allah swt, maka ia diusir keluar daripada Syurga dalam keadaan terhina dan jauh daripada rahmat Allah swt. Terusir dalam keadaan terkutuk, terhina dan terlaknat atas kesalahan yang tidak mahu ditaubatnya.
#Firman Allah swt:
وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ
"Dan sesungguhnya engkau (Iblis) ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!” [Surah Sad 78]
#Imam al-Qurtubi rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya: "Allah swt menyatakan bahawa Iblis dalam kalangan yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmatNya sehingga hari pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke neraka menunjukkan kebenaran laknat tersebut" (Lihat: Tafsir al-Qurthubi)
#Iblis pada asalnya bukanlah makhluk yang hina. Amalan ibadahnya jauh lebih baik daripada kita yang biasa-biasa ini. Iblis pernah mendiami syurga dan berada bersama dalam kalangan para malaikat.
فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ
“Lalu mereka (para Malaikat) sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya" [Surah al-Kahfi 50]
#Iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, namun ia berada bersama-sama disyurga dengan para malaikat.
#Ingatlah, sebanyak mana pun ibadah yang telah kita lakukan, apabila kita melakukan dosa menentang perintah Allah swt serta mengingkari arahan Allah swt maka kita menjadi hina sebagaimana Iblis.
#Sealim manapun seseorang itu, tatkala di dalam hatinya bersarang sifat-sifat keji seperti dengki, ego, dendam kesumat dan hasad, ia akan menjadikannya makhluk yang angkuh dan sombong lalu dihina oleh Allah swt sebagaimana Iblis. Akhirnya golongan penentang Allah swt ini akan dihina dan jauh daripada rahmat Allah swt sebagaimana Iblis.
#Kemudian Allah swt mengingatkan kita semua bahawa sesiapa yang mengikuti Iblis maka semuanya akan dihumban ke dalam neraka Jahannam bersama-sama dengan Iblis...
...Bersambung...
♡Keengkaran Iblis menuruti perintah Allah menyebabkan ia diusir daripada menikmati Syurga dan keindahannya. Maka jangan tiru perangai Iblis yang degil untuk mematuhi kehendak Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 11 Jamadil Akhir 1444H☆
ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" [Surah al-A`raf 17]
#Hanya 4 laluan sahaja yang syaitan boleh mengganggu manusia iaitu laluan depan, belakang, kanan dan kiri. Jalan keluar daripada hasutan dan tipu daya syaitan adalah melalui dua arah yang tidak disebutkan oleh Iblis.
#Dua arah yang Iblis dan Syaitan laknatullah tidak boleh mengganggu manusia iaitu dari arah atas dan arah bawah. Ini kerana arah atas adalah tempat datangnya hidayah petunjuk daripada Allah swt dan juga arah turunnya rahmat, maka mereka tidak boleh mengganggu dari arah ini.
إِنَّكَ لَا تَهۡدِی مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)" [Surah al-Qasas 56]
#Manakala arah bawah ialah tempat sujud dan tanah. Iaitu, dari sudut adab kehambaan. Ia disimbolkan dengan bawah kerana hakikat kehambaan itu sendiri adalah merendahkan diri kepada Allah swt.
#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
إذا قَرَأَ ابنُ آدَمَ السَّجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَّيْطانُ يَبْكِي، يقولُ: يا ويْلَهُ، وفي رِوايَةِ أبِي كُرَيْبٍ: يا ويْلِي، أُمِرَ ابنُ آدَمَ بالسُّجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّةُ، وأُمِرْتُ بالسُّجُودِ فأبَيْتُ فَلِيَ النَّارُ
"Apabila anak Adam membaca surah dan ayat sajadah lalu sujud tilawah, maka syaitan akan pergi sambil menangis dan berkata aduh celakalah aku! Anak Adam disuruh sujud oleh Allah dan ia sujud, maka ia mendapat syurga sedangkan aku disuruh sujud tetapi membangkang, maka aku akan mendapat neraka" (HR Muslim)
♡Maka kita perlu bijak untuk menangani gangguan syaitan ini dengan fokus pada arah atas dan bawah. Perbanyakkan berdoa memohon rahmat dan hidayah Allah swt serta banyakkan sujud padaNya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 9 Jamadil Akhir 1444H☆
ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" [Surah al-A`raf 17]
#Dalam ayat sebelum ini, Iblis telah bersumpah bahawa dengan sebab Allah telah menyesatkannya, maka ia akan berusaha dengan bersungguh-sungguh, dengan sedaya upaya untuk menghalang serta memesong manusia dari jalan yang lurus.
#Iblis memohon agar dipanjangkan umurnya supaya dia mempunyai banyak masa untuk menyesatkan manusia.
#Ketahuilah, Iblis dan syaitan merupakan musuh terbesar umat manusia. Mereka masuk ke dalam hati setiap orang, samada dia seorang mukmin ataupun kafir. Syaitan akan terus melakukan usaha untuk membawa hasutan, keburukan, dan kejahatan ke dalam dada manusia. Nabi Adam, bapa segala manusia, terpaksa keluar dari syurga kerana tewas tergoda dengan pujuk rayu Iblis laknatullah.
#Iblis bersumpah akan menggoda dan menyerang manusia dari segala arah, sehingga manusia tidak berdaya dan menjadi kufur kepada Allah swt.
#Iblis mengatakan bahawa serangan hasutannya bermula dari depan dan juga belakang. Dari depan boleh membawa maksud serangan secara berdepan untuk menyesatkan manusia. Macam-macam hasutan dan hiasan serta godaan yang dilakukan dihadapan manusia yang boleh menjauhkan mereka daripada kebenaran dan jalan yang lurus.
#Selain itu, boleh juga membawa maksud hasutan yang melalaikan manusia daripada mengingati hari depan iaitu hari kiamat. Membuat manusia tidak peduli hari kebangkitan, tidak peduli syurga neraka.
#Iblis juga menghasut manusia dari arah belakang. Bisikan-bisikan yang mengasyikkan manusia dengan dunia sehingga membelakangkan hukum hakam, halal haram dan dosa pahala. Iblis syaitan menghiasi dunia dengan hiasan yang menyelerakan dan menggiurkan manusia untuk melekakan dengannya.
#Dari depan mereka serang, dari belakang pun mereka serang. Serangan secara kasar, ganas, lemah lembut, dan pelbagai gaya. Serangan yang kita sedari atau yang kita tidak perasan. Semuanya demi menjahanamkan aqidah dan pegangan manusia daripada jalan yang lurus.
...Bersambung...
♡Banyak cara, kaedah dan method yang dilakukan Iblis dan syaitan dalam menggoda, merayu dan menyesatkan kita semua. Maka berwaspadalah jangan sampai termasuk dalam perangkapnya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 7 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلۡمُنظَرِینَ
Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)" [Surah al-A`raf 15]
#Allah swt meluluskan permohonan Iblis laknatullah iaitu ia diberi penangguhan kematian. Allah swt izinkan ia ditangguh azab dengan dipanjangkan umur sehingga hari kiamat. Apabila sampai tempoh tersebut, Iblis akan dimatikan, lalu ia akan dikenakan azab yang teramat-amat dahsyat sekali.
#Iblis diberikan umur yang panjang. Selama ia tidak mati, ia boleh cuba memesongkan manusia daripada jalan yang benar. Oleh itu, Iblis telah diberi tempoh untuk usahakan apa sahaja yang dia inginkan selagi boleh. Semua itu adalah dalam perancangan Allah swt. Allah swt membenarkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan Allah swt untuk menguji manusia sejauh mana kentalnya iman mereka.
إِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى ٱلۡأَرۡضِ زِینَةࣰ لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ أَیُّهُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلࣰا
"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya" [Surah al-Kahfi 7]
#Perhatikanlah bahawa Allah swt terus makbulkan doa Iblis. Ini bukanlah bermakna Allah swt sayang kepada Iblis. Dimakbulkan doa dengan segera bukan tanda sayangnya Allah swt kepada hambaNya.
#Terdapat orang yang kuat iman dan amalnya, tetapi Allah tidak terus memakbulkan doanya. Itu bukannya tanda Allah membencinya. Kenapa demikian? Kerana Allah swt suka mendengar permintaan doa orang beriman tersebut. Bacalah kisah Nabi Zakaria di dalam al-Quran. Baginda sentiasa berdoa dari muda hingga ke tua memohon zuriat, namun Allah tidak terus memakbulkan doanya. Dilewatkan maqbul doa Nabi Zakaria hingga tua baru beroleh zuriat. Sayang Allah pada hambaNya berdasarkan iman dan taqwanya bukan pada cepat atau lambat dimaqbulkan doa.
♡Berdoalah mohon kebaikan, rahmat dan perlindungan Allah. InsyaAllah akan dimaqbulkan Allah. Lihatlah, doa daripada makhluk yang paling kafir (Iblis) pun diterima dan diperkenankan Allah. Jom berdoa mohon kebaikan dan mohon dijauhi gangguan Iblis dan Syaitan!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 5 Jamadil Akhir 1444H☆
قَالَ فَٱهۡبِطۡ مِنۡهَا فَمَا یَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِیهَا فَٱخۡرُجۡ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِینَ
Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina" [Surah al-A'raf 13]
Disebabkan kesombongan dan membantah perintah Allah untuk sujud kepada Adam, akhirnya Iblis dihalau keluar daripada Syurga.
#
قَالَ فَٱخۡرُجۡ مِنۡهَا فَإِنَّكَ رَجِیمࣱ
Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir" [Surah Sad 77]
Persoalan yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan sebab Iblis dihalau daripada Syurga.
#
#Iblis dihalau disebabkan sikap sombongnya yang merasakan ia lebih hebat daripada Adam. Hal ini memberi pengajaran besar kepada kita bahawa tidak ada sesiapa pun yang layak untuk menjadi sombong.
#Jika kita bijak dan cerdik sehebat mana pun, dimuliakan oleh manusia seluruh dunia sekali pun, hendaklah kita ingat bahawa kita tidak layak untuk sombong. Orang yang sombong tiada tempatnya di dalam syurga bahkan diharamkan masuk syurga.
#Tidak kira samada seseorang itu sombong kerana dia hebat, dia bijak, dia cantik, dia daripada keturunan yang baik-baik dan bangsawan, dia kaya melana, dia berjawatan tinggi, dia selebriti, dia ilmuwan hebat, dia penceramah terkenal, dia banyak followers, dia pakar formula, dia menang pilihanraya, dia berjaya jadi wakil rakyat, dia memiliki rumah mewah dan banyak, dia memiliki ramai pengikut, dia mempunyai ramai isteri, dia mempunyai ramai anak, dan seumpamanya, asalkan ada sifat sombong walau sebesar zarrah dalam hatinya, maka dia diharamkan syurga dan tidak boleh mendiami syurga. Sombong adalah sifat Iblis. Tidak layak masuk syurga. Jika sudah berada di dalam syurga, maka akan dihalau keluar daripada syurga.
#Sabda Nabi saw:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
"Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarrah perasaan sombong" (HR Muslim)
#Dipenghujung ayat, Allah swt menyatakan bahawa Iblis dihalau dengan penuh penghinaan serta dilaknat oleh Allah swt selama-lamanya.
وَإِنَّ عَلَیۡكَ لَعۡنَتِیۤ إِلَىٰ یَوۡمِ ٱلدِّینِ
"Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!" [Surah Sad 78]
#Tatkala Iblis merasakan dia mulia dan memiliki kedudukan yang tinggi, maka Allah swt mengubah kedudukannya menjadi sangat hina dan serendah-rendahnya. Dia berkehendakkan kedudukan yang tinggi, maka Allah swt menjatuhkannya.
#Begitulah kita, jika merasakan diri sangat mulia melebihi semua orang, maka Allah boleh tukar kita menjadi sehina-hinanya disisi seluruh makhluknya.
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡیُنࣱ لَّا یُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانࣱ لَّا یَسۡمَعُونَ بِهَاۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai" [Surah al-A'raf 179]
♡Maka, jangan sesekali merasa sombong dan takabbur. Jaga hati dan kita perlu ingat bahawa apa sahaja kelebihan yang kita ada, ia bukanlah kerana diri kita, tetapi itu adalah pemberian Allah swt untuk disyukuri dan diinsafi dengan penuh tawadhuk (merendah diri) atas kurniaanNya. Jangan sombong!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 3 Jamadil Akhir 1444H☆
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ لَمۡ یَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِینَ
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud" [Surah al-Araf 11]
Allah swt mengatakan, setelah sempurna ciptaan Nabi Adam Alaihissalam dengan tiupan roh, maka Allah swt telah menitahkan para malaikat untuk sujud penghormatan kepada Nabi Adam Alaihissalam. Semua malaikat bersujud pada Nabi Adam kecuali Iblis laknatullah.
#
Dalam ayat diatas, disebutkan bahawa Allah swt telah memerintahkan kepada para malaikat untuk sujud dan tidak disebut Iblis. Namun, Allah mengatakan malaikat sujud tetapi iblis tidak sujud. Kenapa Iblis terlibat dalam isu ini sedangkan Iblis bukanlah tergolong dalam kalangan malaikat?. Iblis dijadikan daripada api manakala malaikat pula diciptakan daripada cahaya.
#
Berkata mufassirin, disebabkan Iblis berada di dalam kalangan malaikat, maka Iblis termasuk dalam arahan Allah agar sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam. Pandangan lain mengatakan, kerana Iblis telah banyak beribadah, maka kedudukannya telah dinaikkan supaya berada bersama-sama dengan para malaikat. Maka dia juga termasuk dalam perintah sujud tersebut.
#
Namun Iblis tidak mahu sujud pada Nabi Adam Alaihissalam. Alasannya ialah:
#
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ
Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah" [Surah al-Araf 12]
#Iblis dengan penuh kesombongan dan bongkak menjawab pertanyaan Allah swt dengan mengatakan bahawa dia lebih baik daripada Adam Alaihissalam. Dia merasakan penciptaannya lebih baik dan sempurna daripada Adam. Iblis merasakan dia lebih hebat daripada Adam. Iblis merasakan dia lebih bijak daripada Adam.
#Iblis menjawab mengikut pandangan akalnya sahaja. Dia merasakan akalnya lebih bagus daripada arahan Allah swt. Kesudahannya adalah kebinasaan dan kesesatan.
...Bersambung...
♡Malaikat makhluk Allah yang taat. Sentiasa patuh dan mengikuti segala perintah Allah swt tanpa bantahan. Ini berbeza dengan Iblis laknatullah yang degil dan menentang perintah Allah serta merasakan dia lebih baik daripada nabi Adam. Walaupun arahan Allah sangat jelas, namun bila menggunakan akal untuk menilai arahan Allah maka bahayanya adalah kecundang dalam kesesatan dan terpalit dengan kefahaman yang salah♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 1 Jamadil Akhir 1444H☆
وَلَقَدۡ مَكَّنَّـٰكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلۡنَا لَكُمۡ فِیهَا مَعَـٰیِشَۗ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ
"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur" [Surah al-A`raf 10]
#Allah swt mengingatkan kita semua bahawa pelbagai nikmat telah dikurniakan kepada kita diatas muka bumi ini.
هُوَ ٱلَّذِی خَلَقَ لَكُم مَّا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰۤ إِلَى ٱلسَّمَاۤءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبۡعَ سَمَـٰوَ ٰتࣲۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمࣱ
"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu" [Surah al-Baqarah 29]
#Allah swt telah memberi kedudukan yang baik kepada kita dengan menjadikan kita sebagai khalifah. Dikurniakan kedudukan kepada manusia.
#Allah swt juga telah menjadikan bukit bukau, gunung ganang, air terjun, sungai, lembah, lautan, tasik, tanah terhampar indah dan sebagainya sebagai tempat kita tinggal di bumi yang damai ini.
#Allah juga telah menyediakan segala sumber kehidupan untuk kita, termasuklah pakaian, makanan, tempat tinggal, pelbagai sumber kehidupan dan kekayaan. Allah swt mengurniakan kehidupan yang senang kepada kita. Allah swt bukan sahaja mengurniakan kehidupan kepada kita, tetapi mengurniakan kehidupan yang bagus dan mewah.
هُوَ ٱلَّذِی جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولࣰا فَٱمۡشُوا۟ فِی مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا۟ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَیۡهِ ٱلنُّشُورُ
"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)" [Surah al-Mulk 15]
#Jika ingin dihitung segala nikmat itu, nescaya tidak akan mampu menghitungnya. Pun begitu, ramai dikalangan manusia tetap tidak mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan. Firman Allah swt:
وَءَاتَىٰكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلۡتُمُوهُۚ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَاۤۗ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَظَلُومࣱ كَفَّارࣱ
"Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya" [Surah Ibrahim 34]
#Bersyukur bukan hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja, namun wajib taat dan melakukan ibadah kepada Allah swt.
#Allah menyatakan hanya sedikit sahaja manusia yang bersyukur. Apa yang Allah perintahkan, mereka tidak lakukan. Hanya gunakan nikmat Allah, tetapi segala suruhanNya diabaikan.
♡Allah swt mengingatkan kita tentang jasaNya yang telah memberikan kehidupan kepada kita. Maka bersyukurlah dengan mentaatiNya dan sentiasa sujud padaNya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 27 Jamadil Awwal 1444H☆
فَلَنَسۡـَٔلَنَّ ٱلَّذِینَ أُرۡسِلَ إِلَیۡهِمۡ وَلَنَسۡـَٔلَنَّ ٱلۡمُرۡسَلِینَ
"Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu" [Surah al-A`raf 6]
#Ayat ini berkaitan hisab atau soal siasat di mahsyar kelak. Setiap manusia yang diutus para rasul kepada mereka maka mereka akan disoal oleh Allah swt. Ini antara suasana yang menakutkan dan menggerunkan kerana Allah swt sendiri yang akan menyoal dan bertanya.
#Manusia akan ditanya adakah sampai risalah Allah (wahyu) kepada mereka ataupun tidak. Inilah soalan yang akan ditanya kepada umat yang derhaka dan mereka akan ditanya dengan keras.
#Mereka bukan sahaja ditanya tentang sampai atau tidak seruan wahyu, tetapi ditanya juga tentang penerimaan mereka terhadap wahyu tersebut. Adakah di terima dan diikuti? Atau ditolak dan dimusuhi?
تَكَادُ تَمَیَّزُ مِنَ ٱلۡغَیۡظِۖ كُلَّمَاۤ أُلۡقِیَ فِیهَا فَوۡجࣱ سَأَلَهُمۡ خَزَنَتُهَاۤ أَلَمۡ یَأۡتِكُمۡ نَذِیرࣱ
"Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"
قَالُوا۟ بَلَىٰ قَدۡ جَاۤءَنَا نَذِیرࣱ فَكَذَّبۡنَا وَقُلۡنَا مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ مِن شَیۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا فِی ضَلَـٰلࣲ كَبِیرࣲ
Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!" [Surah al-Mulk 8-9]
#Ada di antara manusia yang cuba menipu Allah swt dengan mengatakan bahawa risalah wahyu tidak sampai kepada mereka. Tiada nabi yang datang berdakwah kepada mereka. Namun cubaan untuk menipu itu tidak berjaya dan hanya sekadar cubaan kosong semata-mata. Para malaikat dan umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Rasul mereka sudah menyampaikan ajaran wahyu namun mereka menentangnya. Cubaan menipu mereka gagal.
رُّسُلࣰا مُّبَشِّرِینَ وَمُنذِرِینَ لِئَلَّا یَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةُۢ بَعۡدَ ٱلرُّسُلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِیزًا حَكِیمࣰا
"Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
لَّـٰكِنِ ٱللَّهُ یَشۡهَدُ بِمَاۤ أَنزَلَ إِلَیۡكَۖ أَنزَلَهُۥ بِعِلۡمِهِۦۖ وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یَشۡهَدُونَۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِیدًا
"(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini)" [Surah an-Nisa' 165-166]
#Dipenghujung ayat, Allah memaklumkan bahawa bukan umat sahaja yang disoal, tetapi pertanyaan itu turut ditujukan kepada para rasul yang telah ditugaskan menyampaikan wahyu.
...Bersambung...
♡Ikutlah ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Moga kita selamat didunia dan di akhirat. Ingatlah bahawa kita semua akan disoal oleh Allah mengenai wahyuNya dan dakwah yang telah disampaikan oleh NabiNya. Berwaspadalah!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 25 Jamadil Awwal 1444H☆
وَكَم مِّن قَرۡیَةٍ أَهۡلَكۡنَـٰهَا فَجَاۤءَهَا بَأۡسُنَا بَیَـٰتًا أَوۡ هُمۡ قَاۤىِٕلُونَ
"Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari" [Surah al-Araf 4]
Dalam ayat ini, Allah swt memberitahu dan mengingatkan kita bahawa terlalu banyak daerah, negeri dan kawasan yang telah dibinasakan. Kisah-kisah kebinasaan ini banyak disebut di dalam al-Quran, akan tetapi lebih banyak yang tidak disebut kisahnya di dalam al-Quran.
#
Semua kisah kemusnahan dan kebinasaan ini adalah untuk dijadikan pengajaran dan keinsafan kepada kita yang mahu memikirkan. Allah swt mengingatkan kita bahawa sejak di dunia lagi Allah swt boleh datangkan azab yang dahsyat, tidak perlu tunggu di hari akhirat.
#
Allah swt menceritakan bagaimana keadaan azab itu datang menimpa mereka iaitu ketika mereka sedang nyenyak tidur di malam hari atau ketika mereka sedang beristirehat di siang hari.
#
Keadaan ini menakutkan kita semua kerana ini menunjukkan azab itu datang ketika manusia tidak bersedia dan tidak sempat bersedia. Azab datang dalam keadaan manusia tidak sempat bersedia untuk bertaubat atau memohon keampunan. Ketika manusia sedang leka dengan kerehatan, tengah leka berwasap, leka bertiktok, sibuk melayan Youtube, tengah sibuk mengupdate facebook dan tengah asyik bersantai, tatkala itu azab datang. Tiada sebarang kesempatan untuk menginsafi diri.
#
Inilah ancaman yang menakutkan. Azab datang secara tiba-tiba dan mengejut. Apabila sedar sudah tidak bernyawa atau sudah berada di alam barzakh.
#
أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰۤ أَن یَأۡتِیَهُم بَأۡسُنَا بَیَـٰتࣰا وَهُمۡ نَاۤىِٕمُونَ
"Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?"
"Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?"
أَوَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰۤ أَن یَأۡتِیَهُم بَأۡسُنَا ضُحࣰى وَهُمۡ یَلۡعَبُونَ
"Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi" [Surah al-Araf 97-99]
أَفَأَمِنُوا۟ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا یَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ
♡Sentiasalah mentaati Allah swt. Jangan sesekali melakukan kejahatan dan menderhakaiNya. Berwaspadalah dengan kedatangan azabNya yang boleh muncul tanpa petanda dan secara tidak disangka-sangka♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 23 Jamadil Awwal 1444h☆
فَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّكُمۡ ذُو رَحۡمَةࣲ وَ ٰسِعَةࣲ وَلَا یُرَدُّ بَأۡسُهُۥ عَنِ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡمُجۡرِمِینَ
Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: "Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa" [Surah al-An`am 147]
#Allah swt menceritakan tentang kedegilan dan kebebalan golongan Musyrikin Mekah yang tetap mendustakan risalah yang disampaikan Nabi saw walaupun telah diberi dalil dan hujah-hujah yang bernas. Mereka kekal berdegil dan menolak kebenaran walaupun mereka tidak ada hujah balas. Bahkan mereka mencemuh dan mencaci nabi saw.
وَقَالُوا۟ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِی نُزِّلَ عَلَیۡهِ ٱلذِّكۡرُ إِنَّكَ لَمَجۡنُونࣱ *
Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila".
لَّوۡ مَا تَأۡتِینَا بِٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِینَ
"Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!" [Surah al-Hijr 6-7]
#Maka, ayat diatas adalah sebagai satu pujukan kepada Nabi saw yang terpaksa berdepan dengan mereka yang masih berdegil itu. Tatkala baginda rasa resah dan gelisah dengan kedegilan dan penentangan kaum musyrikin tersebut, Allah swt memaklumkan kepada Nabi saw bahawa Allah mengetahui apa yang sedang dihadapi baginda. Maka rahmat, pertolongan dan bantuan Allah sentiasa bersama baginda saw.
وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشۡرَىٰ لَكُمۡ وَلِتَطۡمَىِٕنَّ قُلُوبُكُم بِهِۦۗ وَمَا ٱلنَّصۡرُ إِلَّا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَكِیمِ
"Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah Ali Imran 126]
وَوَهَبۡنَا لَهُم مِّن رَّحۡمَتِنَا وَجَعَلۡنَا لَهُمۡ لِسَانَ صِدۡقٍ عَلِیࣰّا
"Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia" [Surah Maryam 50]
#Zaman kita saat ini juga terdapat golongan yang degil. Walaupun telah disampaikan berbagai dalil yang sahih daripada al-Quran, hadis, pandangan para ulamak, namun masih ramai lagi yang menolak hujah yang sahih, ajaran yang benar dan perjuangan mendaulat kebenaran. Mereka hanya mahu mengikut nafsu serakah dan pandangan sendiri walaupun bertentangan kehendak Allah dan RasulNya.
#Mereka beranggapan semua agama sama, boleh mengamalkan ajaran agama lain atas dasar keharmonian kaum dan sebagainya. Inilah fahaman liberal, sekular dan pluralisme. Mereka menentang kebenaran yang dibawa para ulamak.
#Katakan kepada golongan yang menolak kebenaran bahawa rahmat Allah swt itu meliputi segala sesuatu.
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ
“…Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu… ” [Surah al-A'raf 156]
#Banyak rahmat yang dilimpahkan kepada mereka yang mahu beriman. Rahmat itu diberikan di dunia dan lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak.
#Berkata Hasan al-Basri dan Qatadah:
وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً
“Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa”
♡Maka kejarlah rahmat Allah dengan melakukan ketaatan dan ketaqwaan kepadaNya. Jangan dihiraukan penentangan golongan kuffar dan munafiq, kerana azab Allah sedang menanti untuk membinasakan mereka♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk JOIN
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 7 Ramadhan 1442H☆
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِی سَیَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِینَ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu" [Surah Ghafir 60]
#Bulan Ramadhan bulan dimakbulkan doa. Maka sewajarnya kita memperbanyakkan berdoa merebut peluang yang dikurniakan Allah ini.
#Daripada Sayidina Jabir bin Abdillah r.a, Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ لِلّهِ فِى كُلِّ يَوْمٍ عِتْقَاءَ مِنَ النَّارِ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ ,وَإِنَّ لِكُلِّ مُسْلِمٍ دَعْوَةً يَدْعُوْ بِهَا فَيَسْتَجِيْبُ لَهُ
”Sesungguhnya Allah swt membebaskan beberapa orang daripada api neraka pada setiap hari di bulan Ramadhan dan setiap muslim apabila dia memanjatkan doa maka pasti dikabulkan" (HR al-Bazzar)
#Bagi orang yang berpuasa, dijanjikan Allah bahawa doa mereka tidak akan ditolak.
#Nabi saw bersabda:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga orang yang doanya tidak ditolak:
1. Orang yang berpuasa sampai ia berbuka
2. Pemimpin yang adil dan
3. Doa orang yang dizalimi” (HR at-Tirmizi)
#Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan: “Hadis ini menunjukkan bahawa disunnahkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa dari awal ia berpuasa hingga akhirnya kerana ia dinamakan orang yang berpuasa ketika itu.”
#Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah lagi: “Disunnahkan bagi orang yang berpuasa ketika ia dalam keadaan berpuasa untuk berdoa demi keperluan akhirat dan dunianya, juga pada perkara yang ia sukai serta jangan lupa pula untuk mendoakan kaum muslimin lainnya”.
♡Jom berdoa dan bermunajat memohon hajat dan keampunanNya♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 5 Ramadhan 1442H☆
أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَیۡكُمۡ یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُوا۟ ٱلشَّیۡطَـٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینࣱ
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!" [Surah Ya-Seen 60]
#Syaitan adalah musuh yang nyata lagi jelas. Jangan sesekali terpedaya dengan bisikan dan hasutannya. Jangan sesekali menyembahnya dan menjadi pengikutnya. Inilah peringatan besar yang dipesan Allah swt kepada kita semua.
#Bersempena kita berada di bulan Ramadhan ini, marilah kita fokus dalam meningkatkan amal ibadah kerana kita bebas daripada gangguan syaitan yang jahat lagi ganas.
#Kelebihan puasa juga mempersempitkan jalan-jalan atau ruang gerak syaitan, iaitu tempat peredaran darah.
#Daripada Sayidina Sofiyyah binti Huyay r.ha, Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ
"Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak-anak Adam melalui saluran darah” (HR al-Bukhari)
#Daripada Sayidina Ibn Abbas r.huma, Nabi saw bersabda:
الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ
“Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan" (HR al-Bukhari)
#Dalam hadis yang lain menyebut:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجِنَانِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَنَادَى مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ
"Apabila tiba malam pertama di Bulan Ramadhan, maka akan diikatlah sekalian syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka tanpa dibukakan satu pun, dan dibuka pintu-pintu syurga tanpa ditutup satu pun, dan akan ada penyeru yang menyeru pada setiap malam: “Wahai orang yang inginkan kebaikan, marilah, dan wahai orang yang ingin melakukan keburukan, hentikanlah”, dan bagi Allah akan ada golongan yang dimerdekakan dari api neraka" (HR at-Tirmizi)
#Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir. (Lihat: Fathul Bari)
♡Berdasarkan riwayat-riwayat ini, seharusnya memberikan semangat kepada kita dalam menunaikan ketaatan di sepanjang bulan Ramadhan ini kerana segala perbuatan kita tidak lagi diganggu oleh bisikan dan hasutan syaitan. Tatkala syaitan lemah, sepatutnya kita menjadi kuat dalam beramal. Jom gandakan amal!!♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah