☆Tadabbur Kalamullah 15 Rejab 1445H☆
قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna" [Surah Az-Zumar 9]
#Sambungan lagi bicara berkaitan kemuliaan para ulamak dan penghormatan terhadap mereka.
#Khalifah Umar bin Abdul Aziz di zaman belajarnya, beliau menuntut ilmu dengan beberapa ulamak besar dari kalangan sahabat Nabi yang hebat seperti Sayidina Ubadah bin as-Shomit, Sayidina Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Beliau juga berguru dengan ulamak tabiin yang masyhur seperti Imam Said bin Musaiyib, Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah bin Mas'ud.
#Beliau sangat menghormati dan menyanjungi semua gurunya. Beliau tersangat menyanjungi dan memuliakan gurunya Ubaidillah bin Abdilllah, belajar dariNya, beradab dengan akhlaknya dan begitu terkesan dengan Ubaidillah. Beliau pernah berkata:
"Aku lebih suka berada dalam majlis ilmu Ubaidillah daripada diberikan kepadaku 1000 dinar" (Lihat: Umar bin Abdul Aziz, Abdullah Sattar Syeikh)
#Katanya lagi: "Kalaulah Ubaidillah masih hidup, aku tidak akan mengeluarkan arahan melainkan setelah daku meminta pandangan darinya". *Ubaidillah pada waktu itu merupakan mufti di Madinah dan salah seorang daripada 7 ulamak fikah terkenal di Madinah. (Lihat: Siyar A'lam an-Nubala')
#Ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi gabenor di Thaif, beliau melantik 10 orang ulamak terhebat di Madinah untuk menjadi penasihat serta pembantunya. Beliau berkata kepada para ulamak ini:
"Sesungguhnya aku memanggil kamu kerana satu tugas yang bergaji tetap. Ini bertujuan agar kamu menjadi pembantuku untuk menegakkan kebenaran. Aku tidak akan membuat apa-apa keputusan kecuali setelah mendengar pandangan daripada kamu semua" (Lihat: Suwar min hayat at-Tabiin)
#Hebatnya pemimpin dahulu, mereka menjadi ulamak sebagai pembantu dan penasihat bahkan sentiasa memuliakan, menyanjungi dan menghormati mereka sebagai orang berilmu, alim ulamak dan penunjuk kebenaran.
#Zaman kita hari ini, mufti menasihati dan menegur, mufti pula dikecam, ditegur menimbulkan polemik kepada masyarakat dan dipersalahkan serta mufti pula minta maaf kepada orang yang dinasihati. Lebih daripada itu, menteri/pemimpin pula mengeluarkan kenyataan bahawa SOP perlu diadakan sebelum mufti keluar sebarang kenyataan. Akhir zaman, mufti dan para alim ulamak pula yang dinasihati oleh pemimpin dan netizen, bukannya mereka yang menasihati pemimpin dan orang ramai. Pelik lagi ajaib.
♡Lihatlah pemimpin dan orang dulu yang menjadikan ulamak sebagai penasihat, penegur kesalahan dan pembetul kesilapan bukannya dijatuhkan martabat kedudukan ulamak. Contohilah mereka yang memuliakan ulamak, agar kita sentiasa diatas landasan kebenaran selamanya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 13 Rejab 1445H☆
قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna" [Surah Az-Zumar 9]
#Sambung lagi perbicaraan tentang kemuliaan para ulamak dan penghormatan terhadap mereka.
#Tersangat perlu bagi kita memuliakan ulamak dan mengasihi mereka. Ini kerana jalan yang ditunjuk kepada kita adalah jalan akhirat dengan cara ibadah yang sah serta iman yang benar. Justeru, amat wajar mengasihi dan memuliakan mereka kerana ia termasuk suruhan Nabi saw.
#Ulamak yang menjadi pewaris nabi amat perlu diberi penghormatan dan dimuliakan kerana mereka yang cukup istimewa di sisi Allah. Menjadi keperluan kepada kita semua untuk mengutip seberapa banyak mutiara ilmu daripada tokoh seperti itu.
#Mulianya para ulamak berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulamak. Firman Allah swt:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah Ali Imran 218)
#Syeikh al-Habib Zein Bin Ibrahim Bin Sumait:
“Maka ilmu adalah punca dan sumber kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Ini kerana, sebesar-besar kedudukan pada hak anak Adam adalah kebahagiaan yang berkekalan di akhirat dan melihat wajah Allah serta menghuni syurga-Nya. Hal ini, tidak akan sampai kecuali dengan ilmu dan amal dan amalan tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali dengan segala kaifiyatnya berdasarkan Ilmu.
#Daripada Umar r.a, katanya:
لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ، أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ
“Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.
#Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:
مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيْسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِيْنَ عَابِدَا
“Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.” (HR Abu Nu’aim)
#Berkata Imam Abdullah Ibn al-Mubarak rahimahullah: Ingatlah sesiapa yang merendah-rendahkan para ulamak, akhiratnya akan binasa.”
#Syeikh al-Kandahlawi berkata: "Orang-orang yang mengajak untuk berburuk sangka, membenci dan berusaha menjauhkan alim ulamak dari umat, termasuk penyebab kerosakan agama. Orang yang seperti itu, akan mendapat azab yang keras.
♡Marilah sama-sama kita menghormati para ulamak, mengasihi dan memuliakan mereka♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 11 Rejab 1445H☆
قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna" [Surah Az-Zumar 9]
#Pertanyaan dalam ayat diatas, “apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu" adalah dalam bentuk soalan penafian (Istifham Istinkar) yang secara jelas jawapannya ialah pasti tidak sama kedudukan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
#Ulamak adalah mereka yang memimpin umat agar tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt. Kedudukan ulamak adalah mulia, bukan kerana fizikal mereka tetapi kerana mereka memikul amanah dakwah dan menjadi pewaris kepada para Rasul yang diamanahkan membawa risalah tauhid dan syariat yang sebenar kepada seluruh umat manusia.
#Ulamak adalah orang yang paling berjasa dalam menjaga, membela dan menyampaikan kepada kita syariat Islam secara suci murni sehingga hari ini.
#Oleh itu, kita wajib menghormati para ulamak dan mengakui keahlian mereka misalnya Imam al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dalam bidang akidah. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam as-Syafie dan Imam Ahmad dalam bidang fiqah. Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam at-Tirmizi serta Imam an-Nasaie dalam bidang hadis.
#Mengkritik dan memperlekehkan ulamak adalah dua perkara yang berbeza. Mengkritik ulamak tidak boleh dilakukan oleh semua orang. Hanya ulamak yang berkelayakan dari segi ilmu dan adabnya sahaja yang boleh mengkritik melalui kaedah dan perbahasan ilmiah. Selain mereka, tidak layak untuk mengkritik ulama melainkan orang jahil yang tertipu dengan dirinya sendiri.
#Memperlekehkan ulamak pula tidak dilakukan kecuali oleh orang yang hina dan rendah akhlaknya sahaja. Nabi saw sendiri tidak mengakui orang seperti ini sebagai umatnya.
#Sabda baginda saw:
ليس من أمَّتي من لم يُجلَّ كبيرنا، ويرحم صغيرنا، ويعرف لعالمنا
"Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati orang tua kami, mengasihi orang muda kami dan mengetahui hak orang alim kami" (HR Ahmad. Hadis Hasan)
#Berkata Imam Ibnul Mubarak: "Sesiapa yang mempersendakan ulamak, akan hilanglah akhiratnya."
#Berkata pula Imam al-Azraie: "Mencerca ahli ilmu, terutama tokoh besar mereka adalah termasuk dosa besar."
#Al-Imam al-Ghazali mendidik kita memuliakan para ilmuwan, alim ulamak, guru-guru. Sehingga beliau menegaskan bahkan meletakkan kedudukan ahli ilmu lebih mulia dari kedudukan ibu bapa. Kata al-Imam al-Ghazali rahimahullah:
فإنَّ الوالد سببُ الوجود الحاضر، والحياة الفانية، والمعلم سبب الحياة الباقية
“Sesungguhnya ibubapa adalah sebab kewujudan seorang anak dimuka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan ahli ilmu adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya". (Lihat: Ihya' Ulumuddin)
♡Ulamak mempunyai jasa besar kerana mereka perantara yang menyampaikan kepada kita agama yang benar. Maka, muliakanlah para alim ulamak, orang-orang soleh, imam-imam mazhab, para pejuang Islam, golongan ilmuwan, para guru, pendakwah kerana mereka adalah pewaris nabi, pembawa risalah para Rasul dan wali Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 9 Rejab 1445H☆
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar" [Surah at-Taubah 100]
#Sahabat Nabi saw adalah merupakan generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah Islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk Islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam.
#Imam asy-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Lihat: Fath Al-Qadir Al-Jami Baina Fannai Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilm Al-Tafsir)
#Kemuliaan para sahabat Nabi saw disebutkan sendiri oleh baginda Nabi saw. Sabda baginda saw:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
"Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka" (HR al-Bukhari)
#Dalam riwayat yang lain:
خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ
“Sebaik-baik umatku pada kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu)” (HR Muslim)
#Nabi saw memberi amaran dan peringatan agar jangan sewenang-wenangnya cuba untuk mencela atau mencaci apatah lagi memaki para sahabat. Baginda saw bersabda:
لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
“Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebanyak bukit Uhud, ia tidak akan mencapai segantang infak yang dilakukan oleh para Sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun” (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Imam an-Nawawi menukilkan pandangan Imam Qadhi Iyadh bahawa para Sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infakkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan. Kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi saw. (Lihat: Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim)
..Bersambung..
♡Para sahabat Nabi memiliki kedudukan yang teristimewa di sisi Allah swt. Mereka telah diberikan anugerah yang begitu besar yakni kesempatan bertemu dan menemani Nabi saw. Allah swt telah memilih mereka untuk mendampingi dan membantu Nabi saw dalam menegakkan agamaNya. Insan-insan pilihan Allah ini, tentunya memiliki kedudukan teristimewa di bandingkan dengan insan yang lain♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 7 Rejab 1445H☆
كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ
"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)" [Surah al-ʿAnkabut 57]
#Sambung bicara tentang kematian. Setiap yang hidup pasti bertemu kematian.
#Berkata Syed Qutb rahimahullah: "Semua orang pasti akan kembali kepada Allah ketika mati, tapi yang berbahagia adalah orang yang dekat dengan Allah semasa hidupnya".
#Antara mati yang mulia ialah mati syahid di medan jihad. Inilah yang diburu oleh generasi awal Islam iaitu mencari kematian yang indah.
#Sayidina Umar al-Khattab r.a pernah berdoa agar beroleh mati syahid:
اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalanMu. Matikanlah aku di negeri RasulMu saw (Madinah)" (HR al-Bukhari)
#Antara sahabat terawal syahid dalam perang Badar ialah Sayidina Mahja‘ bin Soleh r.a maula Sayidina Umar bin al-Khattab r.a.
#Beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk agama Islam, menyertai peperangan Badar dan mati terbunuh sebagai syahid dalam peperangan tersebut.
#Musa bin ‘Uqbah menyebutkan, beliau adalah yang awal syahid dalam peperangan itu. Begitu juga Ibn ‘Abd al-Barr turut menyatakan, beliau adalah yang awal terbunuh dalam kalangan tentera Muslimin di antara dua barisan (tentera yang bertentangan), anak panah datang kepadanya dari arah barat dan membunuhnya. Dikatakan orang yang telah membunuhnya ialah ‘Amir bin al-Hadhrami.
#Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda kepada para sahabat yang menunjukkan kemuliaan orang yang mati syahid. Sabda Nabi saw:
“Ada seorang sahabat yang akan masuk ke syurga tanpa perlu solat, puasa dan lain-lain. Dia ialah ialah Amar bin Sabit”.
#Amar bin Sabit masuk Islam, kemudian terus ke medan perang dan mati syahid.
♡Moga Allah memilih kita semua untuk dikurniakan mati syahid. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 5 Rejab 1445H☆
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan" [Surah al-Hajj 41]
#Sambungan bicara berkaitan pemimpin Islam yang telah mencapai pra syarat sebagaimana yang telah disebut dalam ayat ini. Antaranya ialah Sultan Muhammad al-Fateh.
#Rasulullah saw pernah bersabda:
لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير ذلك الأمير و لنعم الجيش ذلك الجيش
“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.." (HR Imam Ahmad)
#800 tahun selepas hadis itu diucapkan oleh Rasulullah saw barulah ia akhirnya menjadi kenyataan. Seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al-Wali pernah mengiisyaratkan bahawa Sultan al-Fateh akan berjaya menakluk kota Konstantinopel ketika beliau di dalam buaian lagi.
#Syeikh Syamsuddin Al-Wali pernah berkata kepada Sultan Murad (ayah kepada Muhammad al-Fateh): “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu” sambil menunjuk kepada Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian.
#Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar dengan didikan agama dan pemerintahan serta strategi peperangan. Beliau seorang yang tampan mempunyai bentuk badan yang tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.
#Ketika berumur 19 tahun beliau diangkat untuk menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Sultan Muhamad al-Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah ketika beliau berusia hanya 21 tahun.
#Bentuk peradaban telah berubah dengan pembukaan kerajaan Islam kerana banyak masjid, sekolah dan hospital yang telah dibina. Baginda amat mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan.
#Sebelum beliau meniggal dunia, beliau menyampaikan wasiat seperti berikut: “Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya.
Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.
Ketahuilah bahawa ulamak adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulamak di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya. Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang.
♡Inilah perwatakan taqwa Sultan Muhammad al-Fateh. Contohilah baginda!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 3 Rejab 1445H☆
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang" [Surah al-Baqarah 43]
#Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah.
#Imam al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat: al-Durr al-Manthur)
#Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.
#Selain itu, orang yang menjaga solat juga akan terhindar daripada termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Sabda Rasulullah saw:
مَنْ حَافَظَ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ
"Barangsiapa yang menjaga solat-solat fardhu, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang-orang yang lalai” (HR Ibn Khuzaimah, al-Hakim dan al-Baihaqi)
#Untuk beroleh solat yang sempurna, maka perlu dilakukan dengan penuh kekhusyukan. Firman Allah swt:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya" [Surah al-Mukminun 1-2]
#Berkata Imam al-Hasan al-Bari rahimahullah: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya" (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim)
#Imam al-Sa’di dalam menafsirkan ayat diatas mengatakan, solat tanpa khusyuk dan tanpa kehadiran hati walaupun sah dan mendapat pahala, namun begitu kadar pahala yang didapati berdasarkan kekhusyukan seseorang di dalam solat tersebut. (Lihat: Tafsir Taysir al-Karim al-Rahman)
♡Ini beroleh solat yang sempurna, kita dituntut untuk khusyuk di dalam solat dengan cara memberi fokus kepada solat tersebut dan tidak mencampur aduk dengan urusan lain dari hal keduniaan. Solatlah dengan sebenar-benarnya!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 1 Rejab 1445H☆
ٱلَّذِینَ یَحۡمِلُونَ ٱلۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُۥ یُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَیُؤۡمِنُونَ بِهِۦ وَیَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۖ رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَیۡءࣲ رَّحۡمَةࣰ وَعِلۡمࣰا فَٱغۡفِرۡ لِلَّذِینَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِیلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِیمِ
"Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka" [Surah Ghāfir 7]
#Ayat ini menunjukkan bahawa malaikat itu betul-betul mengenal Allah swt. Mereka berdoa dengan bertawassul menggunakan nama dan sifat Allah swt yang sesuai dan munasabah.
#Isi dan kandungan doa malaikat itu bertepatan dengan apa yang Allah swt mahu. Mereka lakukan perkara yang Allah suka. Allah swt sayang dan suka kepada hambaNya yang beriman, bertaqwa dan soleh, maka malaikat pun ambil berat dan prihatin dengan mendoakan orang beriman, orang bertaqwa dan orang-orang yang soleh.
#Doa para malaikat ini menunjukkan kesungguhan mereka memohon keampunan, kebaikan dan rahmat Allah kepada orang beriman. Maka, kita sepatutnya lebih perlu bersungguh mendoakan keampunan untuk diri kita sendiri yang sentiasa lalai dan berdosa.
#Ini juga menunjukkan kebijaksanaan Malaikat dalam berdoa. Mereka tidak doakan kepada semua manusia, hanya kepada yang layak untuk mendapat kebaikan iaitu orang yang bertaubat dan mereka yang berada di atas landasan kebenaran.
#Malaikat juga mendoakan syurga untuk orang beriman dan seluruh ahli keluarganya.
رَبَّنَا وَأَدۡخِلۡهُمۡ جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ ٱلَّتِی وَعَدتَّهُمۡ وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَاۤىِٕهِمۡ وَأَزۡوَ ٰجِهِمۡ وَذُرِّیَّـٰتِهِمۡۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah Ghāfir 8]
#Ini menunjukkan bahawa jangan berdoa untuk kita sahaja tetapi berdoalah untuk seluruh keluarga dan zuriat keturunan kita. Beginilah juga cara nabi Ibrahim Alaihissalam berdoa, untuk seluruh keluarga dan zuriat keturunannya.
رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ
“Ya Tuhan kami jadikanlah kami orang yang berserah diri kepadaMu dan anak cucu kami juga umat yang berserah diri kepadaMu" [Surah al-Baqarah 128]
#Dengan berdoa demikian, maka akan lengkaplah kebahagiaan seseorang apabila dapat berkumpul bersama anak, isteri, mak, ayah, adik beradik dan kaum keluarga di dalam syurga nanti.
♡Marilah kita sama-sama tingkatkan keimanan dan ketqwaan kita kepada Allah swt agar kita semua dapat memasuki syurga sekeluarga serta berada pada tingkatan yang sama di dalam syurga nanti, InsyaAllah, Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 29 Jamadil Akhir 1445H☆
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یُزَكُّونَ أَنفُسَهُمۚ بَلِ ٱللَّهُ یُزَكِّی مَن یَشَاۤءُ وَلَا یُظۡلَمُونَ فَتِیلًا
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun" [Surah an-Nisāʾ 49]
#Sifat suka memuji diri sendiri bukan sahaja kurang disenangi oleh kebanyakan orang, malah ia dilarang dan dibenci oleh Allah swt dan juga nabiNya.
#Para mufassirin mengatakan ayat ini diturunkan untuk menegur kaum Yahudi yang menganggap diri mereka dan anak-anak mereka bersih daripada sebarang dosa. Sebahagian mereka berpendapat bahawa ayat ini diturunkan untuk mengecam mereka yang saling memuji dan mensucikan diri dari melakukan kesalahan dan kesilapan.
#Sayidina al-Miqdad bin al-Aswad r.a berkata: Rasulullah saw memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang-orang yang suka memuji" (HR Muslim)
#Diriwayatkan oleh Sayidina Abdullah bin Abi Bakrah r.a daripada ayahnya r.a. bahawa Rasulullah saw mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang lelaki lain. Baginda pun bersabda: “Buruknya engkau! Engkau memotong leher sahabatmu!”. Kemudian baginda menyambung: "Sekiranya seseorang kamu tidak boleh mengelak daripada memuji sahabatnya, hendaklah dia berkata:" Pada sangkaanku dia adalah begini”. Janganlah dia mensucikan seseorang kerana hal itu adalah hak Allah semata-mata” (Muttafaq ‘alaih)
#Ibn Mardawaih meriwayatkan bahawa Sayidina Umar r.a pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah seseorang yang mengkagumi pandangannya sendiri (tentang dirinya). Sesiapa yang berkata bahawa dia alim, maka dia jahil. Sesiapa yang berkata dia pasti masuk syurga, maka dia pasti masuk neraka.”
#Ini memberi petunjuk kepada kita bahawa Nabi saw tidak menggalakkan seseorang memuji sahabatnya secara berlebih-lebihan. Jika terpaksa, ucapkan secara sederhana dan berlapik seperti yang anjurkan oleh baginda saw dengan berkata “pada sangkaanku begini” iaitu nyatakan kebaikan apa yang hendak dipuji itu dengan menyatakan bahawa ini adalah sangkaan kita sahaja.
#Persoalan, kenapa Islam melarang memuji diri sendiri atau orang lain secara berlebihan? Bukankah pujian itu merupakan mengiktirafan dan menjadi satu galakan untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat?
#Ini kerana, Islam menekankan keikhlasan dalam beramal. Ujub atau kagum pada diri sendiri dan riyak atau menunjuk-nunjuk adalah dua sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Pujian yang berlebihan-lebihan akan menjerumuskan seseorang kepada salah satu daripada dua sifat tersebut, iaitu ujub atau riyak.
#Apabila kedua-duanya sifat itu menyelinap di dalam hati, ikhlas pun tersingkir. Amalan tidak lagi bernilai di sisi Allah swt. Ia laksana debu yang berterbangan ditiup angin yang kencang walaupun asalnya kelihatan seperti timbunan bukit yang tinggi menjulang awan.
#Dari sudut pandang yang lain, sebagai manusia penilaian kita amat terbatas. Kita melihat seseorang hanya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenar hanya Allah jua yang maha mengetahui.
♡Hanya Allah swt jua yang benar-benar mengetahui keadaan setiap hambaNya dan Dia tidak tersilap di dalam penilaianNya kerana Dia mengetahui segala yang nyata mahupun yang tersembunyi. Ikhlaslah dalam semua perkara!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 27 Jamadil Akhir 1445H☆
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya" [Surah an-Nisa' 103]
#Ayat ini merupakan salah satu dalil kefarduan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Setiap individu Muslim yang mukalaf berkewajipan menunaikan solat melainkan terdapat sebarang keuzuran Syar‘ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya. Oleh itu barangsiapa yang meninggalkan solat disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka terbatal imannya dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia dikira melakukan dosa besar dan hendaklah dia menggantikannya (qadha’) semula sesegera mungkin. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie)
#Adalah diyakini jika solat dapat dihayati dengan sebaiknya ia dapat membentuk jati diri yang kukuh lagi teguh dalam diri setiap individu untuk berdepan dengan pelbagai situasi dan cabaran terutama di zaman yang penuh dengan program kemaksiatan dan juga penuh dengan godaan ke arah kejahatan.
#Solat juga dapat menjadi satu benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.
#Solat juga dapat membersihkan rohani manusia dan membersihkan segala kekotoran yang ada dalam jiwa manusia. Solat juga mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. (Lihat: Abdul Karim Zaidan, Usul al-Dakwah)
#Firman Allah swt:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ
"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar" [Surah al-Ankabut 45]
#Berkata Imam al-Ghazali: "Solat yang ditunaikan dengan sempurna dapat memberi kesan besar kepada
kesejahteraan kerohanian seseorang kerana ia tunggak keyakinan, dan merupakan jalan utama
untuk mendekatkan diri kepadaNya".
#Antara peranan solat yang ditunaikan dengan sempurna ialah:
1. Menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan sebelum menunaikan sesuatu solat.
2. Mencegah akhlak yang keji
3. Memberi ketenangan dan kerehatan
4. Membangkitkan semangat melakukan
kerja kebaikan dan kewajipan
5. Sentiasa berhati-hati dalam tindak tanduk dan merasai muraqabatullah
6. Meningkatkan tahap kesabaran menghadapi ujian hidup
7. Mengukuhkan tali peraudaraan dan perpaduan dan
8. Mententeramkan mental dan emosi
#Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, sabda Nabi saw:
أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ هَلْ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شي" قالوا: لا يبقى من درنه شي، قَالَ:" فَذَلِكَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الْخَطَايَا
"Tidakkah kamu melihat seolah-olah sebuah sungai yang berada berhampiran kamu lalu kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran pada diri kamu?. Mereka berkata:" Tidak akan tersisa". Lalu Nabi saw berkata: "Begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia dengannya". (HR at-Tirmizi)
♡Kewajipan solat untuk dilaksanakan bukan semata-mata rukuk dan sujud, akan tetapi lebih daripada itu iaitu bagi melahirkan insan yang berkualiti dan menjauhkan dirinya daripada segala bentuk kemungkaran yang kecil mahupun besar, di samping melahirkan kebahagiaan dalam dirinya di dunia mahupun di akhirat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 25 Jamadil Akhir 1445H☆
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ * أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ * الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya" [Surah al-Mu’minun 9-11]
#Allah swt memuji orang yang memelihara solatnya dan menjanjikan mereka untuk ditempatkan di syurga yang tertinggi iaitu Syurga al-Firdaus.
#Solat berjemaah di masjid merupakan cara yang paling baik dan afdhal bagi seseorang untuk mendirikan solat dan memelihara solatnya agar sentiasa didirikan diawal waktu.
#Selain itu, Rasulullah saw banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan sentiasa menghadirkan diri untuk solat berjemaah di masjid. Antaranya, Rasulullah saw mengatakan bahawa setiap langkahan seseorang ke masjid merupakan sedekah.
#Sabda Rasulullah saw:
وكلُّ خطوَةٍ تخطوها إلى الصلاةِ صدَقَةٌ
"Dan pada setiap langkah untuk menuju solat (berjemaah di masjid) adalah sedekah" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Dalam hadis yang lain, baginda saw bersabda:
أَعْظَمُ النّاسِ أجْرًا في الصَّلاةِ أبْعَدُهُمْ، فأبْعَدُهُمْ مَمْشًى والذي يَنْتَظِرُ الصَّلاةَ حتّى يُصَلِّيَها مع الإمامِ أعْظَمُ أجْرًا مِنَ الذي يُصَلِّي، ثُمَّ يَنامُ
"Orang yang paling besar ganjarannya dalam menunaikan solat ialah sesiapa yang paling jauh perjalanannya (menuju solat berjemaah). Dan, orang yang menunggu solat untuk didirikan bersama imam adalah lebih besar ganjarannya berbanding seseorang yang mendirikan solat (bersendirian) kemudian tidur" (HR al-Bukhari dan Muslim)
#Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang berusaha memelihara solatnya terutama secara berjemaah di masjid akan diganjarkan dengan pahala yang lebih besar berbanding orang lain apabila dia sabar dalam menanggung kesusahan yang terpaksa dihadapinya untuk melaksanakannya walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar untuk sampai ke masjid.
#Bagi mereka yang memelihara solat dengan berjemaah maka diberi jaminan pahala yang melimpah ruah.
#Nabi saw bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat" (HR Muslim)
#Di dalam riwayat lain menyatakan:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian" (HR Muslim)
#Imam an-Nawawi rahimahullah menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat: al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab)
♡Peliharalah solat dengan memastikan pelaksanaannya secara berjemaah di masjid surau, dilakukan diawal waktu di samping memerintah kaum keluarga untuk solat adalah antara sebab rezeki dimurahkan dan dimudahkan serta mendapat pertolongan Allah swt disamping layak mendiami jannatul Firdaus yang teristimewa♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 23 Jamadil Akhir 1445H☆
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ * قُمْ فَأَنذِرْ * وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ * وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ * وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ * وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ * وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ
"Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!" [Surah al-Muddatthir 1-7]
#Berkata Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum:" Perintah-perintah yang terkandung dalam ayat ini (iaitu ayat 1-7 Surah al-Muddatthir) pada zahirnya kelihatan ringkas dan bersahaja tetapi sebenarnya membawa maksud dan matlamat yang mendalam serta kesan dan tindakan yang bersungguh sungguh melibatkan:
1. Matlamat perintah memberikan peringatan
2. Matlamat membesarkan Tuhan
3. Matlamat membersihkan pakaian dan menjauhi segala kejahatan supaya mencapai pembersihan zahir dan batin
4. Matlamat tidak mengharapkan balasan yang banyak dengan pemberiannya
5. Ayat ketujuh menceritakan mengenai apa yang bakal Rasulullah saw hadapi, iaitu gangguan orang yang menentang Baginda saw
#Permulaan surah ini mengandungi ayat yang merangkumi seruan daripada Yang Maha Tinggi supaya Nabi Muhammad saw menjalankan tugasnya yang berat itu dengan meninggalkan tempat tidur dan bergegas mara ke medan jihad menghadapi penentangan dan kepayahan.
#Maka, bangunlah Rasulullah saw menunaikan perintah itu. Rasulullah saw menjalankan tugas itu selama lebih 20 tahun tanpa rehat dan tanpa henti. Rasulullah saw tidak menjalani kehidupan ini untuk kepentingan diri dan keluarga Baginda. Rasulullah saw terus-menerus berdakwah di jalan Allah, memikul beban yang berat di bahunya, tidak digugurkannya; beban yang Rasulullah saw galas berupa amanah yang amat besar di muka bumi ini, beban kemanusiaan, akidah, penentangan dan jihad dalam segenap lapangan.
#Rasulullah saw hidup dalam perjuangan yang berterusan lebih 20 tahun; tidak ada urusan yang boleh melalaikan Rasulullah saw sepanjang tempoh tersebut, semenjak Rasulullah saw mendengar seruan Yang Maha Tinggi dan Maha Agung sehinggalah menerima daripadaNya tanggungjawab yang sukar. Moga-moga Allah membalas segala jasa bakti Rasulullah saw terhadap sekalian manusia dan makhluk dengan sebaik-baik balasan. (Lihat: al-Rahiq al-Makhtum)
#Maka menjadi tugas kita pula untuk menyambung tugasan yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw iaitu mengajak manusia kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada mentauhidkan Allah swt.
#Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah bin ‘Amr r.a, bahawa Nabi saw bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
“Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat" (HR al-Bukhari)
#Imam Al-Khattabi dalam syarahnya menyebut bahawa lafaz ‘sampaikanlah itu’ membawa makna bahawa ia merupakan arahan wajib, iaitu wajib disampaikan daripada Rasulullah saw walaupun satu ayat. (Lihat: A‘lam al-Hadith)
#Maka, untuk menyampaikan Ilmu, seseorang itu perlukan kepada beberapa kriteria, antaranya:
.. Bersambung...
♡Pendakwah merupakan warisan tugas daripada Rasulullah saw untuk menyampaikan risalah Islam kepada manusia keseluruhannya. Jom berdakwah mengajak manusia kepada kebenaran dan jalan yang lurus!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 21 Jamadil Akhir 1445H☆
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
“Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” [Surah al-Isra’ 85]
#Sambung bicara berkaitan ilmu kurniaan Allah kepada kita hanya sedikit.
#Hal ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kita, bahawa ilmu yang kita ada ini semuanya dari Allah swt. Dan ilmu yang diberikanNya kepada kita adalah amat sedikit. Jadi tidak perlu untuk sombong dan berlagak sangatlah.
#Di dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir ada disebutkan bahawa Nabi Khidhir memandang ke arah seekor burung pipit yang hinggap di pinggir perahu yang dinaiki keduanya, lalu burung pipit itu minum seteguk air dari laut itu dengan paruhnya. Maka Nabi Khidhir berkata: “Hai Musa, tiadalah pengetahuanku dan pengetahuanmu serta pengetahuan semua makhluk jika dibandingkan dengan pengetahuan Allah, melainkan sama halnya dengan apa yang diambil oleh burung pipit itu dari air laut dengan laut itu sendiri.”
#Benarlah firman Allah swt:
قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا ﴿١٠٩﴾ قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” [Surah al-Kahfi 109-110]
#Sedarlah, walau sebijak mana pun kita, namun tidak semestinya kita tahu semua perkara. Kadang-kadang perkara yang kita tidak tahu itu boleh membinasakan dan meragut nyawa kita. Oleh itu seorang yang berilmu dan bijak hendaklah bersifat tawaduk kerana semakin bertambah ilmu akan menyedarkannya betapa banyaknya lagi perkara dan ilmu lain yang kita tidak tahu.
#Cuba kita hayati kisah dibawah ini. Kisah seorang profesor yang hendak menyeberangi laut menuju ke sebuah pulau. Untuk ke sana dia perlu menaiki perahu yang didayung oleh seorang pendayung. Dalam perjalanan berlakulah dialog antara mereka berdua:
Profesor: “Adakah kamu mempelajari ilmu sains dan matematik?”
Si pendayung: “Tidak pernah”
Profesor: Dengan megahnya ia berkata, “Kalau begitu kamu kehilangan 50% dari kehidupan kamu.”
Tiba-tiba perahu yang mereka naiki itu terlanggar batu lalu bocor dan mulai karam.
Si pendayung: "Pandaikah tuan berenang?”
Profesor: “Saya tidak pandai berenang.”
Si pendayung: “Kalau begitu tuan akan kehilangan 100% kehidupan tuan.”
#Betapa tidak semua ilmu dan kemahiran kita miliki. Maka tidak ada sebarang keperluan untuk kita megah, sombong dan berlagak dengan tahap ilmu yang kita miliki.
#Pepatah ada mengatakan: “Padi semakin berisi semakin menunduk”.
#Inilah sifat orang-orang yang bijaksana. Orang yang benar-benar berilmu sentiasa merendah diri, sebaliknya orang yang berilmu tetapi takbur sebenarnya adalah orang yang bodoh di sisi Allah swt.
♡Ahli ilmu adalah golongan ilmuwan hebat yang bijak lagi tawaduk serta tinggi nilai taqwanya. Jadilah orang alim yang sedar diri dan merendah diri♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 19 Jamadil Akhir 1445H☆
وَیَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَیۡثُ لَا یَحۡتَسِبُۚ وَمَن یَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَیۡءࣲ قَدۡرࣰا
"Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu" [Surah aṭ-Ṭalaq 3]
#Bertaqwalah kepada Allah swt dengan sebenarnya, nescaya Allah swt akan mengurniakan pelbagai rezeki dan kebaikan dengan jalan yang tidak diduga.
#Disamping itu, sesiapa yang menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah nescaya pertolongan dan bantuan Allah sentiasa bersamanya.
#Bersempena tahun baru 2024 ini, berimpianlah dengan sesuatu hasrat yang terbaik, moga Allah swt tunaikan hajat dan impian tersebut.
#Dikisahkan bahawa Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah ditanya ketika di bangku sekolah, "Apa cita-cita kamu?". Beliau menjawab: “Ingin menjadi Syeikh al-Azhar.” Guru yang bertanya terkejut dan menggelengkan kepala. Walaupun Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi tidak ditakdirkan menjadi Syeikh al-Azhar, sedangkan kemampuan dan ilmunya amat luar biasa. Justeru murid-muridnya berkata: “Kamu bukan Syeikh al-Azhar tetapi kamu adalah Syeikh al-Ummah.” Dalilnya beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia dan beliaulah yang mengasaskannya, yang menghimpunkan ulamak seluruh dunia.
#Begitu juga kisah kehebatan dan keilmuan Ibnu Sina. Beliau merupakan salah seorang tokoh yang luar biasa dalam ilmu perubatan. Kemampuannya boleh merawat seorang raja menyebabkan raja tersebut bertanya kepadanya: “Apakah yang diingini dan dicita-citakan?”. Maka jawabnya: “Patik dengar, tuanku mempunyai perpustakaan yang besar, di mana banyak kitab-kitab yang nadir terdapat dalam perpustakaan tuanku. Maka izinkan patik masuk untuk membacanya.”
#Selain itu, dikisahkan mengenai Imam Syeikh Izzuddin Ibn Abdissalam, yang mula menuntut ilmu pada usia tua, namun beliau sangat bersemangat menghafaz kitab dan giat belajar, dan secara berkala belajar kepada para ulama’ besar pada masa tersebut. Semua itu beliau lakukan untuk menebus masa kecilnya yang tidak sempat merasai pendidikan lantaran keadaan keluarga beliau yang miskin. Ketekunan beliau ditunjukkan dengan jarangnya tidur pada malam hari. Beliau pernah berkata bahawa selama 30 tahun beliau tidak tidur sebelum benar-benar memahami kitab yang sedang beliau pelajari. Selain itu lingkungan di mana beliau tinggal, iaitu Damsyiq pada masa itu adalah daerah yang dipenuhi ulamak-ulamak yang masyhur dalam pelbagai ilmu, disamping kuatnya munajat beliau kepada Allah swt menyebabkan beliau menjadi seorang ulamak dan ilmuwan hebat sehingga tulisan dan pemikirannya dibahaskan hingga saat ini.
#Tatkala tiga ilmuwan hebat diatas menyerahkan diri mereka kepada Allah swt dengan mengejar impian yang besar disamping kesungguhan, Allah swt mengurniakan sesuatu yang lebih besar kepada mereka.
#Jom kita manfaatkan usia dan peluang yang Allah kurniakan kepada kita untuk menggandakan pergantungan kita kepadaNya, menyuburkan ketaqwaan dalam keimanan serta menambahkan kesungguhan dalam berimpian, moga Allah swt mengurniakan kita kebahagiaan dan kejayaan didunia dan di akhirat.
♡Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang soleh, bertaqwa serta berjaya dunia akhirat. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 17 Jamadil Akhir 1445H☆
وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
"Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)" [Surah Aali Imran 140]
#Warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan dan sepanjang tahun 2023, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui.
#Banyak peristiwa yang telah berlaku pada tahun 2023. Ada peristiwa melibatkan kejayaan, gembira dan sukacita. Sebaliknya tidak kurang yang kecewa, sedih dan berduka nestapa. Begitu juga ada yang dikurniakan dengan pelbagai anugerah dan nikmat.
#Oleh itu, tatkala kita dikurniakan nikmat, maka wajib kita zahirkan kesyukuran kepada Allah swt. Sebaliknya jika diuji dengan sedikit musibah, maka hendaklah dia bersabar. Sudah tentu kehidupannya sentiasa dipahalakan oleh Allah swt.
#Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Suhaib r.a, Rasulullah saw bersabda:
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya" (HR Muslim)
#Sepatutnya segala peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun ini dapat mengislahkan kehidupan seseorang yang mendatang dengan lebih cemerlang dan gemilang.
#Kita hendaklah bermuhasabah diri ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Daripada baik kepada lebih baik dan daripada lebih baik kepada terbaik. Inilah manusia yang mendapat laba dan keuntungan dalam kehidupan. Semoga sinar 2024 kita penuhinya dengan cita-cita yang mulia untuk kita capai.
#Dengan itu, kita akan menjadi orang yang cerdik, bijak dan beruntung dalam kehidupan. Daripada Sayidina Syaddad bin Aus r.a, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ
"Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah" (HR at-Tirmizi dan Ibn Majah)
#Syeikh al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadis ini berkata: “(Orang yang cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum dia dihisab di akhirat".
#Berkata Sayidina Umar al-Khattab r.a:
حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا
"Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi)
#Imam al-Ghazali berkata: "Barangsiapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak."
#Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda.
...Bersambung...
♡Semoga kebaikan dan keberkatan hidup sentiasa menaungi kita semua dan singgah dalam kehidupan kita semua yang akhirnya membawa kebahagiaan dan ketenangan di dunia serta kejayaan hakiki di akhirat kelak. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 14 Rejab 1445H☆
قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna" [Surah Az-Zumar 9]
#Sambungan bicara berkaitan kemuliaan para ulamak dan penghormatan terhadap mereka.
#Dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Sayidina Anas r.a, Nabi saw bersabda:
“Perumpamaan ulamak di muka bumi seperti bintang yang ada di langit. Bintang dapat memberi petunjuk pada orang yang berada di gelap malam di daratan mahupun di lautan. Jika bintang tidak muncul, manusia tidak mendapat petunjuk”
#Selama ilmu ada, manusia akan terus berada dalam petunjuk. Ilmu tetap terus ada selama ulamak ada. Jika ulamak dan penggantinya sudah tiada, jadilah manusia hidup dalam kesesatan.
#Perjuangan para ulamak dalam mendakwahkan kebaikan kepada umat tidaklah mudah. Mereka selalu berjuang sekuat tenaga walaupun menghadapi berbagai rintangan dan hambatan agar umat dapat terbimbing menjadi manusia yang baik di sisi Allah swt. Perjuangan mereka yang tanpa letih dan perit jerih sangat patut diteladani dan disyukuri oleh kita semua.
#Imam as-Syafi’e suatu waktu dicela kerana berlebihan dalam sikap tawadhuknya kepada para ulamak. Kemudian Imam as-Syafi’e menjawab celaan itu dengan sebuah sya’ir:
“Aku merendahkan jiwaku kepada para ulamak, maka para ulamak memuliakanku dengan ilmu mereka. Tidak akan mulia suatu jiwa yang tidak merendahkan diri di depan para ulamak”.
#Dalam kesempatan lain Imam as-Syafi’e pernah mengatakan ketika menjelaskan betapa hormatnya dia kepada Imam Malik gurunya:
“Aku membuka lembaran kitab di depan Imam Malik dengan begitu perlahan kerana segan dan hormat kepadanya agar beliau tidak mendengar suara lembaran kertas itu ketika mengajar” (Lihat: Tazkiratus Sami’ wal Mutakallim)
Imam as-Syafi’e melakukan hal tersebut kerana bimbang suara kertas miliknya itu mengganggu Imam Malik yang sedang mengajar.
#Maka marilah kita mengikuti bimbingan para ulamak, cintailah mereka, muliakanlah mereka sebagai salah satu bentuk ketaatan kita kepada Rasulullah saw.
♡Sungguh, jasa ulamak dan para ilmuwan begitu besar. Maka hormati dan muliakanlah mereka agar bahagia hidup kita♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 12 Rejab 1445H☆
قُلۡ هَلۡ یَسۡتَوِی ٱلَّذِینَ یَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا یَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna" [Surah Az-Zumar 9]
#Sambung bicara tentang kemuliaan para ulamak dan penghormatan terhadap mereka.
#Dalam suasana masyarakat Islam masa kini, para ulamak hendaklah dijadikan pemimpin dan ikutan, kerana kefahaman mereka yang mendalam terhadap Islam akan memelihara ummah dari terjerumus kepada kesesatan.
#Juga dengan sifat mereka yang takutkan Allah swt menjadikan para ulamak sentiasa bertindak berdasarkan panduan wahyu al-Quran dan as-Sunnah yang akan memberikan jaminan tidak berlakunya sebarang penyelewengan.
#Sebaliknya perbuatan memandang serong kepada para ulamak, memperkecilkan kebolehan mereka, mempersendakan pendapat mereka adalah bibit-bibit yang akan membuahkan kebencian terhadap ulamak. Ia adalah permulaan malapetaka yang bakal menimpa umat Islam kerana apabila jauhnya mereka dari pimpinan para ulamak bermakna semakin jauhlah mereka dari panduan al-Quran dan as-Sunnah.
#Orang yang memperlekehkan ulamak bererti dia hendak menjatuhkan kredibiliti penjaga syariat Islam ini. Jika penjaga syariat Islam ini berjaya dijatuhkan, akan mudahlah baginya jalan untuk meruntuhkan seluruh ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu, fahaman serong seperti ini wajar dibanteras dan diberikan pengajaran yang secukupnya.
#Ketahuilah bahawa para ulamak adalah pewaris nabi dan wali Allah swt. Maka, dikhuatiri orang yang memusuhi mereka akan diperangi oleh Allah swt sendiri.
#Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah swt berfirman: "Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya..." (HR al-Bukhari)
#Kata Imam al-Khalil bin Ahmad: "Jika ahli al-Quran dan hadis itu bukan wali Allah, maka tiada lagi bagi Allah seorang wali pun di muka bumi ini."
#Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie diriwayatkan berkata: "Jika ulamak fiqah itu bukan wali Allah, maka tiada lagi seorang wali pun bagi Allah swt."
♡Carilah ruang, peluang dan kesempatan untuk mendampingi para alim ulamak, mengambil Ilmu darinya, berkhidmat untuknya dan sentiasa meletakkan kedudukan para ulamak di tempat yang mulia dan terhormat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 10 Rejab 1445H☆
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar" [Surah at-Taubah 100]
#Sambung bicara tentang kemuliaan, kehebatan dan istimewanya kedudukan sahabat Nabi saw sehingga berjaya memperoleh redha daripada Allah swt.
#Imam Ibnu Katsir menjelaskan keutamaan sahabat Nabi saw: “Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seluruh para sahabat itu orang yang adil. Kerana itulah Allah swt telah memuji mereka dalam al-Quran. Juga terdapat banyaknya pujian yang diucapkan dalam hadis-hadis Nabi terhadap seluruh akhlak dan amal perbuatan mereka. Juga disebabkan apa yang telah mereka korbankan, baik berupa harta mahupun nyawa untuk membela Rasulullah saw”.
#Rasulullah saw pernah memuji dan memuliakan para sahabatnya. Baginda saw bersabda:
لا تزالون بخير ما دام فيكم من رآني وصاحبني ومن رأى من رآني ومن رأى من رأى من رآني
“Kebaikan akan tetap ada selama diantara kalian ada orang yang pernah melihatku dan para sahabatku, dan orang yang pernah melihat para sahabatku (tabi’in) dan orang yang pernah melihat orang yang melihat sahabatku (tabi’ut tabi’in)” (Riwayat Abu Nuaim. Dihasankan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Fathul Bari)
#Sayidina Abdullah bin Umar bin al-Khatthab r.huma mengatakan:
لا تسبوا أصحاب محمد فلمقام أحدهم ساعة خير من عبادة أحدكم أربعين سنة
“Jangan kalian mencela para sahabat Nabi Muhammad saw. Sungguh, berdirinya mereka sebentar sahaja, itu lebih baik daripada ibadah kalian selama 40 tahun” (Lihat: Fadhailus Shahabah, Imam Ahmad)
#Berkata Imam Abu Hanifah rahimahullah:
أفضل الناس بعد رسول الله صلى الله عليه وسلم: أبوبكر وعمر وعثمان وعلي, ثم نكف عن جميع أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إلا بذكر جميل
“Manusia terbaik setelah Rasulullah saw adalah Sayidina Abu Bakar, lalu Sayidina Umar, lalu Sayidina Uthman lalu Sayidina Ali. Kemudian, kita wajib menahan lisan kita dari celaan terhadap seluruh sahabat Rasulullah saw, kita tidak boleh menyebut mereka kecuali dengan sebutan-sebutan yang indah”.
#Para sahabat Nabi saw adalah insan yang paling tinggi ilmunya. Merekalah yang paling faham perkataan dan perilaku Nabi saw. Merekalah manusia yang paling faham tentang al-Quran, kerana mereka telah mendampingi Rasulullah saw tatkala wahyu diturunkan, sehingga para sahabat benar-benar mengetahui apa yang diinginkan oleh Allah dan RasulNya saw.
♡Moga kita dihimpunkan bersama para sahabat Nabi saw di syurga kelak. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 8 Rejab 1445H☆
كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ
"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)" [Surah al-ʿAnkabut 57]
#Sambung perbincangan tentang kematian. Bicara tentang mati, semua mendambakan kematian yang indah dan penuh damai.
#Hal ini kerana tiada anugerah yang lebih indah daripada dikurniakan pengakhiran atau kematian yang baik dan mulia.
#Kita semua mahukan pengakhiran hidup dalam husnul khatimah, tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana kita menjalani kehidupan di dunia.
#Berkata Imam al-Ghazali rahimahullah: "Cara mati seseorang mukmin itu ditentukan oleh cara hidupnya. Begitu juga cara seseorang itu dibangkitkan akan ditentukan oleh cara kematiannya. Hakikat yang perlu diterima oleh manusia, setiap yang bernyawa akan menemui ajalnya".
#Diriwayatkan bahawa sepanjang umur Sayidina Abdullah bin Abbas r.huma dihabiskan dalam bidang ilmu. Sewaktu muda beliau banyak menghabiskan masa menuntut ilmu. Di hujung usia beliau menyampaikan ilmu pula. Beliau juga menjadi penasihat utama beberapa orang khalifah. Setiap kali diadakan majlis ilmu di rumahnya, bukan sahaja rumahnya sesak, tetapi semua jalan-jalan ke rumahnya turut dipenuhi lautan manusia sehingga tidak dapat dilalui.
#Sayidina Ibn Abbas r.huma bukan sekadar berilmu, tetapi juga kuat beramal dan beribadah dengan ilmunya. Imam Ibnu Mulaikah pernah memberitahu, pada satu malam ketika baru sampai dari Mekah ke Madinah, mereka semua tidur keletihan tetapi Ibn Abbas berqiamullail. Aku mendengar Ibn Abbas mengulang-ulang satu ayat daripada Surah Qaf ayat 19 :
"Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratul maut” membawa kebenaran. Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” [Surah Qaf 19]
#Dalam keadaan menangis dengan suara yang kuat, ayat tersebut terus diulang-ulang hinggalah masuk waktu Fajar.
#Sayidina Ibnu Abbas hidup hingga ke usia 71 tahun. Ketika meninggal dunia, beliau disembahyangkan oleh anak Sayidina Ali, Muhammad bin Hanafiah, dan jenazahnya diuruskan oleh beberapa sahabat yang masih hidup serta para tabiin besar.
#Ketika pengkebumian, terdengar satu suara membacakan firman Allah:
یَـٰۤأَیَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَىِٕنَّةُ * ٱرۡجِعِیۤ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِیَةࣰ مَّرۡضِیَّةࣰ * فَٱدۡخُلِی فِی عِبَـٰدِی * وَٱدۡخُلِی جَنَّتِی *
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau redha dan diredhai tuhan. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu (yang berbahagia). Dan masuklah ke dalam Syurgaku!!" [Surah al-Fajr 27-30]
♡Cukuplah kematian sebagai pemberi nasihat dan motivasi untuk menggandakan amal soleh♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 6 Rejab 1445H☆
كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۖ ثُمَّ إِلَیۡنَا تُرۡجَعُونَ
"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)" [Surah al-ʿAnkabut 57]
#Setiap manusia akan berdepan dengan kematian. Tidak ada manusia yang tidak mati. Semua akan mati dan bila-bila masa sahaja kita akan mati apabila datangnya ajal.
#Namun begitu, kita hendaklah berusaha sehabis daya agar memperoleh kematian yang baik, husnul khatimah atau mati syahid, iaitu sebaik-baik kematian.
#Antara tanda-tanda husnul khatimah ialah sesiapa yang sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia. Ini berdasarkan Sabda Rasulullah saw:
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ
"Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga" (HR Abu Daud)
#Begitu juga orang yang meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya. Di dalam hadis, baginda Rasulullah saw bersabda:
مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ
"Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya" (HR at-Tirmizi)
#Selain itu, seseorang yang diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah swt beramal soleh sebelum dia meninggal dunia. Di dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ
"Jika sekiranya Allah swt menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah swt menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat r.anhum bertanya: “Bagaimana Dia menjadikannya melakukan amal?”. Rasulullah saw bersabda: “Allah swt akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya" (HR at-Tirmizi)
#Juga, orang yang berasa gembira, rindu, redha dan senang hati untuk bertemu dengan Allah swt. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Anas Bin Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
"Barangsiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan barangsiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya" (HR Muslim)
#Sayidina Abu Darda' r.a telah berkata:
عن أبي الدرداء قال: أحب الموت: اشتياقاً إلى ربي، وأحب الفقر: تواضعاً لربي، وأحب المرض: تكفيراً لخطيئتي
"Aku mencintai kematian kerana aku sangat merindui Tuhanku, aku mencintai kefakiran (kesusahan) kerana ianya menjadikan aku tawadhu' (rendah diri) terhadapNya, dan aku mencintai kesakitan kerana ianya menjadi penghapus terhadap dosaku" (Lihat: Hilyatul Awliya')
...Bersambung...
♡Burulah kematian yang mulia, husnul khatimah agar beroleh kehidupan selepas mati yang penuh bahagia, damai dan gembira♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 4 Rejab 1445H☆
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan" [Surah al-Hajj 41]
#Berkata Sayyid Qutb rahimahullah: "Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agamaNya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan" (Lihat: Tafsir Fi Zilal al-Quran)
#Sejarah menukilkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menyempurnakan segala titah perintah Allah dan pra syarat yang telah disebut seperti di atas.
#Beliau menjadi seorang yang telah berubah sama sekali. Beliau menganggap dirinya sebagai pengganti kepada Sayidina Umar bin al-Khattab r.a, tidak kepada Sulaiman bin Abdul Malik. Hamba sahaya milik keluarga diraja dimerdekakan. Istana kediaman diraja yang dibina menurut ciri-ciri Parsi dan Rom, diubah sama sekali dan mengambil rupa yang penuh kesederhanaan.
#Beliau mengembalikan kepada negara bukan hanya tanah pusakanya, tetapi juga barang kemas dan barang bernilai yang isterinya telah terima daripada bapa dan saudara maranya. Beliau menjalani hidupnya dengan begitu sederhana dan zuhud sehingga payah dijumpai oleh mana-mana para rahib seperti beliau, apatah lagi para raja dan maharaja. Pernah beberapa ketika, beliau lewat menghadiri solat Jumaat kerana menunggu bajunya yang tunggal itu kering sesudah dibasuh.
#Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Sayidina Umar bin Abdul Aziz memecat gabenor-gabenor daerah yang diketahui kejam atau tidak berlaku adil terhadap rakyat. Semua barangan kemas dan hadiah berharga yang diberikan kepada beliau tatkala beliau menaiki tahkta kerajaan dihantar ke Baitul Mal.
#Sebelum pelantikan Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah, Baitul Mal diperlakukan seperti harta peribadi raja, dan ahli kerabat diraja memperolehi peruntukan yang besar daripadanya, tetapi sekarang mereka semua terpaksa berpuas hati dengan elaun sara hidup yang amat sedikit.
#Perbelanjaan harian Umar bin Abdul Aziz tidak melebihi dua dirham. Jika ada mana-mana pegawai yang datang menemuinya dan berbual mengenai hal ehwal peribadi khalifah, nescaya beliau serta merta memadamkan lilin yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau juga tidak pernah menggunakan air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
♡Khalifah Umar bin Abdul Aziz seorang raja yang bertaqwa dan sangat takutkan Allah swt. Seorang yang kuat ibadahnya, sentiasa menangis di malam hari kerana takutkan azab Allah dan sangat adil pemerintahannya. Pemimpin hari ini wajib mencontohi keadilan, kejujuran dan kehebatannya♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 2 Rejab 1445H☆
وَقَالَ ٱلَّذِینَ فِی ٱلنَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ٱدۡعُوا۟ رَبَّكُمۡ یُخَفِّفۡ عَنَّا یَوۡمࣰا مِّنَ ٱلۡعَذَابِ
Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: "Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari" [Surah Ghāfir 49]
#Allah swt menceritakan mengenai keadaan orang kafir yang di azab dengan dahsyat di dalam neraka sehingga menyebabkan mereka merayu-rayu untuk diringankan azab. Mereka penghuni neraka mencuba nasib merayu kepada malaikat penjaga neraka Jahannam agar tolong mohon kepada Allah swt agar dikurangkan sedikit azab seksa ke atas mereka, walaupun sehari.
#Malaikat menjawab rayuan mereka dengan berkata:
قَالُوۤا۟ أَوَلَمۡ تَكُ تَأۡتِیكُمۡ رُسُلُكُم بِٱلۡبَیِّنَـٰتِۖ قَالُوا۟ بَلَىٰۚ قَالُوا۟ فَٱدۡعُوا۟ۗ وَمَا دُعَـٰۤؤُا۟ ٱلۡكَـٰفِرِینَ إِلَّا فِی ضَلَـٰلٍ
Malaikat penjaga neraka menjawab: "Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?" Mereka menjawab: "Ya, telah datang". Malaikat itu berkata: "Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja" [Surah Ghāfir 50]
#Malaikat penjaga neraka menjawab dengan menempelak dan mengingatkan mereka bahawa dahulunya didunia sudah datang kepada mereka rasul-rasul yang diutus Allah swt dengan membawa keterangan-keterangan yang menyatakan akibat perbuatan derhaka yang mereka engkarkan, namun mereka degil dengan menentang para utusan Allah itu. Sebahagian mereka memusuhi dan berusaha menyakiti serta ingin membunuh para utusan Allah. Maka selayaknya mereka di azab tanpa belas ehsan.
#Pada saat itu, mereka menjawab dan mengakuinya dengan jujur bahawa telah datang para rasul kepada mereka tetapi mereka menolak dan mendustakan serta menolak ajaran yang disampaikan.
#Maka Malaikat menyuruh mereka berdoa sendiri kepada Allah swt agar diringankan seksaan walaupun malaikat tahu doa dan rayuan mereka akan ditolak dan tidak akan dilayan oleh Allah swt.
#Ketahuilah bahawa doa orang kafir di dalam neraka ini adalah sia-sia, tidak akan kesampaian doa mereka, tidak akan tercapai cita-cita mereka, rayuan mereka tidak akan berguna! Allah swt tidak akan sama-sekali menerima doa mereka. Ini kerana sudah terlambat, jika ingin berdoa dan insaf, berdoalah semasa masih hidup atas dunia dahulu dalam keadaan mengikuti ajakan para rasul utusan Allah.
#Oleh itu, kita yang masih ada di atas muka bumi ini perlu segera insaf, bertaubat, menyesal dan banyakkan berdoa sebelum nyawa dicabut oleh malaikat maut!
♡Merayulah sekarang kepada Allah swt dalam keadaan insaf agar Allah swt mengampuni segala kesalahan yang telah kita lakukan serta menjauhkan kota daripada azab api neraka di akhirat kelak♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 30 Jamadil Akhir 1445H☆
وَٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةُ یُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَیَسۡتَغۡفِرُونَ لِمَن فِی ٱلۡأَرۡضِۗ أَلَاۤ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِیمُ
"Dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah ash-Shūrā 5]
#Antara sifat malaikat ialah memohon ampun (وَيَسْتَغْفِرُونَ) berdoa merayu kepada Allah agar anugerahkan keampunan, kemaafan kepada manusia yang beriman, yang mengakui keEsaan Allah dan berlepas diri dari segala sembahan lain selain dari Allah swt (syirik).
#Apa yang didoakan oleh malaikat?.. Allah swt menyebut di dalam firmanNya berkaitan permohonan malaikat bagi hambaNya yang beriman serta bertaubat.
ٱلَّذِینَ یَحۡمِلُونَ ٱلۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُۥ یُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَیُؤۡمِنُونَ بِهِۦ وَیَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۖ رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَیۡءࣲ رَّحۡمَةࣰ وَعِلۡمࣰا فَٱغۡفِرۡ لِلَّذِینَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِیلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِیمِ
"Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka" [Surah Ghafir 7]
#Malaikat mendoakan orang beriman serta ahli keluarganya agar dimasukkan ke dalam syurgaNya.
رَبَّنَا وَأَدۡخِلۡهُمۡ جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ ٱلَّتِی وَعَدتَّهُمۡ وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَاۤىِٕهِمۡ وَأَزۡوَ ٰجِهِمۡ وَذُرِّیَّـٰتِهِمۡۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡحَكِیمُ
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah Ghāfir 8]
#Jom kita amalkan doa dibawah ini kerana doa ini menjadi rebutan para malaikat untuk menulisnya. Moga kita beroleh kebaikan dan pahala yang banyak dalam mengamalkan doa ini.
#Daripada Sayidina Rifa’ah bin Rafi’ al-Zaraqi r.a. beliau berkata: "Pada suatu hari kami menunaikan solat di belakang Rasulullah saw. Tatkala baginda mengangkat kepala dari rukuk, baginda berkata:
سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ
Seorang lelaki di belakang baginda berkata:
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ، حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ
"Wahai Rabb kami, bagiMu segala puji, aku memujiMu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah"
Selesai solat, baginda bertanya: “Siapakah yang berkata tadi?”. Lelaki itu menjawab: “Saya.”
Baginda saw bersabda: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut-rebut untuk menjadi yang pertama sekali mencatatnya (pahalanya)" (HR al-Bukhari)
♡Moga kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang direzekikan beroleh doa daripada malaikat. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 28 Jamadil Akhir 1445H☆
وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسۡنࣰا
"...Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik" [Surah Al-Baqarah 83]
#Kita hendaklah benar-benar memanfaatkan mulut dan lidah kita dengan mengungkap bicara yang hanya memberi kebaikan buat diri kita dan orang lain. Jangan sesekali berkata yang buruk dan memudaratkan diri dan orang lain.
#Bicara yang mengundang kebaikan kepada si pendengar boleh diibaratkan umpama satu sedekah. Ini kerana kata-kata yang baik boleh mendatangkan kegembiraan kepada orang lain atau mendorong seseorang untuk membuat kebaikan.
#Dikisahkan satu cerita teladan berkaitan bicara yang baik antara seorang raja dengan peladang yang boleh kita jadikan pengajaran.
Kisahnya, seorang Raja telah mengeluarkan satu polisi dalam negaranya bahawa sesiapa yang mengungkapkan kata-kata yang baik (kalimah toyyibah) dia akan diberi ganjaran sebanyak 400 dinar.
Pada suatu hari, Raja berjalan di sebuah pekan bersama dengan pengiring-pengiringnya. Tiba-tiba dia terpandang seorang peladang tua dalam lingkuangan usia 90 tahun sedang menanam pokok zaitun. Dia berasa hairan, lalu bertanya:
Kenapakah anda menanam pokok zaitun? Pokok zaitun memerlukan masa 20 tahun untuk berbuah sedangkan anda telah menjangkau usia 90 tahun. Ajalmu telah terlalu hampir?
Peladang menjawab: Tuanku, orang-orang dahulu telah menanam dan sekarang kita menuai hasilnya. Jadi sekarang kita menanam supaya generasi akan datang dapat menuai hasilnya pula. Raja suka jawapan tersebut dan menganggapnya sebagai kalimah toyyibah. Baginda memerintahkan supaya diberikan ganjaran kepada peladang itu 400 dinar. Peladang mengambil wang itu dan tersenyum.
Raja bertanya kenapa dia tersenyum?
Peladang menjawab: Pokok zaitun akan berbuah selepas 20 tahun. Pokok aku telah pun berbuah sekarang (dapat hasil rm400 dinar dari Raja).
Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi. Peladang mengambil wang itu dan tersenyum. Raja bertanya kenapa dia tersenyum? Peladang menjawab: Pokok zaitun berbuah satu kali setahun. Pokokku berbuah dua kali. Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi dan Baginda segera berlalu dari sisi peladang itu (berlalu meninggalkannya).
Ketua tentera pengiring bertanya: Kenapakah Tuanku segera meninggalkan peladang itu? Raja menjawab: Sekiranya beta duduk di sisinya sampai pagi, wang dari khazanah negara akan habis, namun kalimah toyyibahnya tidak akan habis….
#Ketahuilah bahawa sesungguhnya kebaikan itu akan sentiasa berbuah!!
♡Apabila seseorang itu hendak berbicara, maka hendaklah berfikir terlebih dahulu. Jika jelas bahawa kata-katanya itu akan membawa kemaslahatan, maka berbicaralah. Namun, jika sebaliknya, maka eloklah berdiam diri♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 26 Jamadil Akhir 1445H☆
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ * أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ * الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya" [Surah al-Mu’minun 9-11]
#Sambung bicara berkaitan Allah swt memuji orang yang memelihara solatnya dan menjanjikan mereka dengan ganjaran Syurga al-Firdaus.
#Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim)
#Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Maka orang wajib memelihara solat agar sentiasa dilaksanakan dalam waktunya, diawal waktu dan ditunaikan secara berjemaah di masjid surau.
#Sabda Nabi saw:
الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
"Perjanjian di antara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir" (HR Ahmad, an-Nasaie, at-Tirmizi dan Ibn Hibban)
#Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadat dan memelihara kedudukannya iaitu dengan menjadikan sebagai keutamaan dalam kehidupan.
#Nabi saw bersabda:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
"Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu" (HR al-Bukhari)
#Selain itu, solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib. Inilah yang dinamakan memelihara solat. Peliharalah solat walau ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
#Solat yang dilakukan secara sempurna dan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji)
#Ingatlah, orang yang meninggalkan solat dan tidak menjaga kemuliaan solat adalah orang yang rugi dan jauh daripada hidayah Allah swt.
#Sabda Rasulullah saw:
مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا
"Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perkara keji dan munkar, tidak bertambah sedikitpun kedudukan dirinya dengan Allah melainkan bertambah jauh" (HR al-Baihaqi)
♡Apabila kita memelihara solat dengan sempurna maka Allah swt akan memberikan kita ketenangan jiwa. Hal ini kerana, tujuan ibadat solat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan ummah kita untuk terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di dunia mahupun akhirat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 24 Jamadil Akhir 1445H☆
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ * قُمْ فَأَنذِرْ * وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ * وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ * وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ * وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ * وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ
"Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!" [Surah al-Muddatthir 1-7]
#Sambung bicara tentang tugasan dakwah dan perintah menyampaikan risalah wahyu Allah swt.
#Dakwah adalah satu usaha menarik orang lain kepada agama Islam dan mengikut petunjuk dariNya serta menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Begitu juga menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah swt dengan ibadat dan amal ketaatan serta melepaskan diri daripada sebarang bentuk kongkongan selain daripada Allah swt semata-mata.
#Maka, untuk menyampaikan dakwah,, seseorang itu perlukan kepada beberapa kriteria, antaranya:
1. Memiliki ilmu. Terdapat kata-kata hikmah yang menyatakan:
فَاقِدُ الشَّيْءِ لاَ يُعْطِيهِ
“Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu"
#Justeru, orang yang tidak ada ilmu tidak patut mengajar tetapi dia perlu belajar dan tidak salah untuk menyatakan ‘aku tidak tahu’.
2. Ilmu itu sendiri mesti betul. Tidak boleh menyampaikan ilmu yang tidak betul. Contohnya, seseorang itu berkeinginan untuk mengajar ilmu tauhid tetapi dia sendiri tidak mengetahui hakikat tauhid dan perbezaannya dengan syirik.
3. Ilmu itu perlu disampaikan dengan cara yang sesuai dan berhikmah.
#Firman Allah swt:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.” [Surah an-Nahl 125]
#Selain itu, seorang pendakwah perlulah bersabar dalam menempuhi liku-liku perjalanan dakwah yang penuh onak duri.
#Sayyid Qutb rahimahullah ada menyebutkan: "Kesabaran merupakan pesanan Allah yang sentiasa diulang-ulangkan pada setiap perintah berdakwah dan setiap pernyataan meneguhkan perjuangan dakwah. Kesabaran merupakan bekalan yang pokok dalam perjuangan dakwah yang amat sukar iaitu perjuangan dakwah kepada Allah. Perjuangan dua hala menentang keinginan hati dan menentang musuh musuh dakwah yang dipimpin oleh syaitan-syaitan dan nafsu keinginan. Ia merupakan satu perjuangan yang amat panjang dan amat sengit, tiada bekalan untuk perjuangan ini kecuali kesabaran yang diniatkan dengan ikhlas kerana Allah dan kerana mencapai balasan dan keredhaanNya semata-mata. (Lihat: Fi Zilal al-Quran)
#Dalam menyampaikan dakwah, kesungguhan untuk melaksanakannya perlu diisi dengan sifat ikhlas dan hikmah.
♡Pendakwah perlu isi dada dengan ilmu dan makrifah agar menjadi sebahagian daripada ulamak yang menjadi pewaris para nabi. Jom berdakwah dengan ilmu dan kepelbagaian uslub!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 22 Jamadil Akhir 1445H☆
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)" [Surah at-Tawbah 122]
#Syeikh al-Maraghi berkata:" Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam" (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
#Ayat diatas memberi maksud bahawa tidaklah semua orang mukmin wajib pergi berjihad. Allah swt maklumkan ada dua perkara yang Nabi saw ajar sahabat untuk lakukan iaitu jihad dan ta’lim. Ta’lim maksudnya ajar dan sebar wahyu. Walaupun jihad itu penting, akan tetapi pembelajaran ilmu juga penting. Ini Allah ingatkan kerana selepas Allah swt menegur tentang umat Islam yang tidak mengerjakan jihad, maka ramai-ramai telah keluar berjihad sehinggakan tidak tinggal orang untuk belajar dengan Rasulullah saw di Madinah.
#Oleh itu, tidak sepatutnya orang mukmin itu keluar berjihad semuanya. Perlu ada golongan yang talaqqi ilmu wahyu. Ini kerana pembelajaran dan penyebaran ilmu agama amat penting. Kalau semua pergi, siapa yang akan jadi orang alim untuk mengajar?
#Ini mengajar kita bukanlah umat Islam kesemuanya perlu keluar berjihad. Ini kerana jihad secara umumnya adalah Fardhu Kifayah (jika sebahagian dari golongan Muslim melakukannya, maka sudah dipenuhi kewajipan itu). Melainkan jikalau ia adalah arahan umum seperti yang berlaku pada Perang Tabuk, barulah ia menjadi Fardhu Ain (kewajipan kepada semua individu yang mampu). Ia boleh jadi Fardhu Ain apabila kerajaan memerlukan kekuatan tentera yang besar. Ini ditentukan oleh pemerintah.
#Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman wajib memahami agama melalui jalan menuntut ilmu dan mempelajarinya daripada guru yang benar serta berusaha untuk menyampaikan kepada orang lain.
#Berkata Sayidina Muaz bin Jabal r.a:
تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ فَإِنَّ تَعَلُّمَهُ لِلَّهِ خَشْيَةٌ، وَطَلَبَهُ عِبَادَةٌ، وَمدَارَسَتَهُ تَسْبِيحٌ، وَالْبَحْثُ عَنْهُ جِهَادٌ، وَتَعْلِيمَهُ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ، وَبَذْلَهُ لأَهْلِهِ قُرْبةٌ، وَهُوَ الأَنِيْسُ فِي الوَحْدَةِ، وَالصَّاحِبُ فِي الخَلْوَةِ.
“Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntutnya kerana Allah adalah satu bentuk ketakwaan, mencarinya adalah ibadah, mengulangkajinya adalah tasbih, mengkajinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyampaikannya kepada ahlinya adalah mendekatkan diri kepada Allah. Dia adalah teman kala keseorangan dan sahabat ketika bersendirian".
♡Dengan adanya mereka yang mendalami agama, menegur, mengajar dan mengingatkan masyarakat, mudah-mudahan masyarakat boleh belajar agama, memahami tuntutan agama dan dapat menjaga segala perintah dan larangan agama. Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba Allah yang berilmu dan menyebarkannya kepada masyarakat♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 20 Jamadil Akhir 1445H☆
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
“Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” [Surah al-Isra’ 85]
#Berkata Syeikh as-Sobuni: "Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah swt. (Lihat: Safwah al-Tafasir)
#Ayat ini sepatutnya menginsafkan kita bahawa betapa ilmu yang dikurniakan kepada kita tidaklah banyak, tetapi amat sedikit sahaja, maka tidak sepatutnya kita sombong, bongkak dan merasa terbaik dalam kalangan manusia di muka bumi ini. Ini sepatutnya membuatkan kita tawaduk dan sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu dan amal.
#Berkata al-Imam as-Sya’bi rahimahullah:
الْعِلْمُ ثَلَاثَةُ أَشْبَارٍ فَمَنْ نَالَ مِنْهُ شِبْرًا شَمَخَ بِأَنْفِهِ وَظَنَّ أَنَّهُ نَالَهُ. وَمَنْ نَالَ الشِّبْرَ الثَّانِيَ صَغَرَتْ إلَيْهِ نَفْسُهُ وَعَلِمَ أَنَّهُ لَمْ يَنَلْهُ، وَأَمَّا الشِّبْرُ الثَّالِثُ فَهَيْهَاتَ لَا يَنَالُهُ أَحَدٌ أَبَدًا
"Ilmu itu tiga jengkal sahaja. Siapa yang memperolehi jengkal yang pertama, nescaya tinggi hidungnya (bongkak) sedangkan sangkaannya dia telah mencapainya. Siapa yang mendapat jengkal yang kedua, nescaya dia merasa kerdil dan kecil dirinya dan dia tahu bahawa dia sebenarnya belum mencapai. Adapun jengkal yang ketiga sudah tentu amat jauh dan tiadalah seorang yang memperolehinya".
#Kata-kata Imam as-Sya’bi ini mengiyakan bahawa manusia bila hanya memahami dan mengetahui sejuzuk kecil daripada ilmu, sudah tentu dia merasa betapa besar dan banyaknya ilmu yang dimiliki. Tetapi apabila dia telah memperolehi lebih banyak ilmu dan lebih makrifah, maka dia akan rasa betapa sedikitnya ilmu yang dimiliki berbanding dengan ilmu Allah swt.
#Ingatlah bahawa ilmu yang benar ialah membawa kita kepada taqwa dan takutkan Allah swt bukannya menyebabkan kita sombong.
#Sayidina Abdullah bin Mas’ud r.a berkata:
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ
“Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadith tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
#Kata beliau lagi:
رَأْسُ الْحِكْمَةِ مَخَافَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla" (Riwayat al-Baihaqi)
#Hakikat sebenar orang yang mempunyai ilmu sudah pasti merasa takut kepada Allah swt. Firman Allah swt:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ
“Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)” [Surah Fathir 28]
♡Pelajarilah ilmu tanpa noktah pengakhiran. Selagi hayat dikandung badan, teruskan mencari ilmu dan berusaha seupaya mungkin untuk menguasai pelbagai ilmu. Moga dengan berilmu, menjadikan kita hamba Allah yang tawaduk serta takutkan Allah swt♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 18 Jamadil Akhir 1445H☆
وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
"Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)" [Surah Aali Imran 140]
#Sambung bicara tentang warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2023 dan impian yang lebih baik untuk tahun mendatang.
#Hidup di dunia hanya persinggahan sebelum menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi. Justeru, hendaklah sentiasa berusaha mempersiapkan diri berdepan dengan pelbagai ujian, halangan dan tekanan kehidupan. Oleh itu, setiap kita perlukan keazaman dalam meraih cita-cita yang perlu disusun dengan penuh strategi dan pengalaman. Maka insyaAllah, sebaik-baik natijah akan dapat digapai.
#Pujangga mengatakan:
إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ... فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا
“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam... Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian”
#Jom kita hayati kisah cita-cita Sayidina Umar r.a sebagai mengambil semangat dan inspirasi untuk kita bina cita-cita kita ke arah yang lebih baik dalam melayari bahtera kehidupan ini dan mendepani tahun baru 2024 yang bakal tiba.
#Suatu ketika, Sayidina Umar bin al-Khattab r.a berkata kepada sahabat-sahabatnya:
تَمَنَّوْا ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ : أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّ هَذِهِ الدَّارَ مَمْلُوءَةٌ ذَهَبًا أُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ، وَقَالَ رَجُلُ: أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ زَبَرْجَدًا وَجَوْهَرًا فَأُنْفِقُهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَأَتَصَدَّقُ، ثُمَّ قَالَ عُمَرُ: تَمَنَّوْا فَقَالُوا: مَا نَدْرِي يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، فَقَالَ عُمَرُ: أَتَمَنَّى لَوْ أَنَّهَا مَمْلُوءَةٌ رِجَالاً مِثْلَ أَبِي عُبَيْدَةَ بْنِ الْجَرَّاحِ، وَمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، وَسَالِمٍ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ، وَحُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ
"Tunjukkan cita-cita kamu." Salah seorang menjawab: "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!" Sahabat yang lain pula berkata: "Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!" Kemudian Umar r.a berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.” Lalu Umar r.a berkata: "Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu'az bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman” (Riwayat al-Hakim dan Abu Nu’aim)
#Pengajaran daripada cita-cita sahabat dan Sayidina Umar ini amat banyak, antaranya:
1. Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Ia seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menatijahkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
2. Cita-cita Sayidina Umar jelas menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Sayidina Umar dalam meraih modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia dan pemakmurnya mengikut neraca Syari’ah.
3. Justeru, cita-cita Sayidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
Nama-nama yang disebut adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islamiyyah.
♡Kita selaku hamba Allah, sudah tentu mengetahui dengan jelas apa sebenarnya tujuan hidup di dunia dan akhirat dengan mentaati segala perintah dan larangan Allah. Maka, kita mestilah selalu muhasabah diri tentang berjaya atau tidak melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa, anak, pelajar, pekerja atau majikan yang baik. Segala suka dan duka adalah asam garam kehidupan yang perlu didepani dengan garis panduan Ilahi♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah
☆Tadabbur Kalamullah 16 Jamadil Akhir 1445H☆
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰۤ إِذَاۤ أَتَیَاۤ أَهۡلَ قَرۡیَةٍ ٱسۡتَطۡعَمَاۤ أَهۡلَهَا فَأَبَوۡا۟ أَن یُضَیِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِیهَا جِدَارࣰا یُرِیدُ أَن یَنقَضَّ فَأَقَامَهُۥۖ قَالَ لَوۡ شِئۡتَ لَتَّخَذۡتَ عَلَیۡهِ أَجۡرࣰا
"Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!" [Surah al-Kahfi 77]
#Nabi Khidhir dan Nabi Musa meneruskan lagi perjalanan memasuki sebuah kampung. Adab apabila ada orang-orang yang bermusafir, tuan rumah perlu melayani selama tiga hari tiga malam. Namun, tiada seorang pun yang mahu menerima kedatangan mereka dan langsung tidak pelawa walau sekadar seteguk minuman, apatah lagi makanan.
#Kemudian, Nabi Khidhir terlihat satu dinding rumah yang hendak roboh, beliau pun berusaha membaikinya. Nabi Musa berasa hairan sebab orang kampung tidak sudi menerima mereka sebagai tetamu tetapi Nabi Khidir pula sibuk membaiki dinding rumah salah seorang penduduk di tempat itu. Jadi Nabi Musa berfikir bahawa sepatutnya mereka mengambil upah membaikinya.
#Manun begitu, usaha membetulkan tembok rumah yang hendak runtuh itu dilakukan oleh nabi Khidhir kerana sebab yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya.
وَأَمَّا ٱلۡجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَیۡنِ یَتِیمَیۡنِ فِی ٱلۡمَدِینَةِ وَكَانَ تَحۡتَهُۥ كَنزࣱ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحࣰا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن یَبۡلُغَاۤ أَشُدَّهُمَا وَیَسۡتَخۡرِجَا كَنزَهُمَا رَحۡمَةࣰ مِّن رَّبِّكَۚ وَمَا فَعَلۡتُهُۥ عَنۡ أَمۡرِیۚ ذَ ٰلِكَ تَأۡوِیلُ مَا لَمۡ تَسۡطِع عَّلَیۡهِ صَبۡرࣰا
"Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" [Surah al-Kahfi 82]
#Dalam hal ini, ar-Razi menyebut bahawa kesolehan ibu bapa menjadi sebab anak-anak mereka dijaga dengan baik dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Beliau juga menaqalkan kata-kata Jaafar bin Muhammad bahawa hubungan antara dua orang anak yatim yang disebut di dalam ayat itu dengan bapa mereka yang soleh itu adalah tujuh peringkat, atau disebut keturunan yang ketujuh.
#Imam Ibn Kathir berkata, ungkapan itu menunjukkan bahawa orang yang soleh dipelihara keturunannya. Keberkatan ibadahnya meliputi mereka (keturunannya) di dunia dan di akhirat dengan syafaatnya untuk mereka. Di angkat darjat mereka setinggi-tingginya di syurga agar sejuk mata dan tenang hatinya.
#Sa’eid bin Jubair meriwayatkan bahawa Ibn Abbas r.a berkata: “Kedua-dua anak yatim itu dijaga kerana kesolehan ayah mereka".
#Pengajarannya ialah orang alim mesti memikirkan kepentingan generasi akan datang. Membuat perancangan yang kemas dan jitu demi menjamin masa yang baik dan sejahtera buat mereka. Anak-anak adalah masa depan umat dan negara. Andainya keperluan mereka terabai, tidak dapat tidak akan memberikan kesan yang serius ke atas kesejahteraan umat seluruhnya.
♡Sebagai hamba kita wajib berusaha sedaya mampu untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang baik lagi soleh di sisiNya. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah swt, maka Dia akan memelihara bukan sahaja diri kita, malah zuriat keturunan kita kesemuanya. Jom jadi soleh!!♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
https://m.facebook.com/tadabburkalamullah